Skip to main content

Singapura

Project STEM Up! himpunkan belia Melayu/Islam, semarak minat dalam sains dan inovasi

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 Sep 2025 09:39PM Dikemas Kini : 11 Sep 2025 12:08AM
SINGAPURA: Satu pameran yang memberi tumpuan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi golongan belia Melayu/Islam diadakan di Wisma Geylang Serai pada Sabtu (6 September).

Acara Project STEM-Up! yang buat julung kalinya dianjurkan itu bertujuan meningkatkan pendedahan golongan belia Melayu/Islam terhadap bidang STEM menerusi kegiatan-kegiatan interaktif.

Pameran tersebut dianjurkan oleh MAEC Geylang Serai dan M3@Geylang Serai dengan kerjasama Persatuan Muslim Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTDMS), Rangkaian Belia EveryVoice (EVO) serta Institut Pengajian Tinggi (IHL).

Menurut wakil SUTDMS, Cik Ayra tujuan utama acara tersebut adalah bukan sahaja untuk meningkatkan pendedahan serta pemahaman masyarakat mengenai STEM tetapi juga memupuk minat masyarakat Melayu/Islam berkenaan bidang itu.
 
Related article image
Wakil SUTDMS, Cik Ayra.
"Sebagai seorang pelajar dalam bidang STEM, saya rasa kitalah yang paling sesuai untuk menganjurkan projek STEM ini kerana kita memahami masalah-masalah yang wujud dalam komuniti kita dan apakah kesulitan yang pelajar kita hadapi apabila mereka ingin menceburi bidang STEM. Oleh itu, kita boleh rancang dan reka aktiviti yang dapat sekurang-kurangnya meringankan masalah-masalah ini.

"Inilah antara sebab aktiviti SUTDMS menganjurkan bengkel 'design thinking' untuk para pelajar madrasah setiap tahun supaya kita dapat mendedahkan mereka kepada bidang STEM," kongsi Cik Ayra kepada BERITAmediacorp.

'Project STEM Up! menampilkan sebanyak 10 reruai dari beberapa Institut Pengajian Tinggi dan syarikat teknologi Google.

Selain itu, terdapat juga satu sesi dialog panel yang melibatkan seorang karyawan, mahasiswa dan graduan universiti yang berbincang mengenai pandangan berbeza dan pengalaman masing-masing dalam bidang STEM.

Sebuah bengkel yang diterajui SUTDMS juga meneroka proses menghasilkan robot dan aktiviti-aktiviti berkaitan STEM yang lain.

Melihat kepada sambutannya pada pameran sulung itu, pihak penganjur mempunyai rancangan untuk memperluaskan lagi skala pameran itu di masa akan datang.

"Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan daripada pelajar ibu bapa sekolah dan rakan industri. Ini memberikan keyakinan kepada kami bahawa program sebegini amat relevan dan diperlukan." kata Pengerusi MAEC Geylang Serai, Encik Normanshah kepada BERITAmediacorp.

"InsyaAllah, kami bercadang untuk meluaskan skala pameran pada masa depan menjemput lebih banyak syarikat teknologi institusi pendidikan dan menjadikan acara ini sebagai acara tahunan. Kami juga sedang melihat potensi untuk membawa program ini ke sekolah-sekolah dan juga ke madrasah supaya lebih ramai pelajar mendapat manfaat secara langsung," menurut Encik Normanshah lagi.

Ketua penasihat bagi M³@Geylang Serai Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, turut hadir di acara tersebut sebagai tetamu kehormat.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita