Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program baru Pusat Barah Nasional Singapura benarkan pesakit terima rawatan di rumah

Anggaran Waktu Membaca:
Program baru Pusat Barah Nasional Singapura benarkan pesakit terima rawatan di rumah

Cik Tuan Asiah Tuan Mansor bersama dengan suaminya. Gambar: Cik Tuan Asiah Tuan Mansor

SINGAPURA: Cik Tuan Asiah Tuan Mansor menghidap penyakit barah payudara sejak 2017.

Beliau kini perlu memakan ubat-ubatan kemoterapi serta menjalani rawatan terapi hormon yang disuntik setiap bulan.

Cik Tuan Asiah yang berumur 53 tahun harus pergi ke Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) sekali dalam sebulan untuk mendapatkan rawatan.

Suami beliau akan menghantarnya ulang alik dari rumah ke pusat itu. Termasuk tempoh perjalanan dan masa menunggu, setiap rawatan mengambil masa sekitar empat jam.

Namun, apabila Cik Asiah layak mengikuti program jagaan di rumah NCCS pada Oktober lalu, beliau memutuskan untuk mendaftarkan diri dalam program tersebut.

Sejak itu, pasukan daripada penyedia jagaan di rumah pihak ketiga, Jaga-Me, datang ke rumah Cik Asiah di Bukit Panjang setiap bulan untuk memberikan rawatan yang diperlukan. Sesi rawatan itu kini akan mengambil masa hanya 30 minit sahaja.

Pada mulanya, Cik Asiah ragu-ragu dan bimbang sama ada beliau akan mendapatkan rawatan yang sama seperti di NCCS. Namun sekarang, beliau lebih menghargai program tersebut.

Kini, beliau ada lebih banyak masa dan tenaga selepas rawatan di rumah termasuk membuat kerja rumah, kata beliau.

Cik Asiah merupakan salah seorang daripada 329 pesakit di bawah program jagaan rumah setakat Januari tahun ini.

PROGRAM JAGAAN DI RUMAH

Khidmat Jagaan di Rumah NCCS pertama kali dilancarkan dengan satu ubat yang digunakan untuk merawat pesakit barah payudara pada Julai 2020. Menjelang November, program itu memperluaskan senarai ubat yang boleh diberikan di rumah.

Dalam satu tinjauan pada 2021 ke atas 80 pesakit yang berdaftar di bawah program tersebut, hampir kesemua daripada mereka berpuas hati atau sangat berpuas hati dengan khidmat tersebut, menurut NCCS.

Kira-kira 75 peratus daripada mereka lebih selesa menerima rawatan di rumah berbanding di hospital.

Semua pesakit barah layak mendaftar bagi program jagaan di rumah NCCS selagi ubat mereka dapat disuntik di bawah kulit atau ke dalam otot mereka, kata perunding kanan di Bahagian Onkologi Perubatan di NCCS, Elaine Lim.

Doktor yang merawat pesakit barah itu akan membuat penilaian sama ada pesakit layak mendaftar dalam program jagaan di rumah NCCS dan akan menetapkan rawatan tersebut, kata Dr Lim.

Program itu ditaja oleh geran-geran daripada pelbagai pihak, menurut NCCS.

FAEDAH JAGAAN DI RUMAH

Sebelum pandemik COVID-19, program itu dikhususkan untuk warga emas yang tidak dapat banyak bergerak dan memerlukan pertolongan daripada penjaga atau memerlukan aturan khas seperti menggunakan ambulans untuk pergi mendapatkan rawatan, kata Dr Lim. 

Dengan kemajuan ubat-ubatan yang boleh diberikan di bawah kulit atau melalui otot dan bukan infusi intravena (intravenous infusion), ia mempercepatkan permulaan program jagaan di rumah NCCS, kata Dr Lim.

Pesakit yang lebih muda juga memilih untuk mendapatkan jagaan rumah NCCS kerana ingin menghindari diri daripada terkena jangkitan virus COVID-19, tambah beliau.

Antara faedah program tersebut adalah ia memenuhi matlamat MOH untuk mengurangkan kelompok jangkitan di pusat perubatan semasa pandemik, kata Dr Lim.

Dengan jagaan yang lebih mudah diakses, pesakit juga kurang berkemungkinan terlepas rawatan mereka, kata beliau.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan