Skip to main content

Singapura

Program hidangan siap makan Pertahanan Mutlak digantung susuli kes keracunan makanan SOTA

Sebuah inisiatif kebangsaan melibatkan agihan hidangan siap makan telah digantung buat sementara waktu pada Khamis (20 Feb), berikutan kes keracunan makanan di Sekolah Seni (SOTA) membabitkan makanan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Program hidangan siap makan Pertahanan Mutlak digantung susuli kes keracunan makanan SOTA

Makanan siap dimakan SATS ini tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk dan boleh dihidangkan tanpa perlu dipanaskan dulu. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 20 Feb 2025 11:34AM Dikemas Kini : 20 Feb 2025 04:32PM
SINGAPURA: Sebuah inisiatif kebangsaan melibatkan agihan hidangan siap makan telah digantung buat sementara waktu pada Khamis (20 Feb), berikutan kes keracunan makanan di Sekolah Seni (SOTA) membabitkan makanan tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama pada pagi Khamis, Agensi Makanan Singapura (SFA), Kementerian Pendidikan (MOE), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan katering makanan SATS, berkata ia "akan menggantung sementara Program Hidangan Siap Makan sebagai langkah berjaga-jaga sehingga siasatan kes gastroenteritis SOTA selesai".

Mediacorp melaporkan tentang kelompok keracunan makanan di SOTA pada Rabu.

Seramai 20 pelajar mengalami simptom seperti cirit-birit, loya dan muntah selepas makan yang diagihkan.

Makanan itu pada asalnya hendak diberi kepada lebih 100,000 pelajar dan guru dari lebih 90 sekolah sebagai sebahagian daripada Program Kesediaan Ketahanan Makanan tahun ini, sebuah inisiatif yang diketuai oleh SFA.
Selain di sekolah, makanan tersebut juga hendak diberi kepada warga emas di Pusat Penuaan Aktif di merata negara, dengan lebih 8,000 warga emas di 111 pusat mengambil bahagian.

Makanan itu disediakan oleh SATS untuk orang awam apabila berlaku keadaan darurat. Ia tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan sehingga lapan bulan.

Pelajar SOTA telah diberi makanan itu pada Selasa sebagai sebahagian daripada Latihan SG Ready, yang menyerupai krisis seperti gangguan bekalan elektrik dan gangguan bekalan makanan di bawah Pertahanan Mutlak.

Pelajar yang terjejas membentuk kira-kira 1 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di sekolah itu yang mengambil makanan terbabit, kata SFA, MOE, Kementerian Kesihatan dan SATS pada Rabu.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita