Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program disesuaikan dengan budaya penting dalam usaha pemulihan pesalah dadah: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
 Program disesuaikan dengan budaya penting dalam usaha pemulihan pesalah dadah: Dr Faishal

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

SINGAPURA: Program-program yang disesuaikan mengikut budaya berbeza-beza dengan cara yang lebih disasarkan penting dalam usaha mencegah para pesalah dadah daripada kembali melakukan kesalahan.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam pembentangannya di persidangan Persatuan Pembetulan dan Penjara Antarabangsa (ICPA) yang ke-24 di Orlando, Florida, Amerika Syarikat pada 27 Okt lalu.

Persidangan tahunan ICPA itu dihadiri lebih 400 karyawan dan pakar dari merata dunia, mewakili agensi pemerintah dan pembetulan negara serta para akademik dan institusi khidmat sosial.

Tema persidangan tahun ini adalah "Kecemerlangan Menjangkaui Norma Lama: Pembetulan selepas Pandemik Global".

S'PURA BEKERJA RAPAT DENGAN BADAN MELAYU/ISLAM

Berkongsi tentang sistem pemulihan dadah di Singapura, Dr Faishal berkata Singapura juga bekerja rapat dengan pelbagai pertubuhan Melayu/Islam dalam mencegah kesalahan dadah.

Usaha pencegahan peringkat awal yang disesuaikan untuk pesalah Melayu termasuk kempen "Dadah itu Haram'.

"Kempen ini yang bermula pada 2017, sudah menjangkau lebih 100,000 anggota masyarakat Melayu/islam serta pelbagai tempat, termasuk kedai gunting rambut, tempat makan, studio muzik dan bengkel kereta. Kami bernasib baik bahawa semua 71 masjid di Singapura menjayakan kempen ini. Kami juga sudah menganjurkan lebih 140 acara Dadah Itu Haram," kata Dr Faishal.

Selain menyediakan asas agama yang kukuh, sokongan sosial juga diberikan kepada para pesalah.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, salah sebuah pertubuhan itu adalah FITRAH yang ditubuhkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dengan kerjasama MHA dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

"Fitrah membantu untuk mengukuhkan hubungan keluarga dengan mendapatkan dan mengerahkan sukarelawan untuk menyediakan sokongan pendampingan masyarakat kepada pesalah dan keluarga mereka dan mengadakan pelibatan secara tetap dengan keluarga para pesalah," tambah Dr Faishal.

MENGURANGKAN KADAR KEBENTANAN

Memandang ke depan, Dr Faishal menyimpulkan bahawa kejayaan jangka panjang para bekas pesalah adalah tumpuan MHA, SPS dan Reben Kuning Singapura (YRSG) dan pemerintah akan berusaha ke arah mengurangkan kadar kebentanan lima tahun.

Meskipun kadar kebentanan dua tahun kekal rendah pada sekitar 20 peratus, kadar kebentanan lima tahun adalah lebih tinggi pada sekitar 40 peratus.

Menurutnya lagi, mengurangkan kadar kebentanan lima tahun memerlukan ekosistem yang berdaya tahan dan lebih terselaras dan oleh itu Singapura perlu membangunkan sebuah ekosistem yang kuat dan berdaya tahan dalam masyarakat merangkumi majikan, agensi khidmat sosial, sukarelawan dan ramai lagi untuk membantu para bekas pesalah agar tidak lagi melakukan kesalahan dan menjadi rakyat yang menyumbang kepada negara.

PROGRAM SOKONGAN BERTERUSAN

Di persidangan itu, Dr Faishal turut berkongsi dengan para hadirin antarabangsa program-program SPS yang menyediakan sokongan berterusan dan terselaras untuk menangani risiko dan keperluan para pesalah dari tempoh hukuman mereka hingga mereka dibebaskan.

Beliau menyentuh tentang sokongan yang disediakan oleh YRSG dalam membangunkan modal ekonomi para pesalah menerusi latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Di samping itu, Dr Faishal menggariskan usaha-usaha oleh SPS dan YRSG untuk bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat bagi membangunkan dan menyampaikan kedua-dua program sekular dan yang disesuaikan secara budaya untuk mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan