Program ulang kaji, simulator kabin antara cara pemandu bas awam belajar pandu dengan selamat
Sekitar 185 kemalangan serius melibatkan bas awam berlaku pada 2024, berbanding 200 pada 2023 dan 191 pada 2022.

Para pemandu bas dilatih agar sentiasa peka dan fokus ketika menjalankan tugas agar mereka dapat mengambil tindakan yang betul demi mengelakkan kemalangan di jalan raya. (Gambar: CNA/Justin Ong)
Namun begitu, sebelum mereka berdepan dengan situasi-situasi tersebut semasa menjalankan tugas, ada dalam kalangan mereka yang sudah terdedah kepada situasi sedemikian di dalam bilik darjah.
Dipaparkan pada skrin adalah rakaman sebenar daripada kamera dari dalam kenderaaan, yang menunjukkan seorang kanak-kanak kecil yang tiba-tiba berlari di hadapan sebuah kenderaan yang sedang bergerak pada waktu malam.
Kenderaan itu sempat menekan brek dan kanak-kanak, yang dikejar penjaganya, hampir-hampir dilanggar.
"Anda tidak boleh mengawal kanak-kanak itu, mereka tidak tahu apa yang betul dan salah, atau (apa yang) berbahaya," kata Encik Gabriel Seah, seorang jurulatih latihan dan ujian mengenai kesedaran bahaya bagi pengendali pengangkutan SBS Transit, kepada sekumpulan pemandu bas di dalam sebuah bilik darjah.
"Namun apa yang boleh anda kawal ialah tahap kepekaan anda, fokus anda, dan tindakan betul yang boleh diambil."
Satu lagi situasi yang dipaparkan di skrin menunjukkan seorang warga emas yang sedang melintas jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan.
Seperti yang dijangka, beberapa keluhan kedengaran dalam kalangan pemandu bas.
"Jika pemandu memantau sekitarannya, dia akan sedar adanya seseorang yang sedang berlalu," kata beliau.
Satu lagi video yang dipaparkan, menunjukkan dua buah kereta yang enggan memberi laluan antara satu sama lain, menyebabkan kemalangan di mana dua kereta itu bergeser.
Encik Seah menegaskan sekali lagi: "Sedikit kesabaran di jalan raya boleh membawa perubahan besar. Jangan risau tentang satu atau dua saat... lebih baik selamat daripada mengundang masalah-masalah yang tidak perlu seperti ini."
Sesi pembelajaran itu merupakan sebahagian daripada program latihan semula 'Bus Captain Drive Safe' yang dilancarkan pada Ogos 2022, dengan tujuan untuk mengukuhkan kepentingan memandu dengan selamat dalam kalangan pemandu bas.
Dijalankan di Akademi Bas Singapura, di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair, lebih 4,000 kapten bas, yang merangkumi sekitar 40 peratus pemandu bas aktif, telah mengikuti kursus tersebut.

Kursus itu turut melibatkan 'ujian berdasarkan situasi' menggunakan simulator bas.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), jumlah kemalangan serius yang melibatkan bas awam di Singapura "kekal stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini."
Terdapat sekitar 185 kemalangan serius pada 2024, berbanding 200 pada 2023 dan 191 pada 2022.
Pihak media dibenarkan untuk memerhati salah satu daripada sesi pembelajaran yang dijalankan. Selain daripada menonton video yang menunjukkan pelbagai situasi kemalangan atau yang hampir menyebabkan kemalangan, para pemandu bas turut digalak untuk membincangkan pelbagai senario sesama sendiri.
Walaupun Encik C Elangkovan, seorang peserta program, mempunyai 27 tahun pengalaman dalam memandu bas, kapten bas kanan naungan syarikat Go-Ahead Singapore itu berkata bahawa dia dapat mempelajari beberapa perkara baharu.
"Kita harus terus belajar supaya kita dapat mengelakkan kemalangan," kata beliau.
Encik Elangkovan juga berkata bahawa dia gemar berkongsi pengalaman luasnya dengan pemandu bas yang lebih muda semasa perbincangan kumpulan.
“Saya akan berbual dengan mereka dan ajar mereka untuk mengikut semua peraturan, seperti yang saya lakukan,” tambahnya.
Satu lagi peluang bagi semua pemandu bas baharu untuk mempelajari tentang keselamatan ialah menerusi kursus EVLTP selama lima hari.
Sejak November 2016, semua pemandu baharu wajib mengikuti kursus tersebut untuk mendapatkan lesen memandu bas awam.
Lebih 10, 000 kapten bas telah menamatkan kursus EVLTP pada 31 Dec.
MENCUBA SIMULATOR BAS
Selepas pembelajaran dan perbincangan di bilik darjah, pemandu bas kemudian dilatih untuk mengelakkan situasi berbahaya menerusi penggunaan simulator bas di Pusat Latihan dan Penilaian Bas Singapura yang terletak bersebelahan Akademi Bas Singapura.
Beroperasi sejak 2015, simulator ini adalah satu daripada lapan simulator kabin bas penuh. Beberapa skrin besar mengelilingi pemasangan tersebut, mensimulasikan pemanduan di jalan raya Singapura.
Simulator ini menyerupai konsol pemandu, panel instrumen, dan ciri pemanduan serta memperkenalkan situasi-situasi berbeza kepada pemandu seperti keadaan trafik yang sesak, jalan yang sempit, dan jumlah pejalan kaki yang tinggi.
Apabila wartawan Mediacorp mencuba simulator tersebut, beliau dibanjiri dengan pelbagai keadaan berbahaya: Basikal yang memotong laluan bas, kereta yang tidak menghormati hak laluan bas, dan pejalan kaki yang secara tiba-tiba berlari melintas jalan.
Selain daripada berasa loya selepas beberapa minit memandu, beliau juga secara tidak sengaja melanggar seorang pengayuh basikal selepas gagal menekan brek tepat pada masanya.
Terdapat juga 10 simulator asas yang menggunakan beberapa skrin lebih kecil dan pemasangan tempat duduk pemandu yang lebih ringkas untuk mensimulasikan keadaan bahaya di jalan raya.
Selain daripada program Bus Captain Drive Safe, simulator tersebut juga digunakan untuk melatih pemandu bas barhau semasa EVLTP mereka.

Walaupun kemahiran pemanduan secara selamat boleh dikuasai di bilik darjah, bagaimanakah prestasi pemandu bas di jalan raya sebenar?
Pihak Mediacorp mengikuti pemandu bas Izwan Sabtu yang berusia 33 tahun bagi perjalanan terakhir bas 198 dari Pusat Pertukaran Bas Bukit Merah ke Pusat Pertukaran Bas Boon Lay.
Bermula pada 11.45 malam, perjalanan itu berjalan dengan lancar kerana jumlah kereta dan pejalan kaki yang kurang pada waktu tengah malam.
Namun, ada satu kejadian di mana seorang pejalan kaki melintas jalan di hadapan bas walaupun lampu hijau bagi bas telah menyala.
Sesetengah pemandu mungkin akan membunyikan hon untuk menegur pejalan kaki yang melanggar peraturan itu, tetapi Encik Izwan mengurangkan kelajuan untuk membenarkan pejalan kaki itu melintas sebelum bergerak semula.

Kemudian, ada juga kereta lain yang mungkin memotong laluan atau gagal mematuhi hak laluan yang betul. Walaupun ini tidak berlaku dalam perjalanan bas tersebut, Encik Izwan bersedia menghadapi situasi itu.
“Saya perlu bersabar, dan menjaga jarak selamat dari kenderaan di hadapan,” katanya.
Bahkan pemanduan secara selamat bukan sekadar memastikan bas tidak terlibat dalam kejadian yang tidak diingini dengan mereka yang berada di luar bas sahaja.
Pemandu bas juga perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang di dalam bas, kongsi Encik Izwan.
“Sebagai contoh, untuk warga emas dan wanita hamil, saya pastikan yang saya tidak bergerak sehingga mereka duduk (atau) memegang sesuatu semasa bergerak ke tempat duduk mereka.”
“Untuk memastikan keselamatan penumpang saya, saya akan sentiasa 100 peratus peka tidak kira apa yang berlaku."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.