Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program perintis bantu pesakit demensia kekal aktif dengan menjadi sukarelawan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sekali dalam setiap minggu, Encik Hashim yang mengalami demensia tahap sederhana akan datang ke Pusat Penjagaan Kanak-kanak Jamiyah di Ang Mo Kio untuk mengadakan sesi bercerita bersama kanak-kanak tadika di pusat itu.

Selain kekal aktif, kegiatan sebegitu juga dikatakan dapat melengahkan lagi perkembangan penyakitnya itu.

Dalam setiap sesi, bapa kepada lima orang anak dan dua cucu itu akan menghabiskan masa antara 10 hingga 20 minit untuk menyampaikan cerita dan juga bernyanyi bersama-sama.

Encik Hashim, 70 tahun juga akan ditemani seorang Ahli Terapi Cara Kerja atau "Occupational Therapist".

Encik Hashim yang pernah bertugas sebagai warden penjara sebelum bersara pada usia 55 tahun, disahkan menghidap demensia pada tahun 2015.

Beliau kemudian dirujukkan kepada Pusat Jagaan Siang Hari Demensia kelolaan Persatuan Kebajikan Wanita Asia (AWWA) di Ang Mo Kio.
Gambar: Rosli A Razak
Encik Hashim dalam kalangan 16 warga emas yang mempunyai demensia tahap ringan hingga sederhana yang dipilih menjadi sukarelawan di bawah satu program perintis kelolaan agensi perkhidmatan sosial AWWA dan Yayasan Lien yang dimulakan tahun lalu.

Program itu mengikuti model penjagaan kesihatan preskripsi sosial, di mana selain daripada ubat preskripsi, warga emas yang mempunyai demensia dilibatkan dalam kegiatan masyarakat untuk meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal mereka.

"Kita melihat kepada kebolehan warga emas untuk bergaul kerana kebanyakan aktiviti di luar sana seperti kerja sukarela memerlukan mereka berkomunikasi secara jelas dengan rakan-rakan masyarakat dan orang awam dan akhir sekali keupayaan kognitif dan fizikal mereka.

"Aktiviti tertentu memerlukan mereka berjalan pada jarak tertentu, mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk melakukan perkara tertentu, serta secara kognitif, iaitu sama ada mereka boleh melakukan sesuatu tertentu untuk jangka masa tertentu, " jelas seorang ahli terapi cara kerja AWWA, Chua Si Jia.

'MOOD' PESAKIT DEMENSIA LEBIH BAIK SELEPAS IKUT SERTA PROGRAM

Menurut pemerhatian Cik Chua juga, perubahan ketara dapat dilihat dalam diri Encik Hashim setelah mengikuti program itu.

"Khusus untuk Encik Hashim, beberapa faedah yang kami perhatikan adalah kami dapati bahawa kadang-kadang beliau sering merasa mengantuk agak lesu.

"Selepas beberapa kali ketika kami mendapati beliau mesra dengan kanak-kanak. Beliau sebenarnya boleh diberi peluang untuk bercerita dengan anak-anak dan dari situ kami dapati 'mood' beliau bertambah baik. Beliau lebih gembira, " kata Cik Chua.

Buat masa ini hanya tiga pertubuhan yang turut serta iaitu Pusat Jagaan Kanak-kanak Jamiyah, Sekolah Rendah Elias Park di Pasir Ris dan Kuil Sri Darma Muneeswaran di Serangoon North.

AWWA SASAR LUASKAN LAGI PROGRAM MENJELANG 2024

Menurut guru besar Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jamiyah, Nur Milawati Sabtu, tiada penyesuaian yang perlu dilakukan bagi program itu kecuali memastikan murid-murid lebih berhemah apabila berinteraksi dengan Encik Hashim.

"Sebelum setiap sesi guru-guru akan berkongsi mengenai "Uncle Hashim" yang akan bercerita dengan mereka. Jadi Cikgu akan mengingatkan mereka tentang apa harus mereka lakukan seperti mengangkat tangan kalau mahu menanyakan soalan atau memberi jawapan," kata beliau.

"Program ini mendedahkan mereka dengan warga tua dan pada masa yang sama menggalakkan mereka untuk menyayangi keluarga, terutama datuk dan nenek mereka.

AWWA menyasarkan untuk menambah bilangan pertubuhan kepada 30 menjelang Mac 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan