Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program mentor belia diperluaskan ke semua M³@Bandar, KelasMateMatika dikendalikan secara hibrid

KelasMateMatika akan dijalankan secara online dan fizikal. Ini bagi memudahkan lebih ramai ibu bapa dan anak-anak mereka mengikuti program itu. Sebelum ini, ada yang tidak dapat mengikutinya secara fizikal kerana perlu menjaga orang tua dan anak-anak kecil mereka di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya satu program pementoran belia akan dianjurkan Yayasan MENDAKI di kesemua 11 M³@Bandar sepanjang tahun ini.

Ini bagi memudahkan lagi para belia untuk mendaftarkan diri mereka bagi program-program tersebut tanpa mengira lokasi kediaman mereka.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad dalam perdebatan Jawatankuasa Peruntukan bagi Ehwal Masyarakat Islam di parlimen pada Isnin (6 Mac).

"MENDAKI juga sedang menilai program pementoran kami dengan teliti untuk memahami sejauh mana program ini telah memberi faedah kepada para belia kita. Melalui program-program pendidikan dan pementoran ini, kami berharap golongan muda kita akan cemerlang di sekolah dan membina asas dan rangkaian yang kukuh supaya mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MENDAKI.

Program itu juga bertujuan menyediakan para belia dengan sistem sokongan yang kukuh.

Beliau menjelaskan, "Selain daripada keluarga, para mentor boleh membimbing belia-belia meluaskan ufuk pemikiran mereka. Sedang mereka menjadi lebih peka akan laluan pendidikan dan kerjaya yang ada, kami harap mereka akan bercita-bercita tinggi dan gigih berusaha untuk membuat impian mereka menjadi nyata."

Menurut Encik Zaqy, program pementoran MENDAKI itu juga menyemai konsep pembelajaran berasaskan pengalaman dan kerja kebajikan supaya para belia lebih terdedah kepada peluang pendidikan dan pekerjaan serta lebih peka akan isu-isu semasa.

Encik Zaqy juga berkongsi kemas kini mengenai program #amPowered yang sudah dilancarkan di ketiga-tiga kolej ITE dan tiga bandar M³ iaitu di Jurong, Chua Chu Kang dan Marsiling-Yew Tee.
 
(Gambar: MENDAKI)
PROGRAM KELASMATEMATIKA DIADAKAN SECARA HIBRID

Bagi peringkat murid prasekolah dan ibu bapa mereka, Encik Zaqy juga mengumumkan bahawa program KelasMateMatika (KMM) akan dijalankan secara hibrid.

Ini bermakna sebahagian kelas itu akan dilaksanakan secara fizikal dan sebahagian lain pula dilakukan secara online.

Menurut Encik Zaqy, ini akan membolehkan lebih ramai kanak-kanak dan ibu bapa dapat menyertainya.

Sebelum ini, terdapat ibu bapa yang menghadapi kesukaran untuk menghadiri sesi-sesi KMM secara fizikal kerana mempunyai urusan lain seperti menjaga orang tua mereka ataupun anak-anak kecil lain di rumah.

"Tahun ini, kami menyasarkan seramai 2,500 kanak-kanak ke dalam KMM. Sesi-sesi khas akan dianjurkan di tadika-tadika yang terpilih, termasuk kesemua 15 tadika yang berpusat di masjid," jelas Encik Zaqy.

Sejak dilancarkan pada 2018, KMM sudah menyokong hampir 4,000 murid berusia empat hingga enam tahun.

Program itu juga didapati berkesan setelah 80 peratus pelajar yang mengikutinya didapati bersedia menduduki subjek Matematik di peringkat darjah satu dan tidak perlu menghadiri Program Sokongan Matematik (LSM).

Encik Zaqy menambah, "Selain pendedahan awal kepada subjek Matematik, pelajar-pelajar KMM akan menyertai kem pengekodan khas, serta perjalanan pembelajaran atau “learning journeys”, untuk menerapkan ilmu Matematik dalam kehidupan seharian mereka."

Asas pendidikan yang kukuh bagi anak-anak muda ini kata beliau akan memperkasa sebuah masyarakat yang boleh menyumbang kepada yang lain.
 
Sesi rangkaian belia diadakan di M³@Jalan Besar; galak golongan belia sumbang kembali kepada masyarakat. (Gambar: MENDAKI)
PUPUK SEMANGAT RELAWAN & BANTU KARYAWAN MELAYU CAPAI POTENSI

Selain itu, MENDAKI juga mahu memupuk sikap ihsan dalam kalangan masyarakat yang mahu menyumbang masa dan tenaga mereka sebagai relawan.

Sepanjang tiga tahun lalu, lebih 1,000 relawan terlibat dalam program-program MENDAKI bagi mendampingi golongan penerima bantuan di pelbagai peringkat usia.

Maka itu kata Encik Zaqy, para relawan perlu dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan bagi mendampingi penerima bantuan dengan lebih berkesan.

"MENDAKI sudah bangunkan platform YOUth@M³untuk dampingi penerima TTFS dan Anugerah di bandar-bandar M³. Saya berbesar hati lebih 130 belia telah menunjukkan minat mereka untuk menjadi relawan di bandar-bandar M³," kongsi Encik Zaqy.

Di samping itu, golongan pekerja juga akan disokong dalam usaha meningkatkan kemahiran mereka serta daya kerja mereka.

Bagi tujuan itu, kerjasama rangkaian M³, majikan dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam diperkukuhkan lagi.

Mereka juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti NTUC e2i, Hab Pembelajaran NTUC, Workforce Singapore (WSG) dan SkillsFuture Singapore (SSG).

Dengan kerjasama itu, hampir 2,000 pekerja didampingi bagi membantu mereka dengan nasihat dan bimbingan kerjaya.

Sejajar dengan usaha itu, Encik Zaqy juga berkata MENDAKI merancang untuk mengembangkan lagi Rangkaian Profesional badan itu tahun ini untuk menyertakan sekali industri-industri dengan permintaan tinggi seperti Kewangan, Kemampanan dan Kejuruteraan.

"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk menghubungkan para belia kita dengan para karyawan yang boleh memberi mereka inspirasi dan bimbing mereka bagi menyusun langkah bagi pelbagai laluan kerjaya. Saya mahu menggesa karyawan di peringkat awal dan pertengahan kerjaya dalam sektor-sektor ini untuk sertai usaha membangunkan rangkaian masyarakat gemilang ini," kata Encik Zaqy.

Pada tahun lalu, MENDAKI sudah membina rangkaian dengan lebih 400 karyawan Melayu/Islam dalam sektor Khidmat Jagaan, Industri Hijau dan Digital.

Dengan pelbagai cabaran baru yang menjelma, Encik Zaqy berkata masyarakat mesti terus membangunkan keupayaan dan memanfaatkan sokongan, ilmu pengetahuan dan sumber-sumber masyarakat bagi menjadi sebuah masyarakat yang gemilang.


 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan