Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program online Raikan Ilmu jangkaui sasaran, inisiatif baru disambut baik

Hampir 90 peratus program Raikan Ilmu 2020 berjaya menepati bahkan mengatasi jumlah peserta yang disasarkan. Pencapaian itu amat memberangsangkan memandangkan semua acara berpindah ke wadah online akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 90 peratus program Raikan Ilmu 2020 berjaya menepati bahkan mengatasi jumlah peserta yang disasarkan. Pencapaian itu amat memberangsangkan memandangkan semua acara berpindah ke wadah online akibat pandemik COVID-19.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad mendedahkan demikian semasa acara penutup 'Raikan Ilmu Hour 2020' yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook MENDAKI pada Jumaat (30 Okt).

Selama sejam, penonton online dihiburkan dengan persembahan-persembahan nyanyian dari pasangan adik beradik Riduan dan Faiz Yusoff serta dendangan medley istimewa oleh Ramli Sarip.

Sepanjang bulan Oktober 2020, MENDAKI serta rakan-rakan kerjanya telah bergabung tenaga untuk menganjurkan lebih 100 acara seperti bengkel, webinar dan pesta kerjaya. Ini berbanding sekitar 40 kegiatan yang dianjurkan pada 2019.

 Antaranya Anugerah MENDAKI, acara bacaan beramai-ramai Reading @ Cyber Garden dan sesi dialog Yayasan MENDAKI-Institut Kajian Dasar (IPS) yang ditonton oleh seramai 1,300 orang. Sejak itu, rakaman dialog tersebut menarik lebih 13,000 tontonan.

INISIATIF-INISIATIF DAPAT SAMBUTAN POSITIF MASYARAKAT

Encik Zaqy turut melahirkan rasa bangga dengan sambutan masyarakat terhadap kegiatan-kegiatan Raikan Ilmu tahun ini khususnya bagi inisiatif-insiatif terbarunya.

(Gambar: Yayasan Mendaki)

(Gambar: MENDAKI)

Kotak hadiah Raikan Ilmu di mana sebanyak 12,000 diedarkan kepada keluarga untuk memulakan pembelajaran mereka mendapat sambutan hangat. Bahkan, atas permintaan yang diluar jangkaan itu juga, MENDAKI terpaksa menambah jumlah yang dihasilkan.

Lagu tema Raikan Ilmu 'Sama Raikan' nyanyian Ramli Sarip juga mendapat tontonan lebih 120,000 dan dikongsi lebih 1,300 kali. Lagu tersebut hasil ciptaan pemuzik Riduan Zalani dan penulis lirik Hartinah Ahmad menggambarkan tahap pencapaian masyarakat Melayu/Islam apabila memanfaatkan kekuatan sesama sendiri.

Siri drama L.N.S Kafe yang ditayangkan setiap hari Jumaat di saluran Suria juga menerima sambutan baik. Dibintangi Rahman Rahim, Haryani Othman dan Atty Malek, siri empat episod itu bertujuan menarik masyarakat untuk menimba kemahiran-kemahiran baru dan meningkatkan ilmu mereka. Ini kata Encik Zaqy menunjukkan bagaimana masyarakat tidak sahaja menyesuaikan diri dengan pembelajaran online, malah mendakap pembelajaran sepanjang hayat.

Meskipun Bulan Raikan Ilmu tahun ini menutup tirainya, Encik Zaqy menggesa masyarakat supaya terus menimba ilmu.

"MENDAKI akan terus berusaha untuk mendekati masyarakat dan berbagai pihak untuk memulakan satu gerakan di kalangan masyarakat untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Saya menggesa masyarakat supaya menyertai program-program berpendidikan dan pembangunan oleh MENDAKI dan rakan-rakan kerja kami," kata Encik Zaqy.

Sebagai pemulaan, beliau berharap ibu-bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah mendaftarkan mereka ke Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) yang akan dibuka pada November ini bagi kelas pada 2021.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan