Skip to main content

Singapura

Program vaksinasi COVID-19 ditawarkan secara sukarela, tegas MOE susuli keprihatinan sesetengah ibu bapa

Kementerian Pendidikan (MOE) memberi jaminan kepada para ibu bapa bahawa hanya mereka yang mahukan anak mereka divaksin boleh berbuat demikian dengan memilih untuk menyertai program vaksinasi negara dan ia boleh dilakukan dengan mengisi borang online yang disediakan oleh MOE.

Anggaran Waktu Membaca:
Program vaksinasi COVID-19 ditawarkan secara sukarela, tegas MOE susuli keprihatinan sesetengah ibu bapa

Pelajar duduk di pusat vaksin COVID-19 terletak di ITE Kolej Tengah pada 7 Jun 2021 (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 20 Jun 2021 05:32PM Dikemas Kini : 20 Jun 2021 05:41PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) memberi jaminan kepada para ibu bapa bahawa hanya mereka yang mahukan anak mereka divaksin boleh berbuat demikian dengan memilih untuk menyertai program vaksinasi negara dan ia boleh dilakukan dengan mengisi borang online yang disediakan oleh MOE.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, MOE turut mendedahkan pada Jumaat (18 Jun) bahawa para ibu bapa yang tidak mahu menyertai program vaksinasi itu juga tidak dikehendaki menyerahkan borang minta izin semata-mata untuk dikecualikan daripada program tersebut.

Dr Maliki Osman, Menteri Kedua Pendidikan, berkata dalam satu kemas kini berhubung program vaksinasi di sekolah-sekolah pada awal minggu ini bahawa MOE merancang untuk memudahkan perjalanan para pelajar ke pusat-pusat vaksinasi apabila sekolah dibuka semula selepas cuti pertengahan tahun.

Untuk berbuat demikian, MOE akan membantu para ibu bapa untuk menempah slot di pusat-pusat vaksinasi sebagai bantuan sekali saja untuk membantu para pelajar yang berminat untuk mendapatkan vaksin namun belum berbuat demikian kerana belum membuat janji temu atau memerlukan sokongan tambahan untuk berbuat demikian.

Para ibu bapa sudahpun dimaklumkan mengenai rancangan itu menerusi pemberitahuan dalam portal Parents Gateway MOE.

MOE mengeluarkan kenyataan tersebut setelah satu petisyen dilancarkan oleh sekumpulan ibu bapa yang membangkitkan keprihatinan terhadap program untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat vaksinasi.

Menurut sesetengah ibu bapa, kurangnya pilihan untuk memilih tidak mengikuti program vaksinasi, yang kemudian digabungkan pula dengan hakikat bahawa program tersebut disasarkan kepada kanak-kanak yang belum lagi membuat janji temu untuk divaksin, telah memberikan mereka gambaran seolah-olah program vaksinasi itu bukan secara sukarela.

Petisyen itu juga mendakwa bahawa sesetengah sekolah menghendaki para pelajarnya menyerahkan borang minta izin untuk dikecualikan daripada program itu.

Sejumlah ibu bapa yang ditemui Mediacorp berkata mereka dihubungi oleh guru anak-anak mereka yang bertanya mengapa mereka belum membuat janji temu dan bila mereka merancang untuk berbuat demikian.

Para ibu bapa tersebut tidak mahu identiti mereka didedahkan kerana tidak mahu anak-anak mereka dikenal pasti oleh sekolah mereka.

Disebabkan oleh usaha pendampingan itu, sesetengah ibu bapa berkata bahawa mereka berasa tertekan untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin meskipun mereka telah memutuskan untuk tidak berbuat demikian atau masih menimbangkannya.

Menurut ibu kepada seorang murid berusia 12 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Choo, 41 tahun: "Saya rasa tertekan sehinggakan saya rasa tidak dapat bernafas."

Sesetengah ibu bapa juga berkata mereka khuatir anak-anak mereka akan dipinggirkan kerana tidak divaksin dan mungkin terlepas peluang bagi perkara-perkara lain pada masa akan datang jika mereka tidak berbuat demikian.

Ada yang terkejut apabila mendapat tahu pihak sekolah dan guru mempunyai akses kepada maklumat mengenai pelajar yang belum lagi membuat janji temu vaksinasi dan mereka berpendapat maklumat seperti itu seharusnya disifatkan sebagai maklumat peribadi dan maklumat sulit.

APA KATA MOE...

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, MOE menyatakan program vaksinasi bagi para pelajar ditawarkan secara sukarela dan para pelajar yang belum divaksin tidak akan dipaksa untuk berbuat demikian apabila sekolah dibuka kelak.

Berhubung rancangan untuk menghantar para pelajar ke pusat-pusat vaksinasi apabila sekolah dibuka semula, MOE menyatakan sekolah-sekolah akan menghantar para pelajar yang belum lagi menempah janji temu melalui sistem janji temu nasional ke salah satu daripada tiga pusat vaksinasi Kolej Institut Pendidikan Teknikal, hanya jika ibu bapa sudah memberikan keizinan untuk anak-anak mereka divaksin.

"Para pelajar yang mahu divaksin di kemudian hari, dan juga mereka yang berusia 12 tahun pada lewat tahun ini dan mahu divaksin, boleh membuat janji temu menerusi sistem janji temu nasional," tambah kenyataan tersebut.

MOE menambah sebagai sebahagian daripada usaha pendampingannya, sekolah-sekolah mungkin akan menghubungi para ibu bapa bagi "memastikan bahawa mereka sedia maklum tentang program vaksinasi untuk para pelajar kerana sesetengah ibu bapa mungkin belum menerima pelawaan untuk membuat pendaftaran."

"Sekolah-sekolah juga akan menghubungi para ibu bapa untuk mengetahui jika mereka memerlukan maklumat atau sokongan tambahan," menurut MOE.

Ini termasuk sama ada mereka berdepan sebarang isu ketika membuat pendaftaran bagi janji temu kerana mereka tidak pasti bagaimana untuk mengisi borang perisytiharan perubatan dalam bahasa Inggeris atau jika mereka tidak dapat mencari slot yang sesuai untuk anak mereka, menurut MOE.

Apabila dimaklumkan tentang jawapan MOE, ramai ibu bapa berkata mereka berasa lega dengan penjelasan daripada MOE bahawa program vaksinasi itu adalah secara sukarela.

Sungguhpun demikian, sesetengah ibu bapa berkata mereka masih khuatir jika anak-anak mereka boleh dipengaruhi oleh tekanan rakan sebaya apabila sekolah dibuka semula.

"Saya perlu tunggu sehingga Penggal 3 bermula untuk tahu bagaimana situasinya," kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Chua. Beliau mempunyai dua orang anak berusia 17 dan 15 tahun.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita