Project Goodwill Aid sokong inisiatif restoran sambut Tahun Baru Cina bersama lebih 100 warga emas
Tradisi makan bersama dan mengunjungi saudara-mara adalah satu amalan lazim semasa sambutan Tahun Baru Cina. Namun, masih ada golongan yang tidak dapat merasakan suasana demikian.
BERITAmediacorp: Tradisi makan bersama dan mengunjungi saudara-mara adalah satu amalan lazim semasa sambutan Tahun Baru Cina. Namun, masih ada golongan yang tidak dapat merasakan suasana demikian.
Maka itu, sekumpulan warga emas dari Chin Swee Road dijamu oleh restoran The Garden Kitchen dengan kerjasama badan amal, Project Goodwill Aid.
Ia sedikit sebanyak mengubat rindu menyambut Tahun Baru Cina beramai-ramai bagi warga emas yang hidup sebatang kara itu.
Dengan bantuan sukarelawan, seramai 108 warga emas berbilang kaum dapat merasakan suasana kemeriahan dengan satu jamuan besar.
'GONG XI' REZEKI DENGAN WARGA EMAS SUPAYA MEREKA TIDAK BERASA TERPINGGIR
Inisiatif murni itu adalah usaha pemilik restoran The Garden Kitchen, Cik Lynn Sim yang prihatin akan nasib golongan itu semasa musim perayaan.
"Kami mahu membawa warga emas ini keluar pada hari pertama Tahun Baru Cina di mana jiran tetangga, rakan-rakan, keluarga dan mereka sendiri tiada ahli keluarga dan semua orang telah keluar untuk makan beramai-ramai dan berkumpul sekeluarga.
"Saya harap, Tahun Baru Cina ini, mereka tidak dilupakan dan mereka tidak rasa kesunyian bersendirian di rumah," kata Cik Sim, yang sebelum ini pernah mengadakan acara yang serupa pada malam Tahun Baru Cina.
Para relawan dari badan amal tidak formal, Project Goodwill Aid (PGA) turut menyingsing lengan menghulurkan bantuan seperti mendermakan kuih muih dan mendampingi warga emas ini.
Cik Sim amat menghargai sokongan PGA yang sebelum ini turut membantu dalam satu lagi pengagihan barangan dapur di kawasan Ang Mo Kio untuk golongan susah pada malam Tahun Baru Cina.
ACARA TINGKATKAN PEMAHAMAN BUDAYA
Bagi seorang sukarelawan, Cik Farhana Ahmad Mashon, perbezaan budaya bukan penghalang untuk menabur bakti.
"Ini adalah salah satu projek yang boleh menyatukan semua kaum bersama. Saya rasa berbesar hati kerana diberi peluang berkongsi, boleh bercampur dengan semua warga emas ini.
"Ini satu pengalaman untuk anak-anak saya, yang tak semestinya kita bukan berbangsa Tionghua, kita tak boleh sambut Tahun Baru Cina," kata Cik Farhana, seorang suri rumah yang sudah menjadi relawan PGA selama lima tahun.
Menerusi acara itu juga, Cik Farhana berpeluang menjadi teman berbual untuk warga emas yang didampinginya.
"Mereka berkongsi yang ini adalah acara yang mereka sangat nanti-nantikan. Mereka juga dapat berkongsi situasi keluarga mereka, tidak banyak tapi sedikit. Pada masa yang sama, saya pun rasa bangga, kerana kami dapat menyumbangkan masa dengan orang-orang tua ini," kata Cik Farhana.
Sambutan Tahun Baru Cina memang tidak lengkap jika tiada sampul merah. Oleh itu, pihak penganjur dan sukarelawan dengan bermurah hati memberikan 'ang bao' kepada setiap warga emas.
Bukan itu sahaja, setiap seorang turut menerima beg habuan hasil sumbangan ihsan masyarakat, penaja dan sukarelawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.