Program Keluarga Syifa' Kelab HEAL dapat sambutan, naik 9 kali ganda
SINGAPURA: Dalam masa tiga tahun sahaja, jumlah peserta yang menyertai Program Keluarga Syifa' (PKS) di Masjid An-Nur meningkat sebanyak sembilan kali ganda.
Program yang dirintis oleh Kelab HEAL itu kini disertai lebih 90 peserta berbanding hanya 10 peserta pada 2019.
Menurut salah seorang kakitangan Kelab HEAL,Juniahti Awang, program tersebut mendapat sambutan oleh mereka yang mengenali atau mempunyai anggota keluarga yang mempunyai masalah kesihatan mental, pesakit demensia dan para penjaga mereka.
Kelab HEAL juga menyasarkan program ini buat warga emas berusia 50 tahun ke atas.
Menerusi PKS, Kelab HEAL itu berharap dapat meningkatkan kesedaran dan membekalkan para peserta dengan ilmu mengenai demensia dan kesihatan mental.

Antaranya termasuk cara mengenal pasti gejala-gejala awal demensia.
"Kami mendapati bahawa semakin ramai warga emas di Singapura menghadapi masalah kesunyian dan pengasingan sosial. Tambahan pula, ini sebenarnya membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan demensia.
"Selain itu, hanya segelintir badan-badan Melayu/Islam yang memberi khidmat kepada penjagaan warga emas. Justeru, selepas rundingan bersama masjid, Kelab HEAL bersetuju untuk mengadakan latihan kepada para kakitangan dan sukarelawan masjid supaya kami bukan saja memberi tumpuan kepada menangani masalah demensia dan kesihatan mental tetapi juga menjadi langkah-langkah pencegahan bagi kesihatan mental dan demensia," kata Cik Juniahti.
AKTIVITI BANTU TINGKATKAN DAYA KOGNITIF PESERTA
Antara kegiatan yang dianjurkan program itu termasuk aktiviti melukis, kraf tangan, senaman ringan dan aktiviti-aktiviti yang bantu mengukuhkan lagi kesejahteraan mental.
Ia bukan sahaja dapat melebarkan rangkaian sosial peserta tetapi juga mempertingkatkan daya kognitif mereka.

Di samping itu, kegiatan-kegiatan tersebut disulami dengan unsur-unsur kerohanian.
Menurut Ustaz Md Umaruddin Zainuddin, Ketua Pendampingan Masyarakat dan Keluarga, sesi yang diadakan sebulan sekali itu akan ditutup dengan sesi tazkirah, selawat dan zikir.
Ustaz Umaruddin menjelaskan, "Apa yang unik mengenai program ini ialah ia menggabungkan elemen fizikal, mental dan rohani."
"Elemen rohani ini sebenarnya yang orang kata 'gel' program PKS ini dan menarik orang ramai untuk menyertainya. Ini kerana programnya ditempatkan di masjid, maka elemen rohani ini sangat penting bagi kami masukkan juga."
Antara peserta yang menghadiri sesi hari ini (7 Sep) ialah Cik Banong Ghani, 74 tahun.
Beliau sebenarnya antara yang terawal menyertai PKS 2019 lagi.
Beliau berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa beliau berasa amat gembira setiap kali dapat hadir dalam sesi PKS.
Tambahnya, beliau juga tidak berasa kesunyian kerana dapat bertemu dengan teman-temannya dan melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama-sama.

Secara tidak langsung, ia juga mengeratkan silaturahim antara satu sama lain dan mengembalikan semangat bergotong-royong.
"Bila saya datang sini, saya dapat bertemu dan belajar dan melakukan apa yang mereka ajar. Pendek kata, ia mendatangkan manfaat bagi saya. Kalau dulu saya hanya duduk di rumah dan tidak melakukan apa-apa. Jadi apabila saya datang sini, saya dapat bertemu dengan kawan-kawan dan dapat mempelajari sesuatu dan bersenam. Kalau di rumah, saya tidak bersenam," kongsi Cik Banong kepada BERITA Mediacorp.
Buat masa ini, PKS hanya diadakan di dua masjid iaitu Masjid An-Nur dan Masjid Assyafaah.
Kelab HEAL kini merancang untuk meluaskan lagi program tersebut dan mengadakannya di lebih banyak masjid merata negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.