Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program S$23.5 juta dilancar, kaji lebih mendalam kesan jangka panjang perubahan iklim terhadap S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jul 2022 02:02PM Dikemas Kini : 12 Jul 2022 11:03PM

SINGAPURA: Satu program S$23.5 juta dilancar untuk lebih memahami kesan jangka panjang perubahan iklim terhadap Singapura.

Program  dilancarkan Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) memberi tumpuan kepada lima aspek utama: Kenaikan paras air laut; pengurusan sumber air dan banjir; biodiversiti dan keselamatan makanan; kesihatan dan tenaga manusia; serta penyelidikan berimpak tinggi sebagai jambatan antara sains dan penggubalan dasar. 

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Cik Grace Fu mengumumkan pelancaran program itu pada Selasa (12 Jul) di Sidang Program Penyelidikan Paras Air Laut  Iklim Sedunia 2022. 

Menurut Cik Fu program tersebut akan "menghimpunkan kajian dalam sains kesan iklim". 

"Dengan mengurangkan unjuran iklim sedunia dan menghasilkan model tempatan bagi angin, hujan dan suhu, kami boleh menilai dengan lebih baik lagi kesan perubahan iklim ke atas  hasil tanaman dan akuakultur setempat," tambahnya. 

"Kita juga boleh menilai kesan suhu lebih tinggi secara tidak langsung berdasarkan meningkatnya haiwan perosak dan penyakit. Ini akan membolehkan kita untuk memperkukuh daya bingkas makanan kita, sama ada melalui pembangunan kepelbagaian tanaman yang berdaya tahan iklim atau memilih ruang lautan dengan keadaan yang lebih sesuai buat akuacultur." 

MEMAHAMI KESAN PERUBAHAN IKLIM 

Pusat di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu melancarkan program tersebut yang akan dibiayai di bawah Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025. 

Laporan terkini Panel Antarapemerintah mengenai Perubahan Iklim menunjukkan bahawa perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan kemudaratan kejadian cuaca teruk berlaku. 

Ini sekali gus menjejas ekonomi dan keselamatan sumber-sumber asas seperti air, makanan dan tenaga, menurut NEA. 

"Singapore sebagai negara bandar yang padat penduduk dan terletak di tanah rendah, serta bergantung pada perdagangan antarabangsa, mudah terjejas dengan kesan-kesan sedemikian," tambah NEA. 

"Walaupun tindakan pencegahan kekal sebagai fokus utama sumbangan kami terhadap perubahan iklim, kepentingan yang sama harus diberikan kepada penyesuaian iklim, berdasarkan sains iklim yang terkini." 

Pemahaman lebih baik tentang keadaan cuaca yang ekstrim boleh membantu Singapura memahami kesan perubahan iklim terhadap bekalan makanan setempat dan import makanan utama. Singapura kini mengimport sekitar 90 peratus bekalan makanannya. 

NEA menyatakan, pusat itu mengalu-alukan cadangan daripada entiti awam dan swasta, institut penyelidikan dan institut pengajian tinggi.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan