Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program interaktif bahasa Melayu Kembara Nusantara jangkau 56 prasekolah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu program prasekolah bagi menggalak pembelajaran bahasa Melayu menerusi kaedah menarik di luar bilik darjah sudah menjangkau 1,453 kanak-kanak dari 56 pusat prasekolah, melebihi sasaran 1,000 kanak-kanak dan 50 prasekolah.

Program yang dipanggil Kembara Nusantara itu merupakan kerjasama antara Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Mandai Wildlife Group (MWG), dengan tekanan diberikan kepada budaya dan kesusasteraan Melayu.

Di sini, para guru prasekolah dibimbing bagi menjalani darmawisata dan aktiviti pembelajaran menarik di Taman Haiwan Singapura.

Seramai 83 guru yang terlibat dalam program itu menjalani sesi bengkel latihan selama sehari di sana.



Program itu dilancarkan oleh Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman dan dihadiri oleh empat pusat prasekolah termasuk MOE Kindergarten @ Punggol Green, PCF Sparkletots Preschool @ Taman Jurong Blk 150, En-Naeem Mosque Kindergarten dan Assyakirin Mosque Kindergarten.

"Apa yang kita harapkan menerusi program Kembara Nusantara ini ialah memberi wadah kepada guru-guru untuk melihat bahawa pembelajaran bahasa tidak perlu terhad kepada buku-buku sahaja tetapi juga dengan cara mereka keluar melihat keadaan alam," kongsi Dr Maliki.

KENALI DAN LIHAT HAIWAN NUSANTARA DENGAN DEKAT

Di bawah program itu, kanak-kanak akan diperkenalkan kepada haiwan-haiwan yang terdapat di Nusantara atau yang biasa ditemui dalam cerita-cerita rakyat Melayu.

Mereka juga berpeluang mengenali haiwan-haiwan itu secara dekat sewaktu lawatan ke Taman Haiwan Mandai, yang sekaligus dapat meluaskan kosa kata bahasa Melayu mereka dalam suasana yang menyeronokkan.

Konsep flora dan fauna berkaitan dengan masyarakat Melayu turut diteroka.



"Apa yang ingin kita lakukan ialah membawa mereka ke tempat-tempat alam di mana mereka dapat menghargai apa yang mereka lihat di sekitaran mereka. Dalam program Kembara Nusantara ini, kita membawa anak-anak ke taman haiwan Singapura, melihat flora dan fauna di sini. Bukan sahaja dari segi haiwan-haiwan yang tinggal di sini tetapi (juga) keindahan alam di sini," kongsi Dr Maliki.

"Dari segi budaya Melayu kita, misalnya mereka diperkenalkan dengan daun-daunan di taman haiwan ini. Apakah daun-daun yang dimakan oleh haiwan-haiwan ini. (Ia) menunjukkan bahawa cara kehidupan haiwan-haiwan ini merupakan satu yang semula jadi," tambah beliau.



Menjawab kepada pertanyaan mengapa biodiversiti dipilih sebagai cara menggalak penggunaan Bahasa Melayu, Dr Maliki berkata bahawa ia merupakan antara cara mendidik anak-anak dari usia yang kecil lagi tentang pentingnya menghargai biodiversiti di mana manusia dan haiwan hidup bersama.

"Biodiversiti merupakan satu nilai yang harus kita terapkan dalam jiwa anak-anak kita supaya pada masa hadapan, generasi hadapan akan menghargai apakah isu kemampanan," ujar Dr Maliki.

PENDEDAHAN KEPADA SASTERA

Selain itu murid-murid prasekolah juga didedahkan kepada sastera kanak-kanak Melayu seperti cerita rakyat dan Sang Kancil yang mengetengahkan nilai-nilai murni.

Antara prasekolah yang menyertai program itu adalah MOE Kindergarten @ Punggol Green.

Mereka merupakan antara yang pertama mendaftar untuk program itu.



"Salah satu daripada topik pembelajaran kanak-kanak prasekolah adalah mengenai binatang-binatang dan juga taman haiwan jadi di mana tempat yang lebih baik kalau tidak kami belajar bersama-sama dengan pegawai daripada Mandai Wildlife Group, satu tempat yang sangat menyeronokkan dan ceria untuk kanak-kanak belajar dan menggunakan bahasa Melayu dengan gembira dan ghairah," kongsi Ketua Pusat itu, Cik Siti Nurrafidah Samat.

"Untuk Kembara Nusantara ke Taman Haiwan hari ini, kami berbicara dengan mereka dan berkata kami semua akan cuba hari ini untuk menggunakan Bahasa Melayu. Dan mereka kata boleh, kami akan mencubanya pada hari ini dan mereka rasa sangat bangga dan yakin untuk berkongsi bersama-sama dengan guru-guru dan rakan-rakan," tambah beliau.

PERANAN IBU BAPA

Dalam zaman di mana ramai kanak-kanak lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris, melestarikan bahasa Melayu merupakan antara cabaran yang dihadapi tadika itu.

"Mereka kurang berkeyakinan untuk melestarikan bahasa Melayu jadi kami guru-guru memberi mereka kata-kata semangat, dorongan dan galakkan," ujar Cik Siti.



"Bukan sahaja kepada murid-murid tetapi juga dengan ibu bapa mereka. Di sekolah kami, kami selalu memberitahu ibu bapa (mereka) juga harus bersama-sama kami dalam melestarikan bahasa Melayu ini," tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Maliki turut menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam menggalak penggunaan bahasa Melayu.

Menurutnya, mereka perlu terlebih dahulu selesa menggunakan bahasa Melayu itu sendiri dan "menerima hakikat" akan kepentingan kedwibahasaan dalam pembangunan anak-anak mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan