Program Saham Kesihatan akan diperluas; acara besar-besaran dirancang

Program Saham Kesihatan akan diperluas; acara besar-besaran dirancang. (Gambar: M³ at Jurong/Facebook)
SINGAPURA: Program Saham Kesihatan akan diperluas ke lebih banyak bandar M³ dan terdapat rancangan untuk mengadakan acara besar-besaran di bawah usaha itu.
Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam mendedahkan demikian dalam satu wawancara khas bersama BERITAmediacorp.
Saham Kesihatan merupakan satu usaha berterusan untuk menggalak masyarakat Melayu/Islam mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kumpulan-kumpulan minat yang diterajui masyarakat.
(Gambar: M³ at Jurong/Facebook)
Kumpulan-kumpulan itu diberi kelonggaran untuk mereka sendiri program-program menggalak kesihatan dan dapat bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk memanfaatkan pelbagai khidmat dan kemudahan berkaitan kesihatan.
Usaha itu juga merupakan antara topik yang dibincangkan semasa sidang media mengenai perkembangan masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang tahun 2022.
INGIN JANGKAU KE KAWASAN BANDAR M³ LAIN
Dua program rintis sudah pun dilancarkan di M³@Bandar bermula dengan M³@Jurong dan M³@Tampines.
Kini, menurut Cik Rahayu, terdapat rancangan untuk mengembangkan lagi program itu.
"Kami ingin menjangkau kepada kawasan-kawasan lain melalui M³ jadi kita akan terus bekerjasama dengan rakan kerja kita seperti Active SG dan juga PA, untuk mengadakan program di bandar-bandar lain," kongsi Cik Rahayu kepada BERITAmediacorp.
"Selain daripada kedua-dua bandar ini, kami juga mengharapkan penglibatan daripada bandar yang lain. Kami sudah pun memberikan informasi dan mewawarkan ini kepada badan-badan yang lain dan juga kepada rakan-rakan kami di Jaga Kesihatan Jaga Ummah. (JKJU) Diharapkan mereka juga sama ingin turut serta dan sama-sama mengadakan aktiviti yang dapat menggunakan pakej Saham Kesihatan itu yang sesuai untuk demografik mereka," tambahnya lagi.
Program rintis itu menurutnya merupakan cara untuk melihat bagaimana pakej tersebut dapat digunakan untuk masyarakat daripada "demografik yang berbeza".
(Gambar: M³ at Jurong/Facebook)
"Di Jurong khususnya kepada mereka yang lebih muda, lebih profesional. Ibu bapa yang lebih muda. Jadi programnya berbentuk seperti aktiviti KpopX, Zumba dan sebagainya," kata Cik Rahayu.
"Di Tampines khususnya kepada yang lebih tua sedikit. Jadi acara yang mereka lalui adalah aktiviti seperti berjalan beramai-ramai dan sebagainya. Ini menunjukkan kemampuan Saham Kesihatan itu untuk menjangkau kepada demografi yang berbeza," tambah beliau.
SG LEBIH SIHAT
Lantaran itu, beliau berharap dengan lebih ramai yang ikut serta dan juga sokongan kuat daripada pelbagai pihak, ia dapat menimbulkan satu "gerakan" yang dapat memupuk dan menggalak masyarakat memikirkan tentang kesihatan mereka dan menggunakan platform yang tersedia bagi "mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat."
Dalam pada itu, Cik Rahayu menambah bahawa Saham Kesihatan merupakan sebahagian daripada usaha membawa masyarakat Melayu/Islam turut serta dalam perkembangan 'Healthier SG' atau SG Lebih Sihat, satu usaha peringkat negara.
"Healthier SG itu dilakukan dalam pelbagai komponen; ada beberapa peringkat dan antara elemen yang penting adalah untuk memastikan adanya peluang dan ekosistem di mana orang ramai boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mudah," ujar Cik Rahayu.
"Adanya kumpulan di mana mereka boleh bersenam bersama dan mereka dapat menggalak satu sama lain. Jadi ini yang ingin kita timbulkan melalui Saham Kesihatan," tambahnya lagi.
(Gambar: M³ at Jurong/Facebook)
Lantas, antara rancangan yang orang ramai boleh jangkakan adalah satu acara besar-besaran di bawah Program Saham Kesihatan.
"Kami akan membawa bersama rakan-rakan kerjasama seperti mereka yang di bandar-bandar M³, mereka dalam rangkaian JKJU dan juga semua ahli masyarakat untuk mereka sama-sama turut serta memulakan gaya hidup sihat dengan bantuan Saham Kesihatan," dedah Cik Rahayu.
"Kami akan berbincang dengan mereka yang juga sudah ada kumpulan kecil di mana mereka bersenam bersama dan berkumpul bersama. Kita ingin menggalakkan mereka untuk melihat bagaimana mereka boleh memperkuatkan lagi, memperkasakan lagi rancangan kesihatan mereka," tambah beliau.
Di sini, beliau berharap dengan lebih ramai anggota masyarakat yang melibatkan diri serta mempunyai visi yang sama untuk sama-sama sihat, satu budaya "ingin sihat" dapat dipupuk dalam masyarakat Melayu/Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.