Skip to main content

Singapura

Program 'Shiok Food' NKF dan FFFA sediakan makanan seimbang untuk pesakit ginjal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Feb 2025 10:33PM Dikemas Kini : 23 Mar 2025 12:38PM
SINGAPURA: Pemakanan seimbang adalah penting bagi pesakit ginjal, tetapi mendapatkan akses kepada hidangan berkhasiat sering kali menjadi cabaran.

Melalui program perintis Shiok Food yang dijalankan bersama Free Food For All (FFFA) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), para pesakit kini dapat menikmati hidangan siap dimakan yang sesuai dengan keperluan diet mereka.

120 PESAKIT DIALISIS NKF DIPILIH SERTAI PROGRAM 'SHIOK FOOD'

Seramai 120 pesakit ginjal dari NKF telah dipilih sebagai penerima pertama pek makanan itu yang disediakan secara percuma.
 
Related article image
Program ‘Shiok Food’ (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Hidangan siap makan itu amat membantu pesakit ginjal seperti Encik Mohamed Elmie Salamu, 44 tahun, yang perlu lebih berwaspada terhadap dietnya.

"Ia begitu senang sekali. Kita hanya tinggal memotong paket makanan itu untuk dimasukkan ke dalam bekas plastik. Kemudian masukkan sahaja makanan itu dalam ketuhar gelombang mikro, tinggal memanaskannya sahaja," kongsi Encik Elmie kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Related article image
Peserta ‘Shiok Food’ (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Program Shiok Food yang dilaksanakan oleh NKF itu bertujuan untuk menyediakan hidangan seimbang dan berkhasiat kepada pesakit dialisis yang menghadapi cabaran kewangan, perubatan, dan pemakanan.

"Kita memberikan pesakit-pesakit kita kemudahan untuk menyediakan makanan dan mungkin memberikan mereka keterjaminan makanan. Daripada tinjauan kami, sebanyak 48 peratus daripada pesakit menghadapi masalah untuk menyediakan makanan, dan 13 peratus daripada mereka mungkin tidak dapat makan lebih daripada sekali sehari. Jadi, dengan program ini, kami mengharapkan dapat memberikan mereka kemudahan supaya mereka dapat makan dengan lebih berkhasiat dan ada keterjaminan makan bagi diri mereka," kongsi Ketua Penjagaan Masyarakat NKF, Cik Zarina Yusof.
 
Related article image
Peserta ‘Shiok Food’ Encik Elmie. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Encik Elmie yang turut menghidap penyakit kencing manis menerima 20 pek makanan tersebut yang mencukupi untuk sebulan.

"Alhamdulillah, ia membantu saya dari segi kewangan untuk menyediakan makanan sihat. Jadi jika saya tidak keluar pergi membeli barang-barang mentah di NTUC ke apa, menerusi program ‘Shiok’ ini, saya boleh (makan) di rumah hanya dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro" kata Encik Elmie.
Related article image
Badan Amal Free Food For All. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
NKF KERJASAMA DENGAN FFFA

Sepuluh hidangan yang disediakan adalah halal dan dirumus khas dengan bimbingan pakar pemakanan dari NKF dan FFFA bagi memastikan kesesuaiannya untuk pesakit ginjal.

"Kami telah bekerja keras dengan pihak berkepentingan, pembekal dan pakar makanan untuk mencari keseimbangan pemakanan dan rasa berkhasiat and lazat. Pada masa yang sama, kami perlu memastikan tempoh tarikh luput yang munasabah untuk tawaran ini dalam pakej yang mudah. Kami berharap kami telah menyampaikan dengan baik berdasar semua keperluan dan batasan ini," kongsi Penyelia Kebajikan dan Penglibatan FFFA, Cik Natasha Zakarihya.
 
Related article image
Cik Natasha. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Cik Zarina pula menambah, "Kami bekerjasama dengan FFFA kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam menyediakan makanan untuk masyarakat dan oleh kerana mereka mempunyai pengalaman ini, kami boleh berunding dengan mereka bagaimana untuk membuat makanan yang lebih berkhasiat dan sesuai untuk pesakit pesakit ginjal. Oleh kerana kebanyakan daripada pesakit kami mempunyai tekanan darah tinggi, ia amat penting untuk memastikan bahawa masakan-masakan ini dan makanan-makanan ini tidak memberikan mereka masalah dari segi kesihatan."

Melangkah ke hadapan, NKF berharap dapat meningkatkan jumlah peserta dan dana agar dapat menyediakan pilihan makanan yang lebih meluas lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita