Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Bas Sekolah Ramadan kembali diadakan; kanak-kanak pelajari tentang pembayaran Zakat

Anggaran Waktu Membaca:
Program Bas Sekolah Ramadan kembali diadakan; kanak-kanak pelajari tentang pembayaran Zakat

Petikan gambar dari poster MYF.

SINGAPURA: Tema-tema berkaitan dengan bulan Ramadan, seperti pembayaran zakat adalah antara topik baru yang dibincangkan dalam program Bas Sekolah Ramadan kendalian Forum Belia Muslim (MYF).

Diadakan sepanjang hari pada hari ini (16 Apr), program itu yang disertai sekitar 30 kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun, mengajak mereka untuk memahami erti dan manfaat berpuasa serta amalan-amalan baik yang boleh diterapkan semasa bulan Ramadan.

Inisiatif tersebut kembali dianjurkan selepas dua tahun ditiadakan dek pandemik COVID-19.

KONGSI NILAI-NILAI MURNI KEPADA KANAK-KANAK

Sebilangan besar kanak-kanak mungkin mengambil peluang untuk berehat semasa hujung minggu panjang pagi tadi, lebih-lebih lagi mereka yang sedang berpuasa.

Namun bagi sekumpulan sekitar 30 kanak-kanak, mereka memanfaatkan masa yang ada hari ini (16 Apr) untuk menimba ilmu.

Mereka menghadiri 'kelas luar darjah' sepanjang hari untuk menjelajah ke tempat-tempat menarik merata Singapura, menerusi program 'Bas Sekolah Ramadan' anjuran MYF.

Antara program pengayaan yang berlangsung dari 9.00 pagi itu termasuk perkongsian oleh CEO MYF, Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin serta para asatizah lain tentang cara-cara meningkatkan semangat bulan Ramadan serta perlunya untuk menghormati orang tua.

Para peserta juga berpeluang untuk mengunjungi kawasan kampung terakhir di Singapura yang terletak di Lorong Buangkok.

Di sana, kanak-kanak itu mempelajari dan merasakan sendiri pengalaman dan semangat hidup di kampung.

Selain itu, para peserta juga diajak ke Muzium Bukit Chandu untuk menyusuri sejarah perang Dunia Kedua.

Program Bas Sekolah Ramadan tahun ini juga menyertakan satu aspek perkongsian baru - iaitu mengenai pembayaran Zakat.

Meskipun para peserta program itu berusia kurang 12 tahun, pihak MYF ingin mengajar kepada mereka nilai-nilai murni seperti membantu golongan yang memerlukan.

Untuk perkongsian tersebut, MYF bekerjasama dengan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang memperkayakan pengetahuan para peserta bagaimana badan itu membantu dalam proses pembayaran zakat.

Seorang peserta, Abdullah Mohamed Alfian, 9 tahun berkata: "Kita tahu bahawa ada ramai yang memerlukan di Singapura. Saya baru pelajari hari ini bahawa ada banyak cara kita boleh membantu mereka, antaranya untuk menderma duit di peti derma TAA."

Perhentian terakhir kanak-kanak itu adalah di Pusat MYF di mana mereka berbuka puasa dan mengerjakan solat tarawih bersama.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa