Program Cinta Minda M3@Jalan Besar tingkatkan kesedaran kesihatan fizikal dan mental
SINGAPURA: Minda yang sihat dan ceria boleh menyumbang kepada kesihatan yang baik dan kehidupan yang seimbang.
Demikian menurut Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah di pelancaran program Cinta Minda anjuran M³@Jalan Besar.
Ia antara usaha untuk menggalak kesejahteraan mental dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam menerusi program pendidikan serta kegiatan pendampingan.
LEBIH 200 PENDUDUK TURUN PADANG, IKUR SERTA DALAM SENAMAN AKTIF DAN PEMENTASAN TEATER
Hujan lebat pada pagi Ahad (24 Sep) tidak mematahkan semangat lebih 200 penduduk GRC Jalan Besar untuk memulakan pagi mereka dengan melakukan senaman beramai-ramai.
Sebuah pementasan interaktif berjudul Selangkah Bersama berkaitan kesihatan mental turut diadakan.
Menariknya, para penduduk turut dilibatkan bersama bagi menentukan jalan cerita persembahan itu.
Pementasan teater itu menampilkan tiga jenis sketsa yang mengetengahkan masalah berat yang dihidapi masyarakat, termasuk tekanan di sekolah serta di rumah.
Para penduduk berpeluang mempelajari tentang tips menjaga kebajikan termasuk mengambil berat dan mendengar secara aktif.
Menerusi mesej-mesej yang disampaikan, para penganjur berharap ia akan dapat membantu dan memperkasa masyarakat.
Semua kegiatan di Kelab Masyarakat Kolam Ayer itu antara atur cara program Cinta Minda anjuran M³@Jalan Besar.
Ia adalah sebahagian daripada bidang tumpuan M³ untuk memperkasakan masyarakat Melayu/Islam untuk mengambil berat tentang kesihatan mereka.
Dr Wan Rizal berkata: "Kehadiran dan sokongan mereka mencerminkan bahawa para penduduk inginkan program sebegini di mana mereka boleh melibatkan diri dari segi kesihatan fizikal dan mental."

"Kita perlu lihat kesihatan secara menyeluruh. Kesihatan mental perlu, kesihatan fizikal juga perlu. Harus ada keseimbangan untuk bagaimana kita mahu membuat kegiatan seharian kita," tambah beliau.
PARA PENDUDUK SAMBUT BAIK KEGIATAN MENGENAI KESIHATAN MENTAL DAN FIZIKAL YANG DISEDIAKAN
Para penduduk menyambut baik kegiatan-kegiatan yang disediakan, termasuk saringan kesihatan percuma serta peluang untuk mendapatkan maklumat tentang kesihatan mental yang sedia ada.
"Banyak saya pelajari, ia bagus untuk golongan warga emas. Di astaka-astaka, mereka ada ajar kami mengenai aplikasi 365 serta. Mereka menggalak kita untuk menjaga kesihatan mental, agar warga emas jangan berasa terlalu tertekan," kata Cik Maimunah Ibrahim.

Cik Silvarani D/O Krishnasami pula berkata: "Saya sempat menyaksikan drama mengenai tekanan, bagaimana untuk mengatasinya. Ada cara baik dan tidak baik. Kita digalak untuk melakukan kegiatan yang boleh menjauhkan kita daripada menjadi tertekan."
.jpg)
Program Cinta Minda merupakan sebahagian daripada inisiatif Saham Kesihatan, hasil usahasama antara Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan M³@Bandar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.