Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program KidSTART diperluas ke seluruh negara

Anggaran Waktu Membaca:
Program KidSTART diperluas ke seluruh negara

Guru prasekolah bersama anak-anak muridnya. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Program KidSTART untuk membantu kanak-kanak kecil daripada keluarga berpendapatan rendah akan diperluaskan secara bertahap-tahap ke seluruh negara mulai tahun hadapan. Demikian diumumkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Program KidSTART yang dirintis pada 2016, menyediakan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak kecil berusia sehingga enam tahun.

Lebih 3,000 kanak-kanak yang tinggal di 13 daerah Pejabat Perkhidmatan Sosial sudahpun meraih manfaat daripada program itu dan ia bakal menyokong lagi 5,000 kanak-kanak menjelang 2023.

“Pemerintah komited untuk mengukuhkan sokongan bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah maka itu, kami merapatkan jurang sejak tahun-tahun awal mereka," kata Menteri Negara MSF Sun Xueling pada Khamis (10 Mac).

Beliau berkata demikian di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MSF di mana kementerian itu mengumumkan insiatif-inisiatif baru untuk meningkatkan mutu program serta karyawan pendidikan awal kanak-kanak.

Dua pusat intervensi awal baru bakal ditubuhkan untuk kanak-kanak dengan keperluan pembangunan, sekali gus meambah lagi jumlah tempat di bawah Program Intervensi Awal bagi Bayi dan Kanak-kanak.

LEBIH BANYAK TEMPAT PRASEKOLAH

Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) menyatakan jumlah kanak-kanak di prasekolah yang dibiayai Pemerintah meningkat kepada lebih 60 peratus, naik dari hanya lebih 50 peratus pada 2018.

Ia juga sudah meningkatkan lebih seganda jumlah tempat di prasekolah sepenuh hari sepanjang sedekad lalu, dari 90,000 tempat pada 2012 kepada sekitar 200,000 tempat setakat akhir 2021.

“Kami akan menyediakan sekitar lagi 10,000 tempat sepenuh masa menjelang 2023 untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi prasekolah," kata Cik Sun

Menjelang 2025, lapan daripada 10 kanak-kanak prasekolah boleh mendapat tempat di prasekolah yang dibiayai Pemerintah dan had yuran akan diturunkan pada tahun-tahun mendatang, kata Cik Sun.

Untuk menyokong peluasan prasekolah, jumlah pendidik di sektor pendidikan awal kanak-kanak meningkat daripada 18,000 pada 2018 kepada lebih 23,000 pada 2021.

Untuk mengukuhkan kecekapan kepimpinan dalam sektor tersebut, ECDA akan memperkenalkan Rangka Kerja Pembangunan Kepimpinan bagi "pembangunan menyeluruh" pemimpin pusat.

Ia juga akan melancarkan Komuniti Pembelajaran Awal Kanak-kanak (ECLC) mulai April untuk memupuk perkongsian pengetahuan dan amalan pedagogi rakan sebaya di seluruh sektor.

Inisiatif itu juga akan membolehkan pendidik yang cemerlang dikenal pasti dan dipupuk untuk menjadi pemimpin kurikular serta pedagogi pada masa hadapan, jelas ECDA.

ECLC akan meliputi empat bidang - Kecekapan Tahun-tahun Awal, Pembelajaran di Luar, Pembangunan Sosial dan Emosi serta Bahasa dan Literasi (Celik Huruf).

Anggota utama dalam masyarakat yang menerajui sesi perkongsian serta pembelajaran rakan sebaya bagi pertukaran amalan pengajaran terbaik dalam kalangan pendidik, akan mendapat akses kepada program pembangunan karyawan yang dibiayai sepenuhnya, di samping geran pembangunan profesional pada tahun kedua mereka.

Selain itu, dana pelepasan tenaga kerja tahunan akan disediakan kepada majikan mereka untuk membiayai kos pelepasan tenaga kerja.

ECDA juga akan menyemak semula Rangka Kerja Pembangunan Tahun-Tahun Awal (EYDF) bagi pendidik kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke bawah untuk merangkumi bidang-bidang baru seperti pembelajaran Bahasa Ibunda dan mewujudkan persekitaran bilik darjah yang inklusif.

Perbelanjaan tahunan Pemerintah bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak dijangka meningkat lebih seganda bagi tahun-tahun akan datang daripada sekitar S$1 bilion pada 2018, menurut MSF.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan