Program Perniagaan Mikro myimpact Maybank dapat sambutan, jumlah peserta naik 3 kali ganda
Seramai 60 peserta menyertai edisi ketiga program itu dan jumlah tersebut tiga kali ganda lebih ramai berbanding edisi lalu.
Dianjurkan oleh Maybank Singapore dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), acara tersebut bertujuan untuk memperkasa peserta supaya mereka dapat membina perniagaan mikro yang mampan.
Peserta terdiri daripada penerima zakat dan individu daripada keluarga berpendapatan rendah.
Sepanjang tujuh minggu, mereka menjalani latihan intensif mengenai asas perniagaan, pendigitalan dan pengurusan kewangan.
Di acara penutup program itu pada pada Ahad (2 Nov), tetamu kehormat, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi mendorong para peserta untuk terus membina masa depan yang lebih baik menerusi perniagaan yang mereka lakarkan.
"Perjalanan ini bukan sekadar tentang mempelajari cara membina perniagaan, tetapi juga untuk menemukan jati diri anda. Ia mengajar anda untuk melihat masa depan dengan harapan dan keyakinan," kata Dr Syed Harun.
"Kehadiran anda di sini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, anak-anak, dan generasi akan datang. Segala usaha dan kesan yang anda hasilkan hari ini akan membentuk bukan sahaja kehidupan anda, tetapi juga masa depan generasi seterusnya," tambahnya.
SOKONGAN TAMBAHAN OLEH DPPMS
Di akhir program itu, seramai 16 individu terpilih untuk mara ke peringkat akhir bagi membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan para pengadil.
Sepuluh pemenang menerima geran permulaan sebanyak $5,000 untuk membantu usaha perniagaan mereka.
Mereka ialah:
- Nur Qurratuaini Binte Abdullah, The Ratu Beauté
- Annice (Anisah) Tan Su Qin, Mushling Sprout Co.
- Ibnu Aliff Bin Rahim, Lyfs Bodega
- Haleema Thasneem D/O Anvarali, Buttery Fingers SG
- Nur Atiqah Binte Mohamed Rihat, Sew Stitchez
- Kartika Sari Bte Idris, NSBMJ & Co.
- Nazri Bin Sinin & Rohanah Bte Mohkreh, Dapur Putri Nurz
- Nurul Jamilah Binte Rosli, Budak Demoks
- Liana Dwi Puspa, Muhlia Apparels
- Qhameira Ani Ismail, Sweet Cravingz Myra
Mereka juga akan menerima bimbingan secara individu, selama antara satu hingga tiga bulan, bersama Anggota Lembaga DPPMS atau ahli perniagaan dalam kalangan anggota DPPMS yang berpengalaman.
Ia bertujuan untuk membantu mereka mengenal pasti cabaran serta mencari penyelesaian berdasarkan sumber dan rangkaian mentor tersebut.
DPPMS akan memadankan peserta dengan mentor yang sesuai, sama ada dari industri yang sama atau seseorang yang berpengetahuan luas dalam membantu usahawan kecil mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka.
PELANCARAN SALAAM MARKET MUDAHKAN SME
Di acara itu, Maybank turut melancarkan Salaam Market, sebuah platform pasaran Halal perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
Platform digital itu yang dilancarkan di Malaysia tahun lalu direka bagi memudahkan perdagangan sektor Halal, pembiayaan dan sokongan pensijilan di sepanjang rantaian bekalan.
Ia membolehkan pembeli di Malaysia mendapatkan barangan dengan sijil Halal tempatan pada harga berpatutan.
Kini, pembeli di Singapura juga dapat mengakses produk yang terhad di pasaran tempatan dengan lebih mudah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.