Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Saham Kesihatan dipertingkat, bantu tangani gejala penyakit kronik dalam masyarakat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Program Saham Kesihatan dipertingkat, bantu tangani gejala penyakit kronik dalam masyarakat Melayu

 (Gambar: BERITAmediacorp/Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Sebuah program kesihatan bagi menggalak masyarakat Melayu menangani gejala-gejala penyakit kronik akan dijalankan dengan lebih meluas.

Ini menyusuli trend kesihatan yang membimbangkan dalam masyarakat Melayu .

Inisiatif bernama 'Program Saham Kesihatan' itu diterajui oleh Setiausaha Parlimen Rahayu Mahzam.

Demikian diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri hari ini (13 Mei).

"Puan Rahayu sudahpun memulakan usaha dengan menubuhkan satu kumpulan kerja bersama pemimpin-pemimpin masyarakat kita bagi meneliti aspek pemakanan, kegiatan jasmani, pemeriksaan kesihatan, tabiat merokok dan kesihatan mental," kata Encik Masagos.

TREND KESIHATAN MEMBIMBANGKAN DALAM MASYARAKAT MELAYU

Setelah mengharungi COVID-19 dan bulan Ramadan dengan penuh disiplin, Encik Masagos berkata beliau yakin sikap disiplin masyarakat yang dipamerkan itu juga akan dapat mengatasi dan mengelak daripada berlakunya satu lagi krisis.

Krisis yang beliau maksudkan ialah trend kesihatan masyarakat Melayu/Islam yang "semakin membimbangkan".

Encik Masagos berkongsi bahawa jumlah kes penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi dalam masyarakat Melayu mencatatkan trend peningkatan.

Jumlah pesakit kencing manis dalam kalangan masyarakat Melayu meningkat kepada sekitar 14 peratus pada 2020.

Ini seganda lebih tinggi berbanding masa beliau mula-mula menjadi Anggota Parlimen pada 2006 iaitu sekitar 7 peratus.

Sehubungan itu, jumlah kes tekanan darah tinggi dalam masyarakat Melayu juga naik lebih seganda pada tahun 2020, berbanding tiga tahun lalu.

Dalam ucapan yang sama, Encik Masagos meluahkan rasa yakin bahawa masyarakat Melayu mampu mengatasi trend kesihatan yang membimbangkan ini.

"Kita masyarakat yang berdisiplin, yang telah mengharungi krisis yang sangat kritikal. Disiplin termasuk perlunya kita mengehadkan dan menjaga pemakanan - sama seperti waktu berpuasa. Apabila dilengkapi pula dengan disiplin berolah raga, serta daya tahan dan iltizam untuk menghentikan tabiat merokok, kita pasti akan mematahkan trend tersebut!" kata Encik Masagos.

Malah sejajar dengan seruan Encik Masagos ke arah gaya hidup lebih sihat, hidangan Hari Raya lebih sihat dihidangkan kepada para tetamu di acara perjumpaan Hari Raya malam ini.

PROGRAM SAHAM KESIHATAN

Di bawah Program Saham Kesihatan, sebuah kumpulan kerja sudah pun ditubuhkan oleh Cik Rahayu bersama para pemimpin masyarakat untuk meneliti beberapa aspek seperti pemakanan, kegiatan jasmani dan pemeriksaaan kesihatan.

Sehubungan itu, program tersebut akan dirintis di beberapa M³@Bandar bermula dengan M³@Jurong yang menyasarkan keluarga-keluarga muda dan M³@Tampines.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan