Program kesihatan East Coast galak penyertaan masyarakat Melayu
Lebih 2,000 penduduk GRC East Coast membanjiri Heartbeat@Bedok pada Sabtu (20 Jul) bagi Fiesta Kesihatan dan Sukan.
SINGAPURA: Lebih 2,000 penduduk GRC East Coast membanjiri Heartbeat@Bedok pada Sabtu (20 Jul) bagi Fiesta Kesihatan dan Sukan.
Acara yang diadakan buat julung-julung kalinya itu menyajikan pelbagai kegiatan percuma untuk seisi keluarga dari 11 pagi hingga 4 petang.
Selain memupuk gaya hidup yang lebih sihat, acara itu juga adalah usaha menggalak pendaftaran ke dalam gerakan SG Lebih Sihat.
(Gambar: Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee)
Pada Mei, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mendedahkan bahawa pendaftaran di kalangan masyarakat Melayu adalah lebih rendah berbanding purata nasional.
Lantaran itu, Penasihat Jawatankuasa Akar Umbi (GRC) East Coast, Dr Mohamad Maliki Osman mengalu-alukan masyarakat untuk bersikap lebih proaktif.
"Konsep HealthierSG ialah mereka perlu jumpa doktor jika mereka sihat. Bukan jika mereka sakit. Tapi mereka takut kalau jika mereka jumpa sama doktor mereka dikatakan perlu menjalani beberapa ujian dan lantas laporan ujian tersebut memberi mereka sesuatu yang mereka agak takut untuk menghadapi.
"Mesej kami ialah ini adalah sesuatu yang perlu kita hadapi kerana lebih awal kita menghadapi semua ini lebih awal dapat kita tangani mungkin isu-isu yang akan mereka hadapi pada masa depan," ujar Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.
ISU KESIHATAN MENTAL
Di acara tersebut, selain aktiviti senaman 'Zumba', terdapat juga sesi demonstrasi memasak oleh cef-cef rancangan Raja Kulinari yang berkongsi resepi masakan sihat serta ceramah tentang kesihatan mental.
Dr Mohamad Maliki Osman menambah, ia bertujuan memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada aspek kesihatan.
(Gambar: Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee)
"Daripada segi mental, mereka boleh memahami bahawa untuk menangani tekanan misalannya mereka harus melebarkan sayap untuk mengenal rakan-rakan untuk tahu siapakah yang ada di kalangan rakan-rakan mereka, jiran tetangga ataupun sanak saudara yang boleh menjadi sumber sokongan bagi mereka. Ini dikatakan sistem sokongan sosial yang begitu penting untuk peningkatan daya tahan mental kita.
"Bukan sahaja kita menggalakkan mereka untuk bersenam dan sebagainya, tapi cara hidup seharian mereka, pemakanan mereka, cara kehidupan mereka, cara berapa jam mereka berehat dan tidur. Ini semua penting untuk meningkatkan kesedaran," kata Dr Maliki kepada wartawan Syawal Yusoff.
Selain itu, acara turut menampilkan reruai oleh rakan-rakan masyarakat yang menjalankan saringan kesihatan serta berkongsi tip-tip pemakanan sihat.
Sebilangan peserta yang menyertai acara jitu menyambut baik usaha yang dijalankan.
Antaranya ialah Cik Khaironbibi Mastan dan Cik Jamilah Suboh, dua warga emas yang sudah lapan tahun mengamalkan gaya hidup aktif.
"Umur saya sudah 70 tahun. Saya ke sini untuk membuat persiapan untuk diri saya. Walaupun lutut saya sakit, tapi hari ini saya dapat bersenam dengan 'power'," seloroh Cik Jamilah yang kerap bersenam seminggu sekali.
Bagi Cik Khaironbibi, 74 tahun pula, selain mengekalkan tahap fizikalnya dengan menyertai kumpulan senaman 'Zumba', beliau juga prihatin tentang kesihatan mentalnya dengan bergaul.
"Saya banyak melakukan senaman seperti berjalan kaki dan buat kerja sukarela. Saya juga banyak bercampur dengan kawan-kawan," ujar Cik Khaironbibi.
LEBIH BANYAK PROGRAM KESIHATAN BUAT PENDUDUK EAST COAST
Bagi memperkasakan lagi para penduduk GRC East Coast, satu inisiatif baharu bakal diumumkan tidak lama lagi.
Dipanggil 'Healthier East Coast', ia diharap dapat memperkukuhkan lagi jalinan kekeluargaan dan masyarakat di antara penduduk.
(Gambar: Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee)
"Inisiatif 'Healthier East Coast' sebenarnya menumpukan kepada 3 aspek iaitu sokongan mental, sosial dan fizikal yang ingin kami berikan kepada penduduk kami. Saya fikir ia penting kerana selalunya sesuatu masalah membawa kepada masalah lain. Oleh itu kami merasakan bahawa selain daripada mengekalkan gaya hidup sihat, ia juga merupakan keupayaan untuk melakukan interaksi sosial dengan orang lain dalam masyarakat.
"Kami pastinya berharap bahawa melalui ini ia bukan sahaja membawa banyak ikatan kekeluargaan, terdapat juga komuniti yang memulakan inisiatif asas. Oleh itu, itu adalah sesuatu yang akan mengujakan kami yang boleh kami sampaikan kepada semua penduduk Pantai Timur kami.," kata Penasihat Jawatankuasa Akar Umbi kawasan Fengshan, Cik Cheryl Chan.
Lebih banyak lagi perincian akan didedahkan semasa pelancarannya di Upacara Memperingati Hari Kebangsaan pada 4 Ogos nanti.
Acara hari ini turut disertai Para Penasihat Jawatankuasa GRC East Coast yang lain iaitu Encik Heng Swee Keat, Encik Tan Kiat How dan Cik Jessica Tan.
Related:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.