Skip to main content

Singapura

Program keharmonian kaum SG dipertingkat sedang minat awam berkembang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2025 08:54PM Dikemas Kini : 09 Feb 2025 10:15PM
SINGAPURA: Sesetengah pertubuhan di Singapura mempertingkatkan program keharmonian sosial dan agama masing-masing dengan menerapkan penggunaan teknologi seperti alat deria biometrik Realiti Tambahan (AR) dan menambah bilangan pemudah cara.

Ini sedang munculnya minat yang semakin berkembang di kalangan orang ramai untuk mengenali budaya berbeza di Singapura.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, hakikatnya, banyak yang mungkin kurang diketahui penduduknya tentang satu sama lain.

Justeru, badan-badan seperti pertubuhan NGO OnePeople.sg menganjurkan program pendidikan mengenai budaya dan agama di Singapura.

"Mereka berpeluang berbincang dengan para pemimpin agama dan penganut. Ini membolehkan mereka memahami sudut pandangan daripada masyarakat etnik dan agama berbeza, sekali gus belajar daripada pengalaman-pengalaman ini," kata Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan OnePeople.sg, Christopher Gordon.

"Mereka menghargai ruang selamat yang disediakan itu untuk menanyakan soalan dan mencari penjelasan kepada perkara yang mereka ingin tahu tetapi tiada keberanian untuk bertanya sebelum ini seperti apabila bersama rakan-rakan atau ahli keluarga," tambahnya.

Minat terhadap program lawatan sedemikian mula meningkat sejak kebelakangan ini.

Sekitar 1,500 peserta mengambil bahagian pada tahun 2024.

Jumlah tersebut meningkat lebih 50 peratus berbanding tahun 2022.

Untuk memenuhi permintaan, pihak-pihak penganjur berusaha mengembangkan jumlah penyelaras mereka.

Malah ada yang beralih kepada cara-cara baharu untuk membantu para peserta memahami isu-isu berkaitan bangsa dan agama dengan lebih baik.

"Dalam bengkel-bengkel kami, kami sebenarnya menggunakan banyak alat pedagogi berbeza seperti alat deria biometrik, realiti tambahan, realiti maya, pengesan pergerakan mata," kata Dr Mike Hou, Pengarah Bersekutu Institut Pengajian Dasar Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Sebagai contoh, bagi kesan pergerakan mata, kami meminta peserta menjalani aktiviti menggunakan alat peranti mereka dan corak pergerakan mata mereka dirakam.

"Dan apa yang didedahkan kepada peserta selepas aktiviti itu adalah bagaimana mereka sebenarnya sedang membuat anggapan yang sangat tersirat terhadap golongan-golongan masyarakat yang berbeza seperti sifat-sifat mereka sama ada yang baik atau buruk," tambahnya.

Bengkel seperti itu membolehkan para peserta membincangkan tanggapan-tanggapan mereka dan mendorong mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang budaya lain.

Pada masa akan datang, para penganjur merancang untuk memperkenalkan kaedah-kaedah tersebut kepada lebih banyak universiti, sekolah dan syarikat.
Sumber : CNA/IQ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita