Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Elektif Bahasa Melayu diperkenalkan di 3 sekolah menengah bermula 2020

Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan (MOE) akan meningkatkan Program Elektif Bahasa dengan memperkenalkannya di peringkat sekolah menengah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan (MOE) akan meningkatkan Program Elektif Bahasa dengan memperkenalkannya di peringkat sekolah menengah.

Pada masa yang sama, program yang kini sudah dijalankan di peringkat Maktab Rendah turut akan diperluaskan.

PENGUASAAN BAHASA IBUNDA PERLU DIPERDALAM

Menteri Pendidikan Encik Ong Ye Kung berkata peluang pekerjaan dan ekonomi di rantau ASEAN semakin luas.

Ini bermakna, penguasaan bahasa serantau akan menjadi satu kelebihan.

Maka itu, beliau menggalak semua pihak termasuk ibu bapa untuk menjadikan pembelajaran bahasa menyeronokkan.

Peningkatan kadar keluarga yang berdwibahasa dari 80% kepada 90% dalam tempoh 20 tahun lalu sesuatu yang memberangsangkan.

Namun begitu menurut Encik Ong, penguasaan Bahasa Ibunda perlu diperdalam.

Salah satu langkah tersebut adalah Program Elektif Bahasa (LEP).

"Kita boleh melakukan dengan lebih banyak lagi untuk meluaskan penyertaan bagi program ini. Ada tanggapan bahawa pembelajaran mendalam terhadap Bahasa Ibunda dan Program Elektif Bahasa atau Program Elektif Nasional Bahasa Tamil hanya kepada kumpulan pelajar yang khusus.

"Seharusnya lebih ramai pelajar mengambilnya dan lebih ramai pelajar yang akan berasa yakin bahawa mereka boleh melakukannya," tekab beliau.

PROGRAM ELEKTIF BAHASA MELAYU DIPERKENAL DI 3 SEKOLAH MENENGAH

Di bawah peningkatan tersebut, Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) akan diperkenalkan di tiga sekolah menengah di sini.

Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Anderson, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Sekolah Menengah Tanjong Katong.

Menurut Encik Ong program elektif yang akan ditawarkan bermula tahun depan itu, memainkan peranan penting dalam membina asas yang kuat bagi para pelajar untuk menghargai bahasa dan budaya menerusi pembelajaran subjek Sastera di peringkat menengah.

Menerusi program itu juga MOE menjangkakan lebih ramai pelajar akan melanjutkan pembelajaran bahasa ke maktab-maktab rendah yang turut menawarkan program elektif bahasa.

Pelajar yang mengikuti MLEP di peringkat menengah turut akan mendapat dua mata bonus sekiranya mereka ingin melanjutkan pelajaran ke maktab rendah yang menawarkan program yang sama.

APA YANG DITAWARKAN MLEP

Di bawah program dua tahun itu, para pelajar akan menyertai pelbagai kegiatan, bertujuan memupuk bakat dwibahasa dan dwibudaya dalam diri mereka. Ini termasuk, program kesusasteraan yang dianjurkan MOE dan pihak sekolah.

Ia antara lain meliputi perkhemahan, program penyerapan ke luar negara seperti Malaysia dan Brunei, sesi berjumpa penulis serta kuliah-kuliah berkaitan dengan kesusasteraan Melayu.

Program tersebut turut akan menawarkan biasiswa kepada para pelajar yang memenuhi kriteria tertentu.

Jumlah biasiswa meliputi yuran sekolah sebanyak $2,400, ditambah dengan elaun $1,000 dan subsisidi penuh bagi program penyerapan.

Semua pelajar yang menyertai MLEP diberi dua pilihan - untuk menduduki peperiksaan subjek sastera sebagai elektif atau subjek sastera penuh di peperiksaan peringkat 'O'.

Dengan program MLEP diperkenalkan di peringkat menengah juga bermakna para pelajar boleh mengikuti dua program elektif bahasa di sekolah.

Ini kerana di samping MLEP, pelajar diberikan peluang untuk mengikuti Program Elektif Bahasa Melayu di Sekolah Menengah (EMAS) yang menawarkan Bahasa Melayu lanjutan.

MLEP DIPERLUAS KE RAFFLES INSTITUTION & MAKTAB RENDAH KEBANGSAAN

Selain di peringkat menengah, MLEP turut diperluaskan ke dua institusi prauniversiti di sini - Raffles Institution dan Maktab Rendah Kebangsaan.

Dengan peluasan ini, ia juga bermakna kini terdapat lima institusi yang menawarkan MLEP di peringkat Maktab Rendah.

Sekolah-sekolah tersebut adalah:


1- Maktab Rendah Jurong Pioneer

2- Maktab Rendah Kebangsaan

3- Institusi Raffles

4- Maktab Rendah Tampines Meridian

5- Maktab Rendah Yishun Innova 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan