Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program kesihatan baharu 'H.U.N.C.L.E' galak kaum adam 50 tahun dan ke atas kekal aktif

Sebuah program kesihatan bagi menggalak gaya hidup aktif di kalangan warga emas, khususnya kaum Adam dilancarkan pada Selasa (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah program kesihatan bagi menggalak gaya hidup aktif di kalangan warga emas, khususnya kaum Adam dilancarkan pada Selasa (23 Apr).

Program perintis 'Healthy Uncles who Network, drink Coffee, Learn and Exercise' atau 'H.U.N.C.L.E' dikhususkan buat warga emas berusia 50 tahun dan ke atas yang tinggal di kawasan Tanjong Pagar - Tiong Bahru.

Selain dapat menggalak golongan tersebut aktif bersenam, ia juga diharap dapat meluaskan lagi rangkaian mereka untuk meniti usia senja bersama-sama.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Turut hadir bersama-sama para penduduk dalam sesi pagi tadi adalah Penasihat GRC Tanjong Pagar, Indranee Rajah.

"Harapan terbesar saya untuk mereka ialah mereka kekal sihat selama mungkin dan supaya mereka mempunyai rangkaian sosial yang kuat. Kami mahu mereka boleh lakukan ialah menjalin rangkaian dan dimasukkan ke dalam program sosial yang berbeza tetapi juga mempunyai komuniti di sekeliling mereka lelaki lain dalam kumpulan umur yang sama kerana mereka mempunyai minat yang sama. Saya fikir ia memberi mereka rasa setiakawan," kata Cik Indranee.

(Gambar: Syawal Yusoff)

PENDEKATAN HOLISTIK MERANGKUMI SENAMAN; CERAMAH TENTANG KESIHATAN KAUM ADAM

Lokasi untuk program itu juga lebih santai kerana ia diadakan di sebuah kedai kopi, salah sebuah 'port' yang lazim dikunjungi golongan tersebut.

"Kita semua tahu mereka menikmati kopi, itulah sebabnya ia direka untuk berada di kedai kopi di tempat yang mereka akan pergi secara semula jadi supaya mereka tidak perlu keluar jauh dan ia tidak menyusahkan mereka," ujar Cik Indranee.

Buat masa ini, program itu diadakan sebulan sekali.

Namun Cik Indranee alu-alukan lebih ramai akan tampil untuk menyertai inisiatif itu agar lebih banyak program dapat ditawarkan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam usaha untuk memberikan pengalaman holistik dari segi fizikal dan mental, program sepanjang 2.5 jam itu dibahagikan kepada dua bahagian.

Program dimulakan dengan sesi senaman yang dipimpin oleh para duta Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Sebanyak tujuh jenis senaman dilakukan yang memberi tumpuan kepada latihan kekuatan, fleksibiliti, jantung dan ketangkasan mental.

Untuk menggalak warga emas untuk terus bersenam di rumah, senaman yang diperkenalkan tidak rumit dan tidak memerlukan aksesori atau alat tambahan.

Ia boleh dilakukan dengan barangan yang mudah untuk didapatkan di rumah seperti kerusi.

"Senaman disusun supaya mereka boleh melakukannya di rumah sama ada menggunakan berat badan sendiri atau apa sahaja yang anda temui di rumah kerana banyak program senaman memerlukan anda sama ada pergi ke gim atau pergi ke suatu tempat atau di mana terdapat peralatan khusus tetapi apa yang kami kejar sebenarnya ialah pendidikan supaya orang ramai boleh melakukannya di mana-mana supaya anda menjalani gaya hidup sihat bersama anda," tambah Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Kewangan.

Di samping itu, beberapa ceramah yang merangkumi topik-topik termasuk kesihatan lelaki dan keselamatan siber seperti pencegahan 'scam' turut diadakan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

ISI KESUNYIAN DENGAN GAYA HIDUP AKTIF

Antara 42 peserta yang meraih manfaat daripada sesi tersebut ialah pesara, Encik Isnin Hassan, 66 tahun.

Walaupun menghidap penyakit barah, bapa tunggal lima orang anak itu mengisi kesunyiannya dengan giat bersenam dan beriadah.

"Senaman ini biasalah. Tak banyak, sikit pun ada berpeluh sikit. Itulah dekat rumah pelihara burung. Pelihara burung, pergi bersenam, beri makan kepada burung. Kadang-kadang pergi ajak burung itu jalan pergi mana-mana tempat yang ada kedai burung dan juga naik basikal," kata Encik Isnin.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Para peserta juga diberi beg cenderahati berisi aksesori senaman, minyak angin serta baucar makanan bernilai S$10 setiap seorang.

Program sepanjang lapan bulan itu berlangsung sehingga 26 November 2024.

Ia turut disokong Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Persatuan Rakyat, EM Services, Koufu dan Orange Tee.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan