Skip to main content

Singapura

Program UPLIFT dipertimbang diluaskan kepada pelajar ITE - Dr Maliki

Kementerian Pendidikan (MOE) sedang mempertimbangkan untuk meluaskan Program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Dec 2020 05:08PM Dikemas Kini : 26 Dec 2020 10:08PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) sedang mempertimbangkan untuk meluaskan Program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman berkata rancangan itu termasuk dalam semakan yang dijalankan kementeriannya untuk membantu pelajar ITE dan politeknik mencapai potensi dan aspirasi mereka.

Program perintis UPLIFT dilancarkan awal tahun ini dan dijalankan bersama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Program dua tahun itu menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah serta keluarga mereka yang tinggal di Woodlands, Kreta Ayer dan Boon Lay.

Ia mengenal pasti dan membantu mereka yang menunjukkan tanda-tanda awal bermasalah seperti ponteng sekolah secara tetap.

Dr Maliki berkata masalah ponteng sekolah dan keciciran juga berlaku dalam kalangan para pelajar pos menengah walaupun cabaran yang dihadapi berbeza-beza.

"Para penuntut di ITE misalnya, kita mendapati ada di kalangan mereka yang tidak dapat memenuhi atau menghabiskan keperluan kursus-kursus mereka. Kedua, ialah dari aspek kekeluargaan mereka. Kami dapati mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah, yang berpendapatan rendah, kadang-kala mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan keperluan persekolahan kerana ramai di antara mereka juga mengambil pekerjaan sambilan," kata Dr Maliki.

"Maka itu, kami ingin membantu mereka dan membawa program UPLIFT ke tahap ITE juga. Ini supaya kami dapat membantu mereka secara menyeluruh selain daripada memberi sokongan kewangan," jelas beliau.

Selain itu, terdapat sebilangan pelajar ITE yang mungkin disalurkan ke kursus yang tidak atau kurang mereka minati sehingga ada yang memilih untuk tidak menamatkan kursus mereka.

Dr Maliki yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri berkata:"Kami dari program mentor akan memberi mereka satu harapan melihat bagaimana mentor mereka boleh membantu mereka menerusi membuka peluang- peluang seperti "networking" membina rangkaian di mana mereka boleh melihat apakah pekerjaan yang dapat mereka ceburi apabila mereka dapat menghabiskan persekolahan mereka."

Menurutnya lagi sebuah program khusus untuk memperkasa pelajar ITE di bawah Bidang Tumpuan Ketiga (FA3) M³ akan membimbing mereka dari segi kemahiran kehidupan dan juga kerjaya.

Program itu dikendalikan di bawah penyeliaan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam.

Dalam pada itu, Dr Maliki juga berharap lebih ramai lulusan ITE akan memanfaatkan program Diploma Kerja-Belajar yang memberi mereka peluang untuk membina kerjaya mereka.

Di bawah program itu, para pelajar diambil bekerja sebagai kakitangan bergaji sepenuh masa, dan 70 peratus daripada waktu kurikulum terdiri daripada latihan di tempat kerja.

Dr Malik berkata program itu akan disemak awal tahun depan untuk memastikan ia terus selari dan memenuhi aspirasi golongan muda yang berubah-ubah.

"Dengan kesinambungan ini, kita lihat para penuntut ini menyumbang secara langsung kepada keperluan syarikat tersebut dan bagi syarikat pula membantu dalam peningkatan kemahiran yang berkaitan langsung dengan proses yang mereka perlukan dalam pekerjaan mereka," ujarnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita