Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Saham Kesihatan tampilkan ciri-ciri senaman, makanan menarik bersesuaian dengan penduduk

Bagi mendorong masyarakat untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat, sebuah program akan dilancarkan secara bertahap-tahap di bandar-bandar M³ sepanjang dua tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Program Saham Kesihatan tampilkan ciri-ciri senaman, makanan menarik bersesuaian dengan penduduk

Sekumpulan wanita bersenam semasa Hari Raya. (Gambar fail: BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Bagi mendorong masyarakat untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat, sebuah program akan dilancarkan secara bertahap-tahap di bandar-bandar M³ sepanjang dua tahun ini.

Dinamakan 'Program Saham Kesihatan', ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan senaman yang kerap serta pemakanan yang lebih sihat.

Inisiatif itu diumumkan Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri yang diadakan pada Jumaat (13 Mei).

Program baru itu dikelolakan Setiausaha Parlimen, Cik Rahayu Mahzam.

Sebelum ini, beliau sudah menubuhkan sebuah kumpulan bersama para pemimpin masyarakat untuk meneliti beberapa aspek seperti pemakanan, kegiatan jasmani dan pemeriksaan kesihatan.


"Ini adalah program di mana kita memperkuat lagi program-program yang sedia ada dan menyuntik elemen-elemen yang kita rasa dapat menggalakkan lebih ramai untuk turut serta dan juga kekal
dalam proses ini," kata Cik Rahayu.

PROGRAM DIKHUSUSKAN IKUT TAHAP KESIHATAN DAN DEMOGRAFI PENDUDUK

Dengan kerjasama bersama beberapa agensi termasuk Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Rakyat (PA) dan ActiveSG, pelbagai ciri menarik juga dapat disertakan dalam program tersebut.

"Antara elemennya adalah elemen 'health coaching' di mana kita akan memadankan (peserta) dengan 'health coaches' yang akan memberikan sedikit sebanyak bimbingan yang lebih khusus untuk individu itu. Kita juga akan menggalakkan kumpulan seperti kumpulan WhatsApp dan sebagainya. Jadi mereka ada sokongan dalam ekosistem itu," tambah Cik Rahayu.

Di samping itu, para peserta juga akan kerap menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memantau perkembangan dan tahap kesihatan mereka.

"Sekiranya mereka yang lebih tua yang mungkin ada penyakit-penyakit tertentu, apa yang mungkin diolah untuk mereka mungkin bersesuaian untuk mereka dan kita juga akan mendapatkan maklum balas daripada mereka yang terlibat dalam kawasan itu, pemimpin akar umbi semuanya untuk memberikan juga sumbangan idea mereka yang dapat membuatkan rancangan itu lebih khusus, lebih bersesuaian dengan gaya hidup, cara dan rentak golongan tersebut," tambah Cik Rahayu.

Sehubungan itu, program tersebut akan dirintis di beberapa M³@Bandar bermula dengan M³@Jurong dan M³@Tampines yang menyasarkan kepada keluarga-keluarga muda.

Menariknya, program di setiap kawasan itu juga dijangka berbeza bergantung kepada demografi para penduduk di situ.

"Ada di bandar tertentu di mana mungkin menjurus kepada warga yang lebih tua tetapi ada juga bandar yang mungkin warganya lebih muda, keluarga dan sebagainya. Jadi kita harus ubah program-program itu, aktiviti-aktiviti tertentu untuk bersesuaian dengan ragam merekalah. Jadi itu yang saya rasa dapat membantu untuk memperkuatkan lagi program-program yang sedia ada," jelas Cik Rahayu.


Dengan kadar pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi masyarakat Melayu/Islam yang semakin membimbangkan, Presiden Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA), Dr Norhisham Main berpendapat usaha sebegini adalah baik untuk menggalak masyarakat ambil peduli terhadap kesihatan mereka.

"Kalau kita memberi perhatian kepada kesihatan kita dari segi meningkatkan kegiatan olahraga kita, jadi kita mungkin bersenam lebih. Kita pun akan mendapati kita akan mendapat kebolehan untuk membantu kesihatan diri kita. Kalau kita mengabaikan apa yang kita lakukan dalam dua tahun lepas ini dan kita teruskan, mungkin kita mungkin boleh membantu diri kita untuk menangani masalah-masalah penyakit kronik dan sebagainya," kata Dr Norhisham.

Mereka yang berminat untuk menyertai program tersebut, boleh mendaftar di lelaman berikut:
Peserta: https://go.gov.sg/sahamkesihatanparticipants
Penganjur Masyarakat: https://go.gov.sg/sahamkesihatanpartners

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan