Skip to main content

Singapura

Program kaunseling 'Insan Mukmin' diluaskan kepada pesalah wanita

Para pesalah wanita kini dapat mengikuti kelas agama di masjid seperti lazimnya menerusi program 'Insan Mukmin'.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2023 06:21PM Dikemas Kini : 06 Feb 2023 09:52AM

SINGAPURA: Para pesalah wanita kini dapat mengikuti kelas agama di masjid seperti lazimnya menerusi program 'Insan Mukmin'.

Walaupun masih menjalani hukuman, mereka dibawa ke Masjid Darul Aman bagi menjalani fasa ketiga program kaunseling agama intensif itu.

Tujuh pesalah wanita itu membentuk kohort pertama sejak program tersebut diluaskan kepada pesalah wanita sejak Oktober 2022.

Sejak dimulakan pada 2015, program hasil kerjasama Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), Pejabat FITRAH dan Jabatan Penjara Singapura hanya ditawarkan kepada pesalah lelaki.

Program sepanjang 20 minggu itu dibahagikan kepada tiga fasa.

Fasa pertama dan kedua yang bertemakan 'Muhasabah' dan 'Taubah dan Maghfirah' dikendalikan di dalam penjara, selama dua jam setiap minggu, selama 14 minggu.

Manakala untuk fasa ketiga, ia dijalankan setiap minggu di Masjid Darul Aman sedang mereka menjalani Program Berasaskan Masyarakat (CBP).

Sepanjang tiga jam, mereka menerima bimbingan dari para asatizah dan pendamping mereka, menerusi ceramah agama dan aktiviti berkumpulan.

Program tersebut yang pada mulanya hanya ditawarkan kepada pesalah lelaki diluaskan kepada pesalah wanita selepas mendapat respons yang positif.

Ia bertujuan menyediakan kaunseling agama yang berstruktur dan intensif kepada para bekas pesalah dari Pusat Pemulihan Dadah (DRC).

"Sejak kami mula melakarkan program 'Insan Mukmin' ini, seramai 50 peserta daripada banduan, pesalah dan bekas pesalah. Sekarang kita ada lebih kurang 20 yang sedang menjalani, masih berterusan dengan program ini," kata Pengarah Eksekutif, Pejabat FITRAH, Encik Mohamed Farik Omar.

Dari segi kurikulum, Encik Farik berkata program tersebut tidak banyak berbeza bagi banduan lelaki dan wanita.

"Sesi interaksi dan perbincangan, itu yang sedikit berlainan sebab kita ada asatizah lelaki untuk pesalah lelaki dan asatizah wanita untuk pesalah wanita dan pendamping-pendamping juga mengikut jantinanya lelaki atau wanita," jelasnya.

PELAJARI TENTANG KESABARAN, ILMU KEROHANIAN

Antara pesalah dadah wanita yang sedang menjalani program itu ialah 'Yati', bukan nama sebenar.

Sejak 2010, beliau sudah empat kali keluar masuk penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Apabila timbul rasa kesal, 'Yati' mengambil inisiatif untuk menyertai program tersebut kerana ingin berubah.

"Saya sebenarnya menjadi lebih penyabar sebab saya mempunyai panas baran jadi susah saya nak kawal kemarahan saya. Jadi bila saya masuk FITRAH, saya berbual dengan Ustaz dan Ustazah tentang semua perkara ini dan mereka mengajar saya bagaimana nak kawal emosi saya," kata 'Yati', 40 tahun.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau yang dahulunya cetek dalam pengetahuan agama juga kini lebih kaya ilmu kerohanian.

"Saya belajar lebih mendalam tentang agama saya dan sebenarnya saya bertanyakan kepada Ustaz dan Ustazah tentang surah ringkas untuk saya terapkan dalam solat harian. Saya sebenarnya belajar bagaimana untuk menjadi konsisten dalam ibadah saya," tambahnya.

SOKONGAN MASJID, MASYARAKAT PENTING DALAM PROSES PEMULIHAN

Sesi pada Ahad (5 Feb) itu juga lebih istimewa kerana para banduan itu menerima kunjungan istimewa oleh Menteri Negara Kementerian Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Di samping beramah mesra, beliau turut memberikan kata-kata perangsang kepada para wanita itu sebagai menyuntik semangat.

"Saya rasa gembira kerana kita melihatnya sebagai satu peluang untuk memberikan ruang yang baik, positif bagi banduan wanita untuk meningkatkan tahap dan juga memberikan ruang yang lebih luas dalam proses pemulihan mereka dan juga bagaimana mereka boleh mendirikan ataupun memperbaiki kehidupan mereka selepas mereka keluar daripada penjara," kata Dr Faishal.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Buat masa ini, para pesalah lelaki mengikuti fasa ketiga program berkenaan di Masjid Al-Istighfar dan bagi sesi pengenalan kepada pengurusan jenazah, para peserta akan dibawa ke Masjid Pusara Aman pula.

Dr Faishal memuji serta menghargai sokongan yang diberikan dari pihak masjid dan para sukarelawan.

Sokongan itu katanya adalah penting bukan sahaja dalam membantu proses pemulihan para banduan malah pembangunan masyarakat dan negara.

"Dengan semangat bergotong-royong ini, semangat untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan, kita bukan sahaja boleh memberikan ruang pemulihan bagi mereka, kita boleh membangunkan Singapura yang lebih baik, Singapura yang selalu prihatin tentang kemaslahatan masyarakat sesama kita dan kita mahukan kebaikan kepada semua masyarakat di Singapura," tambah Dr Faishal.

Selepas menjalani program ini, 'Yati' kini mempunyai lebih keyakinan dan berazam untuk membina hidup baru apabila beliau dibebaskan dari penjara pada Ogos 2024.

"Apa yang membuat saya nak istiqamah terus, saya harap selepas saya tamat program 'Insan Mukmin' ini, saya nak lanjutkan pelajaran saya dalam kursus diploma dalam pengajian Islam, insya-Allah kalau ada rezeki lebih," ujarnya yang turut cemerlang dalam kursus NITEC dalam bidang perniagaan yang diikutinya semasa dalam tahanan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selepas lama 'menghilang' daripada pangkuan keluarga, ibu tunggal kepada 10 orang anak itu juga mahu menjadi contoh yang baik.

"Saya juga mahu mendorong anak-anak saya, itu penting. Saya pun nak anak-anak saya jadi orang yang berguna. Anak-anak kita pun sudah besar. Jadi saya tak nak anak-anak saya mengikut langkah saya," tambahnya.

Edisi 'Insan Mukmin' kali ini dijangka selesai pada 19 Februari nanti dengan satu majlis tamat pengajian.

Pihak pejabat FITRAH sedang merancang untuk meluaskan program tersebut untuk menjadi lebih menyeluruh supaya dapat terus membimbing para pesalah walaupun selepas mereka tamat menjalani hukuman.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita