Projek Angklung Masyarakat 2025: Bantu pemulihan klien Kelab HEAL dan penjaga mereka
Seramai 30 peserta berusia 50 tahun ke atas menyertai program tersebut pada Selasa (4 Nov).
Mereka termasuk yang sedang pulih daripada cabaran kesihatan mental, warga emas dengan demensia peringkat awal dan tahap sederhana serta para penjaga mereka.
Ia mempersembahkan hasil usaha membina semula keyakinan, meningkatkan keupayaan harian, menggalakkan berdikari dalam kalangan warga emas.
Bagi para penjaga mereka pula, ia diharap dapat membantu mereka mengurus tekanan, mencegah keletihan dan meluaskan jaringan sokongan.
Caranya menerusi saluran ceria dan kreatif dalam Projek Angklung Masyarakat 2025.
BENGKEL ANGKLUNG GALAK PESERTA BERINTERAKSI
Usaha ini mula berputik apabila Esplanade menjalin kerjasama dengan Kelab HEAL untuk menganjurkan sebuah bengkel angklung pada November 2024.
Bengkel angklung itu mencetuskan semangat dan minat yang mendalam dalam kalangan peserta termasuk klien Kelab HEAL serta para penjaga mereka.
Menyusuli kejayaan itu, Esplanade memperkenalkan Projek Angklung Masyarakat 2025 bagi warga emas yang mungkin terasing secara sosial.
Tujuannya untuk memberi mereka peluang untuk kekal terhubung dengan masyarakat, berinteraksi serta menyertai aktiviti kemasyarakatan yang bermakna.
"Esplanade – Teater di Pesisiran percaya bahawa seni boleh mengubah kehidupan dan menyatukan masyarakat. Kami komited untuk menjadikan seni boleh diakses oleh semua dan melalui program mendekati masyarakat yang kami anjurkan, kami membawa keceriaan seni kepada orang ramai dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang," kata Pengurus Kanan, Penglibatan Masyarakat Esplanade, Karin Tan.
"Secara khususnya, kami melibatkan komuniti yang memerlukan yang mungkin tidak mempunyai akses yang mudah atau tetap kepada seni. Program kami direka untuk meningkatkan kesejahteraan keseluruhan peserta melalui seni, menaikkan semangat, membina keyakinan dan memupuk hubungan sosial yang bermakna," tambahnya.
Beliau juga menjelaskan mengapa alat muzik angklung dipilih bagi projek tersebut.
"Angklung yang berasal dari Indonesia, ialah sejenis alat muzik tradisional yang biasa dan rapat dengan budaya masyarakat tempatan kita. Ia diperbuat daripada bambu yang ringan, menjadikannya mudah dan selamat untuk dikendalikan oleh warga emas, termasuk mereka yang lemah atau kurang bergerak. Apa yang turut menjadikan angklung mudah diakses adalah, ia tidak memerlukan sebarang latar belakang muzik untuk dimainkan," jelas Cik Tan.
Selama lima minggu, Kelab HEAL menyediakan pendekatan berstruktur dan memberi tumpuan kepada individu bagi membantu klien berusia 50 tahun ke atas.
Projek Angklung Masyarakat melengkapi usaha ini dengan menyediakan saluran bagi peserta meluahkan diri serta alami sendiri proses pemulihan melalui muzik.
KUASA TRANSFORMATIF MUZIK, TERAPI UNTUK PENGASUH
Antara yang meraih manfaat daripada usaha ini ialah Cik Rugayah Attan yang menjaga ibunya yang sudah lanjut usia.
"Sebagai penjaga sepenuh masa kepada ibu saya berumur 97 tahun, ia sangat mencabar dan meletihkan. Apabila saya mula bermain muzik angklung secara berkumpulan, ia menjadi terapi buat saya dan fikiran tertumpu pada nota, irama dan rakan-rakan sekumpulan. Ia melupakan kebimbangan saya dan rasa tenang. Sokongan rakan-rakan juga memberi keyakinan yang saya boleh belajar dan berjaya dalam kemahiran baharu," ujar Cik Rugayah yang juga merupakan anggota Pasukan Jangkauan Masyarakat Rangkaian Sokongan Pengasuh (CREST-CSN) di Kelab HEAL.
"Selepas lima minggu berlatih, saya rasa seronok dan teruja apabila melihat penonton tersenyum dan memberi tepukan yang gemuruh, saya rasa ia satu kepuasan yang sukar digambarkan. Saya berasa bangga dengan pencapaian untuk diri saya dan ia satu hadiah dan satu kekuatan, dan semangat baru untuk saya berusaha dan maju," tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan, Pasukan Jangkauan Masyarakat Rangkaian Sokongan Pengasuh (CREST-CSN) Kelab HEAL, Zainal Abidin Ibrahim Lee pula menjelaskan, "Kita berbesar hati apabila Esplanade menghubungi kita bahawa projek untuk para penerima bantuan Kelab HEAL. Kita terbuka hati untuk menerima tawaran itu kerana kita percaya muzik ialah sesuatu yang mendorong mereka menjadi lebih prihatin terhadap apa yang mereka lakukan. Ibarat 'Kuasa Transformatif Muzik'. Wajah mereka menunjukkan kegembiraan. Muzik itu seolah-olah membuka minda mereka, perasaan mereka. Maka itu, muzik itu main peranan bukan hanya pada mereka, semua termasuk para penjaga"
Para peserta belajar untuk bermain angklung dan mempersembahkan enam lagu seperti Di Tanjong Katong, Rasa Sayang dan Bengawan Solo.
Kejayaan projek sulung Projek Angklung Masyarakat 2025 ini mendorong Club Heal untuk melanjutkan usaha ini agar lebih ramai boleh meraih manfaatnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.