Program 'tunai untuk kitar semula' antara inisiatif pelan bandar hijau PAP
Para penduduk di bandar-bandar kendalian Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup bebas sisa, melalui satu program wang tunai untuk kitar semula dan lebih banyak mesin kitar semula kertas akan dipasang di estet mereka, menurut PAP pada Sabtu (4 Dis).
SINGAPURA: Para penduduk di bandar-bandar kendalian Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup bebas sisa, melalui satu program wang tunai untuk kitar semula dan lebih banyak mesin kitar semula kertas akan dipasang di estet mereka, menurut PAP pada Sabtu (4 Dis).
Di bawah inisiatif Tindakan bagi Bandar Hijau (AGT), parti itu menetapkan sasaran untuk meletakkan sekurang-kurangnya 78 mesin kitar semula kertas di 15 bandar menjelang hujung bulan ini, dengan kerjasama SGRecycle.
Para penduduk perlu mengimbas kod QR pada mesin itu untuk mendaftar sebelum mengitar semula barang-barangan mereka. Mereka akan menerima S$0.06 bagi setiap 1 kilogram kertas atau kadbod yang dikitar semula. Wang itu akan disimpan di dalam dompet digital mereka sebelum dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing.
Apabila keadaan COVID-19 bertambah baik, program pendampingan akan dijalankan untuk meningkatkan kesedaran tentang mesin-mesin itu dalam kalangan penduduk, menurut PAP dalam kenyataan medianya.
Kesemua majlis bandaran PAP turut berikrar akan mengurangkan penggunaan kertas. Misalnya, dengan membuat pembayaran secara elektronik kepada para kontraktor bukannya mengeluarkan cek jika boleh.
Ini merupakan antara inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh PAP pada Sabtu, beberapa bulan setelah ia pertama kali mendedahkan inisiatif Tindakan bagi Bandar Hijau.
Dilancarkan pada Mei, inisiatif itu bertujuan untuk menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk saling bekerjasama bagi menjadikan setiap bandar di bawah kendalian PAP "bebas sisa, cekap tenaga dan lebih hijau" menjelang 2025.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, kesemua 15 majlis bandaran PAP mempunyai seorang Anggota Parlimen sebagai "pejuang kemampanan".
15 individu itu, bersama dengan wakil PAP Muda, membentuk pasukan bertindak Tindakan bagi Bandar Hijau yang diterajui oleh pengerusi Majlis Bandaran Jalan Besar, Dr Wan Rizal.
Bercakap di sidang media pada Sabtu, Dr Wan Rizal berkata dalam melakar pelan itu, pasukan bertindak tersebut turut mengambil kira apa yang dilakukan oleh setiap bandar dari segi kemampanan.
"Kami menyiapkan kad laporan, dan laporan ini dengan jelas menunjukkan apa yang telah mereka lakukan sepanjang beberapa tahun lalu dan sejauh mana ia membawa kesan," kata Dr Wan Rizal.
PERTINGKAT KECEKAPAN TENAGA
Lebih 3,000 lif di bandar-bandar PAP akan digantikan dengan model yang lebih "menjimatkan elektrik" dan cekap menjelang 2025 apabila ia mencecah jangka hayat yang disarankan, menurut PAP.
Untuk terus mempertingkatkan kecekapan tenaga, kesemua majlis bandaran PAP akan memperkenalkan spesifikasi penjimatan elektrik dalam Program Penggantian Lif.
"Model lif yang baru akan bantu menjimatkan elektrik dengan ciri-ciri seperti sistem penjanaan semula tenaga, paparan LED, lampu LED dengan 'sensor', pengudaraan lebih baik," menurut PAP dalam kenyataan medianya.
Buat masa ini, hampir kesemua lampu di ruang-ruang bersama di estet-estet kendalian PAP ditukar kepada lampu LED yang menjimatkan tenaga.
BANDAR HIJAU
Menjelang 2023, kesemua majlis bandaran PAP akan menggunakan peralatan untuk mengubah daun-daun dan ranting yang gugur menjadi sungkupan bagi mengurangkan sisa dan jejak karbon daripada mengangkut lebihan bahan tumbuhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.