Program Saham Kesihatan diperluaskan ke 11 bandar M³, 2 badan Melayu/Islam
SINGAPURA: Program Saham Kesihatan diperluaskan ke 11 bandar M³ dan dua pertubuhan masyarakat Melayu/Islam, MENDAKI dan MUIS.
Dalam pada itu, aspek kesihatan kini menjadi tumpuan kelima di bawah M³, yang diterajui oleh Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.
Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli mendedahkan demikian dalam ucapan pembukaannya di Festival Keluarga Saham Kesihatan M³ di Hab Tampines Kita pada Ahad (12 Mac).
Festival Keluarga Saham Kesihatan M³ itu dihadiri sekitar 1,000 pengunjung.
Mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti bersenam beramai-ramai dan permainan berpasukan, yang dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan rakan-rakan kerja termasuk Active Health dan Active SG.
USAHA GALAK KESIHATAN PERLU USAHA SEMUA
Saham Kesihatan merupakan satu usaha berterusan untuk menggalak masyarakat Melayu/Islam mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kumpulan-kumpulan minat yang diterajui masyarakat.
Tahun lalu, ia dirintis di dua bandar M³ di Jurong dan Tampines.
Kumpulan-kumpulan minat diberi kelonggaran untuk menghasilkan sendiri program-program menggalak kesihatan seperti menganjurkan kumpulan berbasikal mahupun bersenam.
"Usaha menggalak kesihatan memerlukan usaha seluruh masyarakat. Hubungan rapat kami dengan rakan kerja dari rangkaian Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU) dan bandar M³ sudah membantu meningkatkan akses dan ketersediaan program-program gaya hidup sihat dalam masyarakat serta mendampingi para penduduk untuk mengamalkan amalan gaya hidup yang lebih sihat.
"Saya menggalakkan bandar-bandar M³, MENDAKI dan MUIS untuk menunjukkan peran contoh dan berkejasama dengan HPB untuk memulakan program Saham Kesihatan masing-masing bagi masyarakat mereka. Dengan usaha bersama, kami boleh mendorong satu sama lain untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat," kata Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Dalam pada itu, Cik Rahayu menambah bahawa Saham Kesihatan merupakan sebahagian daripada usaha membawa masyarakat Melayu/Islam turut serta dalam perkembangan 'Healthier SG' atau SG Lebih Sihat, satu usaha peringkat negara.
Oleh itu, beliau berharap budaya kesihatan dalam masyarakat Melayu/Islam akan menjadi lebih jelas, lebih ketara dan sekali gus menjadi sesuatu amalan yang biasa untuk masyarakat.
"Apa yang kita harapkan ialah dengan sokongan yang lebih padat, kita dapat memberikan fokus kepada kesihatan kita secara menyeluruh. Kami mahu melihat masyarakat kita lebih sihat, lebih faham dan lebih meneliti tentang gaya hidup mereka dari aspek bukan saja dari olahraga tetapi daripada pemakanan dan juga pemeriksaan dan menjaga kesihatan mereka. Dan ini menambahkan apa yang sedia ada dan juga memeperluaskan usaha yang sedia ada."
MENDAKI SERTAI SAHAM KESIHATAN
Pengerusi Jawatankuasa Rekreasi Kakitangan Yayasan MENDAKI, Cik Aadilah Aidid memberitahu BERITAmediacorp bahawa sejak Januari, pihaknya sudah menganjurkan beberapa aktiviti fizikal setiap minggu.
Ini termasuk Futsal dan Zumba, dengan hampir 100 kakitangannya menyertai kegiatan-kegiatan itu setiap bulan.
"Kami percaya bahawa menjaga kesihatan itu adalah satu tanggungjawab moral dan amanah setiap individu. Dan kami berharap dengan menyokong HPB dan bekerjasama dengan HPB dalam Saham Kesihatan ini, kami dapat bekerjasama untuk membantu masyarakat menjadi lebih cergas dan cerdas," ujar Cik Aadilah lagi.
Beliau juga berkongsi bahawa pihak MENDAKI akan terus bekerja rapat dengan HPB untuk mendapatkan para pelatih dan individu-individu yang mahir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.