Skip to main content

Singapura

Program HoPE LKCMedicine bantu Nur Shyieka lihat penjagaan paliatif dari perspektif baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Program HoPE LKCMedicine bantu Nur Shyieka lihat penjagaan paliatif dari perspektif baharu

Nur Shyieka Mohd Razali, pelajar Sarjana Sains (MSc) dalam Penjagaan Paliatif Holistik (HoPE). (Gambar: NTU)

SINGAPURA: Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), kini menawarkan program Sarjana Sains (MSc) dalam Penjagaan Paliatif Holistik (HoPE) untuk melatih profesional kesihatan dalam pendekatan menyeluruh bagi merawat pesakit dengan penyakit yang mengancam nyawa.

Program itu ditawarkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Singapura yang semakin menua dan memerlukan penjagaan paliatif yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada gejala-gelaja fizikal tetapi juga emosi, sosial dan rohani.

PERUBAHAN DALAM PEMIKIRAN

Antara penuntut dalam kohort pertama program itu ialah Cik Nur Shyieka Mohd Razali.

Bagi pensyarah bersekutu di Politeknik Ngee Ann dan bekas jururawat itu, beliau sendiri pernah menganggap penjagaan paliatif itu sebagai “menyerah kalah".

Namun pengalaman peribadi dan pengajian dalam program HoPE mengubah tanggapannya itu.

Ini ketika beliau menyaksikan sendiri kesungguhan pasukan penjagaan paliatif dalam menyokong ahli keluarganya yang menghidap penyakit barah.

"Saya bekerjasama dengan pasukan khusus dari Home Nursing Foundation, Home Hospice Care dan AIC. Sikap profesional dan belas kasihan mereka membuktikan pada saya bahawa penjagaan paliatif bukan tentang menyerah diri tetapi tentang memelihara maruah, meringankan penderitaan dan menyokong keluarga.

"Program HoPE mengukuhkan lagi perspektif ini dengan melengkapkan saya dengan pengetahuan dan kemahiran untuk melihat penjagaan paliatif sebagai bahagian penting dan holistik dalam penjagaan kesihatan," kongsi Cik Shyieka.

Sebagai seorang pensyarah, pemahaman baharu tentang penjagaan paliatif holistik sudah mempengaruhi cara beliau mengajar dan mendidik pelajar lain.

Beliau menekankan bahawa penjagaan holistik meliputi aspek emosi dan rohani dan bukan sahaja rawatan fizikal.

"Dengan berkongsi pengalaman dan prinsip peribadi daripada program HoPE, saya membantu pelajar menghargai bahawa penjagaan paliatif bukan sahaja mengenai kawalan gejala penyakit, tetapi tentang menghormati perjalanan pesakit dengan belas kasihan.

"Saya bercita-cita untuk akhirnya menyepadukan penjagaan paliatif secara formal ke dalam kurikulum supaya pelajar boleh membawa nilai ini kepada amalan masa depan mereka," kata Cik Shyieka.

CABARAN SEPANJANG PEMBELAJARAN

Menurut Cik Shyieka, mengimbangi tanggungjawab kerja, keluarga dan pembelajaran adalah cabaran utama dalam mengikuti program itu.

Namun beliau menekankan bahawa struktur fleksibel program HoPE membolehkan penuntut sepertinya mengatur masa dan jadual dengan lebih berkesan.

"Contohnya, memperuntukkan 30 minit setiap malam membolehkan saya menyiapkan kuliah dan refleksi secara konsisten. Ini mengajar saya tentang kepentingan daya tahan dan keutamaan.

"Ia satu kemahiran yang bukan sahaja membantu saya berjaya dalam akademik tetapi juga sangat berguna dalam bidang penjagaan paliatif yang mencabar tetapi memuaskan," kongsi Cik Shyieka.

PENJAGAAN PALIATIF HOLISTIK

Berdasarkan pengalamannya sebagai jururawat di bilik pembedahan, Cik Shyieka menekankan pentingnya penjagaan paliatif holistik bagi memenuhi keperluan pesakit secara menyeluruh.

"Saya melihat bagaimana pembedahan boleh merawat penyakit, namun ramai pesakit masih bergelut dengan proses pemulihan, tekanan emosi dan bagi sesetengahnya, realiti bahawa mereka akan meninggal dunia (end-of-life).

"Latihan penjagaan paliatif holistik membolehkan para profesional kesihatan menangani keperluan-keperluan yang tidak dipenuhi ini dengan memberi keselesaan, menyokong keluarga dan memastikan maruah pesakit sentiasa terpelihara," kongsi Cik Shyieka.

Tambahnya lagi, proses jagaan yang betul boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri pesakit dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Beliau berharap dapat menerapkan ilmu daripada program HoPE dalam peranannya sebagai guru dan
membantu masyarakat.

"Saya menyasarkan untuk menyepadukan prinsip penjagaan paliatif ke dalam pendidikan kejururawatan supaya jururawat masa depan dilengkapi dengan pengetahuan dan empati apabila menjaga pesakit di penghujung hayat mereka.

"Kedua, saya ingin bekerjasama dengan rakan masyarakat seperti Home Nursing Foundation dan AIC untuk meningkatkan kesedaran serta memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan paliatif. Dengan cara ini, saya berharap dapat menyumbang ke arah sistem kesihatan yang lebih berperikemanusiaan dan holistik," kongsi Cik Shyieka.

FESTIVAL SENI DAN SAINS PERUBATAN 2025

Ini antara yang dikongsikan dalam Festival Seni dan Sains Perubatan 2025 yang berlangsung pada 4 Oktober di Hab Tampines Kita (OTH).

Ia turut menampilkan pelbagai pameran, ceramah dan sesi interaktif yang menonjolkan masa depan penjagaan kesihatan di Singapura.

Related article image
Festival Seni dan Sains Perubatan 2025 yang berlangsung pada 4 Oktober di Hab Tampines Kita (OTH).
Antara tarikan utama ialah pembentangan mengenai program HoPE yang menarik perhatian ramai profesional kesihatan dan pelajar perubatan.

Acara itu menekankan pentingnya latihan berterusan dalam bidang penjagaan paliatif dan bagaimana pendekatan holistik mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Ia turut menekankan komitmen Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) dalam memperkukuh pendidikan kesihatan berasaskan nilai empati, inovasi dan kesejahteraan masyarakat sejajar dengan usaha nasional untuk membina sistem kesihatan yang lebih penyayang dan mampan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita