Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program perintis dilancar bagi bantu pelajar ITE yang tinggalkan sekolah sebelum tamat kursus

Para pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang meninggalkan sekolah sebelum tamat kursus kini boleh menyertai satu program perintis yang bertujuan membimbing mereka dalam meneroka minat dan pilihan kerjaya masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang meninggalkan sekolah sebelum tamat kursus kini boleh menyertai satu program perintis yang bertujuan membimbing mereka dalam meneroka minat dan pilihan kerjaya masing-masing.

Sejauh ini, 14 mentor dan enam peserta sudah mendaftar diri untuk usaha baru itu yang dinamakan Program Bimbingan dan Nasihat Kerjaya (CAMP).

Menerusi program baru itu, para belia berisiko akan dipadankan dan berjumpa dengan para mentor dari industri yang diminati mereka pada setiap bulan.

Dalam masa sekurang-kurangnya enam bulan, para mentor akan cuba memberi lebih banyak pendedahan kepada para peserta dengan mencari peluang latihan pekerjaan dan sekali gus mencapai potensi sebenar dan mengecapi matlamat hidup mereka.

PROGRAM CAMP SASAR UNTUK PERKASA DAN BIMBING BELIA

Inisiatif yang diumumkan ketika Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) tahun lalu berharap dapat menyokong 100 belia berisiko dalam tempoh dua tahun ini.

Menurut Setiausaha Parlimen, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Eric Chua, mentor-mentor di bawah program CAMP diharapkan bukan sahaja dapat memberi bimbingan tetapi juga memperkasa para belia.

eric chua

"Seringkali terdapat stigma sebagai seorang pelajar ITE. Kami ingin para pelajar ITE terutamanya mereka yang meninggalkan sekolah sebelum tamat kursus untuk tahu bahawa mereka tidak dilupakan dan mengingatkan mereka bahawa mereka juga ada potensi. Disebabkan ini, kami menganjurkan program ini khas untuk menyasar golongan belia yang meninggalkan ITE sebelum tamat kursus mereka," kata Encik Chua.

Tambah Encik Chua lagi, beliau percaya bahawa setiap belia tidak kira latar belakang, memiliki potensi untuk berjaya jika diberikan bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.

MOHAMAD ALI MOHAMAD PESAL ANTARA 6 PESERTA CAMP

Antara enam peserta pertama program CAMP itu ialah Mohamad Ali Mohamad Pesal, 17 tahun.

ali ite

Bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kursusnya di ITE pada Julai lalu kerana tidak meminati kursus Infokom yang diikutinya.

Sebaliknya, Ali berminat dalam bidang penternakan serta jagaan haiwan-haiwan dan buat sementara waktu ini, menimba pengalaman dan bertugas di The Butterfly Park.

"Saya ingin mendapat lebih bimbingan dan tip-tip yang bermanfaat mengenai industri yang saya minat ini kerana saya mahu meneruskan kerjaya dalam industri marin dan kehidupan liar," kongsi Ali yang kini bekerja sebagai pembantu jagaan haiwan.

Buat masa ini, program CAMP masih mencari mentor yang sesuai buat Ali dan beberapa para peserta lain.

Lantaran itu, MSF kini berusaha untuk menarik lebih ramai karyawan daripada pelbagai industri untuk menjadi seorang mentor.

Ini termasuk dalam industri teknologi kimia, farmaseutikal, automotif, makanan dan minuman, khidmat sosial serta jagaan haiwan.

Mereka yang berminat untuk mencari atau menjadi seorang mentor boleh mendaftar di laman CAMP.

Antara yang terdahulu untuk menyahut seruan itu adalah Encik Lawrence Tharekheshwaren, yang memiliki pengalaman hampir lima tahun dalam industri automotif.

lawrence ite

"Semua orang memerlukan bantuan. Tidak kira keadaan atau fasa kehidupan anda sekarang. Saya percaya sesiapa akan mengalami kepayahan tidak kira di sekolah mahupun di tempat kerja. Oleh itu saya percaya semua orang memerlukan bantuan dan jika awak boleh membantu seseorang, mengapa tidak?" ujar Encik Lawrence.

MSF akan menilai semula program ini pada hujung 2023 bagi menentukan langkah seterusnya bagi CAMP.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan