Program sambilan sarjana muda ditawarkan buat kali pertama untuk banduan
Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk memulakan satu program Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan dengan pengkhususan dalam logistik dan pengurusan rantaian bekalan.
SINGAPURA: Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk memulakan satu program Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan dengan pengkhususan dalam logistik dan pengurusan rantaian bekalan.
Dimulakan pada Julai tahun lepas, program pengajian sarjana muda secara sambilan itu ditawarkan khusus untuk para banduan yang sudahpun meraih diploma semasa dalam penjara.
Seramai 53 banduan menyertai program tersebut untuk mendapatkan Diploma Amalan Perniagaan (Pengurusan Rantaian Bekalan Antarabangsa) apabila ia ditawarkan dua tahun lalu.
Daripada jumlah itu, lapan mengambil keputusan untuk menyertai program sarjana muda yang baru ditawarkan.
Kursus sambilan sepanjang lapan tahun tersebut boleh dijalani para banduan semasa di sekolah penjara, dan di SUSS selepas mereka dibebaskan.
Menurut Naib Pengetua Sekolah Penjara, SPS, Paruk Kothari, program sarjana muda tersebut dimulakan agar para banduan dapat memanfaatkan masa mereka di dalam penjara.
Mereka percaya bahawa para banduan yang sudah meraih Diploma patut mengambil peluang keemasan itu untuk mempertingkatkan diri mereka semasa dalam penjara.
Perincian program sarjana tersebut disampaikan semasa taklimat media yang diadakan pada Rabu (3 Feb).
KADAR KEBENTANAN PESALAH MEROSOT KE PARAS REKOD TERENDAH
Kadar kebentanan pesalah secara keseluruhan kekal rendah dan stabil sejak tiga tahun lalu.
Sekitar 8 daripada setiap 10 banduan yang dibebaskan pada 2018 tidak ditangkap atas sebarang jenayah dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan.
Lantaran itu, kadar kebentanan dalam kalanan pesalah mencapai rekod terendah pada 22.1% pada 2020, turun daripada 24% pada tahun sebelumnya.
Kadar yang berkurangan itu antaranya disebabkan usaha SPS dalam menggunakan pendekatan penjagaan rapi dalam memulihkan para banduan.
Ia juga bekerjasama dengan Reben Kuning Singapura (YRSG), rakan-rakan masyarakat dan sukarelawan.
Misalnya, SPS menyediakan program pemulihan untuk mengurangkan risiko mengulangi perbuatan jenayah serta menangani keperluan pemulihan para banduan.
SPS juga mempersiapkan mereka untuk menjadi individu yang dapat memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Para banduan dapat menyertai program-program untuk meningkatkan motivasi mereka untuk berubah seperti latihan kemahiran vokasional, program kerja, program keluarga dan kaunseling agama.
LEBIH RAMAI PESALAH JALANI PROGRAM PEMULIHAN MASYARAKAT
Dalam perkembangan lain pula, lebih ramai pesalah menjalani program Pemulihan Masyarakat sejak tiga tahun lalu.
Seramai 3,426 pesalah menjalani program itu tahun lalu, berbanding 2,415 pesalah pada 2019 iaitu peningkatan sekitar 42%.
Pada 2018 pula, sekitar 2,000 pesalah menjalani program tersebut.
SPS meletakkan para pesalah ke dalam program tersebut bagi memudahkan proses pemulihan mereka dan agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat.
Ia juga menyatakan skim-skim seperti itu lebih berkesan untuk menjauhkan bekas pesalah daripada membuat kesalahan berulang berbanding jika mereka dikenakan hukuman penjara sepenuhnya.
Berkat usaha menyeluruh SPS juga, kadar penyelesaian bagi Program Berasaskan Masyarakat (CBP) untuk para pesalah dalam Pusat Pemulihan Dadah (DRC) mencatatkan rekod tertinggi tahun lalu iaitu 90.1%.
Kadar tersebut lebih tinggi berbanding 87.6% yang dicatatkan pada 2019 dan 86.3% pada 2018.
Dalam pada itu, kadar penyelesaian bagi program CBP untuk para pesalah lain juga mencatatkan kadar yang memberangsangkan, iaitu 95.2%.
KALI KEEMPAT TANGKAP DISEBABKAN DADAH, 'IRFAN' SUDAH SERIK
Sejak berusia 17 tahun lagi 'Irfan' ditangkap disebabkan menyalahgunakan dadah Heroin.
Lantaran itu, beliau meringkuk di penjara selama enam tahun dan dikenakan lima sebatan rotan.
Meskipun menerima hukuman berat, 'Irfan' ketika itu belum berasa kesal atas kesalahannya.
'Irfan' berkata: "Saya masih muda (pada waktu itu) dan tidak memikirkan banyak sangat. Saya merasakan boleh tahan sebab baru berapa tahun saja. Mungkin saya tak ingat nak berubah. Saya tidak ada rasa kesal atau takut."
"Bila saya keluar, baru umur 22 tahun, masih darah muda dan tidak ada tanggungjawab. Pada masa itu pun mak saya masih sihat jadi saya rasa kalau saya masuk pun mak saya akan tetap kunjungi saya. Jadi saya tetap nak cuba dan pada waktu itu ada ‘ice’. Saya ditangkap buat kali kedua dan dihantar ke DRC buat 18 bulan," tambah 'Irfan lagi mengenai penangkapannya buat kali kedua.
Kali ketiga 'Irfan' ditangkap kerana masih terjebak dengan dadah, dia dikenakan hukuman penjara Tempoh Panjang 1 (LT1) selama lima tahun.
Pada 2019, 'Irfan' ditangkap buat kali keempat.
"Ini kali keempat. Bila saya ditangkap, anak-anak saya bersama saya. Ia memberi kesan kepada saya sebab saya dapat lihat muka takut mereka bila CNB ketuk pintu. Saya bermuhasabah diri dan kesal tentang apa yang berlaku," ujar Irfan.
Kejadian ditangkap di depan anak-anaknya, begitu mengubah cara pemikirannya dan membuatnya ingin berubah.
Mujur bagi 'Irfan', dia tidak diberikan hukuman penjara. Beliau sebaliknya diletakkan dalam DRC selama tiga tahun.
Di sana juga, beliau diberi peluang untuk menjalani Program Berasaskan Masyarakat (CBP) iaitu sebahagian daripada program pemulihan masyarakat.
'Irfan berkata: "Bagi saya CBP amat membantu. Seperti sekarang saya di Rumah Peralihan Pertapis. Jadi di sana, kakitangan mereka amat membantu dan ingin kita berubah. Jika saya ada masalah, mereka akan membantu."
Dalam usaha membantu para penghuni mereka kembali ke pangkuan masyarakat, pihak Pertapis juga bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk menawarkan pekerjaan buat mereka.
Encik Muhammad Sufian Md Salim, Ketua Rumah Peralihan Pertapis
berkata: "Kita mendapat lebih banyak sokongan, lebih banyak syarikat membuka pintu mereka untuk para penghuni kami untuk memberi mereka peluang dapatkan pekerjaan dan mempertingkatkan diri."
"Mereka sentiasa berunding dengan para majikan dan para penghuni lain, mereka dapat bertahan dalam pekerjaan itu sehinggalah mereka tamatkan program tersebut," tambah Encik Sufian.
Berkat kerjasama itu, 'Irfan' ditawarkan pekerjaan bersama Hospital Besar Singapura untuk menghantar ubat-ubat ke rumah-rumah para pesakitnya.
"Memang saya ingin berubah. Di Pertapis, ada banyak pertolongan. Tanpa mereka, ia mungkin lebih susah dan tidak semudah sekarang. CBP amat membantu dalam perubahan diri saya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.