Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek ARIF Yayasan Temasek diperluaskan ke masjid-masjid di barat S'pura

Lebih ramai pasangan boleh meraih manfaat daripada Projek ARIF Yayasan Temasek apabila ia diperluaskan ke masjid-masjid di bahagian barat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai pasangan boleh meraih manfaat daripada Projek ARIF Yayasan Temasek apabila ia diperluaskan ke masjid-masjid di bahagian barat Singapura.

Menteri Negara bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri Faishal Ibrahim mendedahkan rancangan itu apabila ditemui di majlis pembukaan rasmi dua pusat sumber Projek ARIF Yayasan Temasek di Masjid An-Nur hari ini (21 Mei).

Projek ARIF Yayasan Temasek yang dirintis di sembilan masjid di bahagian timur dan utara Singapura menerima sambutan yang menggalakkan sejak ia dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Ia merupakan lanjutan kepada program Bersamamu untuk mengukuhkan sokongan bagi pasangan yang melayari alam perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Setakat April, 525 pasangan sudah meraih manfaat daripada pelbagai program sokongan yang ditawarkan.

"Selepas kita melakarkan kerjasama dengan masjid-masjid di utara dan timur, sekarang kita sedang memikirkan bagaimana kita boleh meluaskan kerjasama dengan masjid-masjid di kawasan barat."

"Ini adalah satu perkembangan yang mungkin akan memberikan lebih banyak manfaat kepada pasangan-pasangan untuk memberi ruang bagaimana mereka boleh membangunkan atau memulakan perkahwinan yang kukuh dan mendapatkan proses keibubapaan yang lebih baik," jelas Dr Faishal.

PUSAT SUMBER SEDIAKAN KHIDMAT KHUSUS

Pusat sumber Projek ARIF Yayasan Temasek di Masjid Assyafaah mula beroperasi pada September 2021 dan manakala pusat di Masjid An-Nur dibuka pada April tahun ini.

Kedua-dua pusat itu menawarkan bimbingan dan nasihat daripada pakar-pakar jagaan kesihatan, pekerja sosial perubatan atau Naib Kadi mengenai alam perkahwinan dan perancangan untuk membina keluarga.

Ia dikendalikan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Temasek dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Khidmat-khidmat lain yang ditawarkan di bawah Projek ARIF Yayasan Temasek termasuk sesi webinar "SaturDATE with ARIF".

Salah satu pasangan yang meraih manfaat daripada program webinar itu adalah Cik Nazartul Shahnaz dan suaminya, Encik Muhammad Firman Bin Mohd Hanif.

"Program-program yang dianjurkan oleh Projek ARIF adalah bermanfaat kerana ia memberi kami sokongan dengan memberikan maklumat-maklumat tentang kewangan, perkahwinan tentang perubatan dan juga pembangunan kanak-kanak," kata Cik Nazartul, 29 tahun.

Sesi webinar itu berjaya menarik sekitar 1,000 peserta sejak ia dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan