Skip to main content

Singapura

Program MAP MENDAKI terap AI dalam pembelajaran pelajar

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 07 Mar 2026 09:17PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 03:57AM
SINGAPURA: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam program tuisyen MENDAKI mula menunjukkan kesan positif terhadap pembelajaran pelajar.

Pendekatan itu kini menjadi sebahagian daripada Program Pencapaian MENDAKI (MAP) yang diperbaharui.

Dalam lawatan ke Sekolah Menengah Canberra pada Sabtu (7 Mac) Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad, bersama Lembaga Pengarah MENDAKI meninjau pelaksanaan MAP yang kini menerapkan pengunaan alat AI dalam pembelajaran.
Related article image
(Gambar: Yayasan MENDAKI)
"Hari ini kita melihat bagaimana kita menukar format kurikulum kami dimana kita menggunakan AI untuk meningkatkan lagi prestasi anak-anak kita di kelas. Ini merupakan sistem baharu di mana kita sudah cuba dalam beberapa minggu tetapi sudah melihat potensinya," kongsi Encik Zaqy.

KOLABORASI DENGAN SMART DAN QUANTEDGE FOUNDATION

Dalam usaha mempertingkatkan pengalaman pembelajaran, MENDAKI sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) selama tiga tahun dengan Singapore-MIT Alliance for Research and Technology (SMART) pada September 2025.

SMART menyediakan latihan literasi AI untuk semua guru pembimbing MAP, termasuk penggunaan AI secara bertanggungjawab dan etika, serta teknik pedagogi.

Guru pembimbing MAP kini boleh memanfaatkan Khanmigo, alat AI daripada Khan Academy, sebagai alat untuk membantu melakarkan pelan-pelan pembelajaran buat kelas mereka.

Encik Zaqy berkata teknologi itu membantu menjimatkan masa guru dalam menyediakan bahan pengajaran.

“Mungkin pada masa dulu mereka menggunakan 60 minit ataupun sejam lebih untuk melakarkan program untuk kelas mereka. Hari ini mereka menggunakan beberapa minit sahaja untuk melakarkan kelas dan mereka guna AI untuk mengubah suai mengikut kelas mereka dan boleh memasukkan tema baru juga,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, penggunaan AI memberi ruang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dalam merancang pembelajaran.

Selain itu, MENDAKI juga menandatangani MOU dengan Quantedge Foundation untuk memperkenalkan sistem pembelajaran adaptif berasaskan AI, Luminee, ke dalam MAP.

Sistem itu membolehkan soalan dan aktiviti disesuaikan mengikut tahap pelajar, memberikan maklum balas yang tepat dan menjejaki perkembangan pembelajaran secara masa nyata.

Menurut Encik Zaqy, ujian awal menunjukkan hasil yang menggalakkan.

Beliau menambah bahawa platform tersebut juga boleh digunakan oleh pelajar di rumah untuk mengulang kaji secara sendiri.

Bulan lalu, platform itu telah diperkenalkan kepada 445 pelajar darjah 5 untuk subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Untuk menilai keberkesanan penggunaan AI, MENDAKI akan bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam kajian dua tahun melibatkan sehingga 890 pelajar darjah 5.

Kajian itu bertujuan memahami bagaimana pembelajaran berasaskan AI memberi kesan kepada hasil akademik dan bagaimana guru pembimbing dapat menyokong pelaksanaan program dengan lebih efektif.

Encik Zaqy berkata pendekatan itu juga akan membantu MENDAKI membuat keputusan berpandukan data dan menguji keberkesanan alat AI tersebut.

IMPAK AI DALAM PEMBELAJARAN

Para guru pembimbing yang ditemui melihat perubahan positif terhadap pelajar dengan penggunaan AI di bilik darjah.

Pembimbing pelajar MAP, Abdul Kadir Abdul Rahman, berkata pelajar kini lebih berminat untuk menyiapkan tugasan mereka.

“Selalunya bila kita memberi soalan ataupun kerja rumah, mereka akan tak nak buat. Tapi dengan adanya Kitesense Luminee, mereka apabila diberi kerja, mereka rasa gembira. Sesuatu yang saya rasa amat memberangsangkan kita sebagai pembimbing pelajar,” kata Encik Kadir.

Menurut beliau, pelajar juga boleh mendapatkan bantuan segera melalui sistem tersebut.

“Jika mereka tidak faham, mereka boleh terus tekan satu butang untuk bertanya soalan… ini sesuatu yang kita amat gembira bila para pelajar dapat menerima kerja rumah dengan rela hati.”

Guru utama di Sekolah Menengah Canberra, Ghazali Abdul Wahab, pula berkata beliau melihat perubahan sikap pelajar terhadap pembelajaran dengan penggunaan AI.

“Yang menyeronokkan ialah apabila saya lihat murid-murid saya ghairah dengan subjek yang mereka dulu mungkin lemah dan tidak suka belajar. Tapi sekarang dengan menggunakan AI dan konsep gamification, mereka lebih suka masuk dalam bilik darjah,” ujar Encik Ghazali.

PELAJAR LEBIH TERUJA BELAJAR

Bagi pelajar darjah lima, Nayra Nur Sabrina Muhammad Izuan, penggunaan AI menjadikan pembelajaran lebih menarik.

“Saya sangat seronok kerana dalam kelas biasa kita pakai buku, bukan pakai AI. Ia sangat membosankan di dalam kelas jika kamu hanya menggunakan buku. Dengan teknologi kita boleh gunakan otak kita untuk fikir bagaimana teknologi boleh membantu kita,” kata Nayra.

Bapanya, Muhammad Izuan, turut mengalu-alukan inisiatif tersebut.

“Sejujurnya saya merasakan sangat teruja apabila mengetahui bahawa program MAP ini memperkenalkan Teknologi AI kepada murid-murid. Bagi pendapat saya, ini sangat penting kerana dunia hari ini semakin terpacu dengan teknologi.

"Dengan pendedahan awal AI ini, saya merasakan dia dapat membantu murid murid untuk menggunakan teknologi dan berfikir dengan lebih kreatif dan menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan," kata Encik Izuan.

Beliau berharap anak-anak memanfaatkan teknologi itu secara bertanggungjawab.

PERKUKUH PEMBANGUNAN PELAJAR

Selain akademik, MAP yang dipertingkat turut memberi tumpuan kepada pembelajaran di luar bilik darjah.

Menurut Encik Zaqy, pelajar juga didedahkan kepada pelbagai kemahiran baharu seperti teknologi dron dan pengetahuan asas perubatan.

“Selain daripada elemen akademik, kita juga membawa elemen pengayaan kepada anak-anak kita seperti teknologi dron. Kita mahu anak-anak bukan sahaja mempunyai prestasi baik di dalam bilik darjah tetapi juga pendedahan yang baru,” kongsi Encik Zaqy.

Program pendedahan luar bilik darjah itu diadakan secara berkala bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh.

Melalui bimbingan yang tersusun dan pendedahan awal, MENDAKI berharap MAP dapat memperkukuh keyakinan pelajar, mengukuhkan aspirasi mereka dan membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik berhubung laluan pendidikan dan kerjaya mereka.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita