Program Imunisasi HPV percuma dilancarkan galak wanita berpendapatan rendah dapatkan vaksin
(Gambar: Singapore Cancer Society)
SINGAPURA: Yayasan Temasek hari ini (10 Feb) melancarkan Program Imunisasi Papilomavirus Manusia (HPV), yang akan membantu menampung sepenuhnya kos bagi vaksin HPV untuk kaum wanita berpendapatan rendah.
Program itu dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Barah Singapura (SCS).
Setiap individu, khususnya kanak-kanak dan wanita, dari usia sembilan hingga 25 tahun digalakkan untuk mendapatkan sehingga tiga dos vaksin HPV.
Setiap satu dos berharga sekitar $23. Bermakna, tiga dos berharga hampir $70.
Semasa menyampaikan ucapannya di majlis pelancaran yang diadakan hari ini (10 Feb), Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam, berkata program tersebut akan memberi lebih banyak akses kepada vaksin HPV.
"Ini akan lebih memberi akses kepada vaksin HPV dengan meniadakan kos yang dikaitkan dengan vaksinasi dan akan membantu dalam jangka panjang untuk mempertingkat pengambilan vaksin dalam kumpulan tersebut.
Cik Rahayu menambah, menerusi kerjasama sedemikian yang mahu mendidik individu dan memudahkan akses mereka untuk mendapatkan vaksinasi yang boleh menyelamatkan nyawa, "kita boleh lebih memperkasa wanita untuk mengambil langkah menjaga kesihatan mereka sendiri".
Pada April 2019, Kementerian Kesihatan (MOH) mengorak langkah menjalankan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengambilan vaksin HPV.
Program vaksinasi HPV di sekolah diberikan percuma kepada semua pelajar perempuan sekolah menengah.
Sejak itu, 90 peratus pelajar menengah satu dari pelbagai sekolah sudah menerima vaksin HPV.
Kaum wanita rakyat Singapura dan Penduduk Tetap yang tertakluk di bawah usia yang disarankan bagi vaksin HPV juga layak mendapatkan subsidi di bawah jadual imunisasi kebangsaan.
"Bagaimanapun, masih kurang kesedaran dan pengambilan vaksin dalam kalangan sesetengah kumpulan penduduk. Pelancaran hari ini menunjukkan betapa pentingnya kerjasama pemerintah dengan masyarakat dalam mempertingkatkan kemajuan kesihatan dan kesejahteraan awam serta menyatukan usaha-usaha peringkat nasional yang sedia ada," kata Cik Rahayu.
Hampir semua atau 95 peratus kes barah pangkal rahim di dunia boleh dikaitkan dengan jangkitan HPV.
Di Singapura, barah pangkal rahim adalah barah kesepuluh paling biasa dan juga punca kesepuluh paling biasa dalam kalangan kematian akibat barah dalam kalangan wanita.
Sekalipun demikian, ia juga merupakan barah paling boleh dirawat dengan berkesan, jika ia dikesan awal.
"Vaksin HPV mengurangkan dengan ketara risiko wanita menghidap barah pangkal rahim. Kajian menunjukkan bahawa langkah mendapatkan vaksin lebih awal dalam kehidupan juga boleh memberikan lebih banyak perlidungan terhadap penyakit itu.
"Melengkapkan vaksinasi HPV dan menjalani pemeriksaan kerap bagi mengesan barah pangkal rahim adalah kumci kepada pencegahan barah pangkal rahim," ujar Cik Rahayu lagi.
Pengesanan dan rawatan awal khususnya di peringkat awal sebelum ia menjadi barah boleh menyelamatkan nyawa.
Sejak 2017, program pemeriksaan kesihatan Screen for Life (SFL) Lembaga Penggalakan Kesihatan menyediakan pemeriksaan bersudsidi bagi barah pangkal rahim di klinik-klinik Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS), supaya semua rakyat Singapura yang layak boleh menjalani pemeriksaan kesihatan yang disarankan.
"Untuk mencapai tujuan ini, SCS menawarkan pemeriksaan bersubsidi bagi barah pangkal rahim di kliniknya di Bishan dan secara aktif mendidik anak-anak perempuan tentang HPV dan barah pangkal rahim. Saya menggalakkan setiap wanita yang layak untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif sedemikian untuk melindungi kesihatan mereka," tambah Cik Rahayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.