Skip to main content

Singapura

Program Tunas Bersama M³ akan diperkukuh agar kekal relevan penuhi keperluan masyarakat: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kurikulum dan pendekatan pementoran bagi program Tunas Bersama M³ akan dipertingkatkan bagi edisi-edisi akan datang.

Selain itu, program itu juga akan memperluaskan peluang kolaborasi antara para peserta.

Menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, ini demi memperkukuhkan lagi program tersebut daripada struktur sedia ada.

"Bersandarkan maklum balas daripada kohort pertama dan kedua, MENDAKI akan menilai dan memperkukuh program ini, termasuk mempertingkatkan kurikulum dan pendekatan pementoran serta memperluas peluang kolaborasi. Langkah ini akan memastikan program Tunas Bersama M³ kekal relevan dan responsif akan keperluan masyarakat yang kian berkembang," ujar Dr Faishal.

Related article image
<p>Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber, peserta&nbsp;Tunas Bersama M³,&nbsp;Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, peserta&nbsp;Tunas Bersama M³, Muhamad Firdaus Hamzah, dan&nbsp;Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamed. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)</p>
Beliau berkata demikian di luar majlis tamat program Tunas Bersama M³ bagi edisi kedua pada Selasa (20 Jan).

Majlis tamat program itu meraikan seramai 22 pemimpin masyarakat dan industri yang menjalani program kepimpinan selama 18 bulan itu.

TUNAS BERSAMA M³ SEJAK DILANCARKAN PADA 2022
Related article image
Kohort kedua Tunas Bersama M³ bersama&nbsp;Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim,&nbsp;Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamed dan&nbsp;Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Menurut MENDAKI, Program Tunas Bersama M³ yang dilancarkan pada 2022 merupakan satu komitmen jangka panjang bagi memupuk dan membangunkan generasi pemimpin masyarakat yang seterusnya.

Maka itu, kohort kedua bagi program Tunas Bersama M³ diperluaskan untuk melibatkan peserta bukan sahaja dari badan-badan Melayu/Islam, tetapi para pengerusi M³@Bandar dan pemimpin daripada Rangkaian Karyawan MENDAKI juga disertakan.

Jumlah peserta dalam kohort kedua program itu juga sekitar 50 peratus lebih tinggi berbanding jumlah peserta kohort pertama.

Para peserta dilatih dalam bidang urus tadbir dan kepimpinan, didedahkan kepada para pemimpin pemerintah yang akan berkongsi tentang aspek dasar negara serta diharap mengusulkan projek untuk dilaksanakan di bandar-bandar M³.

Para peserta kohort pertama bagi program itu termasuk Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan merangkap Pembangunan Negara Dr Syed Harun Alhabsyi yang ketika itu merupakan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Anggota Parlimen GRC East Coast Hazlina Abdul Halim ketika menjadi Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

PESERTA KOHORT KEDUA JALANKAN 10 PROJEK MASYARAKAT

Antara aspek utama program tersebut adalah untuk memperkukuhkan kemahiran kepimpinan masing-masing.

Salah satu caranya adalah dengan terlibat dalam menjalankan projek-projek kemasyarakatan.

Sebanyak 10 projek dijalankan bersama sepanjang program tersebut berlangsung.

"Program seperti Tunas Bersama M³ bukan sahaja mempersiapkan pemimpin muda kita untuk berjaya secara peribadi, malah membentuk mereka untuk menyumbang kembali secara bermakna bagi membina dan mengukuhkan masyarakat kita bersama," kongsi Dr Faishal kepada pihak media.
 

Related article image
Valedictorian Tunas Bersama M³,&nbsp;Muhamad Firdaus Hamzah. (Gambar: Facebook/Dr Muhammad Faishal Ibrahim)

Penolong Ketua (Kejuruteraan) Rangkaian Karyawan MENDAKI, Encik Muhamad Firdaus Hamzah, yang dinobatkan sebagai peserta paling cemerlang dalam program tersebut misalnya menjalankan program pemerkasaan asatizah.

Projek yang dinamakan Diversity-Driven Upskilling for Asatizah (D.U.A.) itu antara lain meningkatkan kemahiran komunikasi, dan keusahawanan.

"(Sekitar) 30 asatizah telah mengambil bahagian dalam tiga modul dan modul-modul ini adalah dalam segi pembangunan kepimpinan, pembangunan kerjaya dan juga komunikasi digital. Jadi, kami harap melalui program ini, asatizah lebih yakin dan dapat amalkan empati apabila mereka pergi ke masyarakat untuk mengajar," kongsi Encik Firdaus.

Related article image
Encik Firdaus, Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah&nbsp;jalankan Projek Diversity-Driven Upskilling for Asatizah (D.U.A.) bersama peserta lain. (Gambar: MENDAKI)

Program itu dijalankan Encik Firdaus bersama para peserta lain termasuk Encik Khairilanwar Baharudin, Encik Shamir Wahid dan Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid.

"Ini agak unik kerana kita tidak pernah ada satu modul sebegini khusus bagi asatizah, di luar topik-topik tentang ukhrawi dan agama," kongsi Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah.

Related article image
Peserta&nbsp;Tunas Bersama M³,&nbsp;Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)&nbsp;

"Saya sendiri adalah seorang asatizah dan kadangkala, kita ini mungkin berada dalam satu kepompong ataupun disiplin yang sama. Bagi saya dalam konteks Singapura sendiri, kita perlukan kepelbagaian, terutama sekali sekiranya kita ingin berkhidmat dalam masyarakat," tambahnya.

Program-program lain yang dijalankan para peserta termasuk inisiatif Digital Minaret, yang bekerjasama dengan 25 penduduk di flat sewa berhampiran Masjid Omar Kampong Melayu.

Inisiatif itu menekankan kepentingan celik digital, keselamatan online dan akses kepada maklumat kerjaya.

PANDANGAN PESERTA NILAI KEBERKESANAN TUNAS BERSAMA M³

Related article image
Valedictorian Tunas Bersama M³,&nbsp;Muhamad Firdaus Hamzah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)&nbsp;

Melangkah ke hadapan, Encik Firdaus juga berharap dapat terus mendampingi masyarakat, termasuk membimbing mereka dalam bidang kejuruteraan.

"Di luar program ini, saya juga salah seorang mentor kepada lebih daripada 10 karyawan dan jurutera dan saya akan terus menolong sesiapa yang ingin meminta nasihat, dan peluang dalam kerjaya mereka. Jadi, saya juga harap lebih banyak akan tampil ke hadapan sebagai sukarelawan dalam bidang jurutera atau bidang-bidang yang lain juga, supaya ini akan menolong masyarakat kami di dalam aspek ini," jelas beliau.

Related article image
Tunas Bersama M³&nbsp;sediakan ruang mempelajari daripada para peserta lain yang datang daripada pelbagai bidang berbeza. (Gambar: MENDAKI)

Program itu juga menurut Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah satu peluang yang baik untuk mempelajari daripada para peserta lain yang datang daripada pelbagai bidang berbeza.

Beliau berkata: "Bila kita rasa bersemangat untuk berkhidmat ataupun menjadi sukarelawan untuk menyumbang kepada masyarakat, semangat ini sahaja tidak mencukupi. Jadi, kita memerlukan ilmu sebenarnya untuk memastikan bahawa sumbangan dan khidmat kita kepada masyarakat ialah satu proses yang berkesan."

"Memandangkan para peserta, iaitu rakan-rakan saya, mempunyai latar belakang yang berbeza, kami dapat saling berkongsi pandangan yang saling melengkapi. Inilah yang menjadikan pengalaman pembelajaran, khususnya dalam pengurusan projek begitu unik."

Sepanjang program itu, para peserta juga berpeluang menyertai perjalanan pembelajaran merentas sektor dan memperoleh bimbingan dan pandangan menerusi sesi pementoran dan perbincangan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita