Skip to main content

Singapura

Program baru guna teknologi mudahkan jagaan gigi bagi warga emas di SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Oct 2022 08:31PM Dikemas Kini : 21 Oct 2022 08:53PM
SINGAPURA: Sebuah program teknologi canggih baru dilancarkan untuk memudahkan jagaan pergigian bagi golongan warga emas.

Dipanggil T-DOCS, khidmat konsultasi doktor melalui alat telekomunikasi yang ditawarkannya bakal memberi tumpuan kepada pengesanan awal masalah gigi.

Program baru itu bertujuan untuk membantu mereka yang mempunyai masalah pergerakan mendapatkan rawatan yang sesuai bagi mengurangkan beban terhadap mereka dan juga para penjaga.

Sebuah kajian yang melibatkan beberapa universiti tempatan mendapati 38 peratus warga emas di Singapura mempunyai kurang daripada 20 gigi asli.

Dengan kadar penduduk yang semakin menua, lebih ramai warga emas dijangka akan mempunyai masalah gigi dalam beberapa tahun akan datang.

Untuk menekankan peri pentingnya jagaan pergigian, kakitangan perubatan terlatih dari Hospital Masyarakat St Andrew's akan menjalankan pemeriksaan gigi di rumah-rumah warga emas itu.

Hasil pemeriksaan dan maklumat perubatan pesakit kemudian akan dimuatnaik ke sebuah sistem elektronik.

Ini bagi membolehkan para doktor gigi dari Pusat Pergigian Nasional Singapura untuk mengakses data tersebut.

Selepas meninjau data itu, doktor gigi kemudian akan menyampaikan penemuan mereka dan mengesyorkan sebarang pelan rawatan susulan jika perlu.

Lawatan rumah akan dijalankan setiap enam bulan.

Selain itu, sebuah perisian kecerdasan buatan (AI) sedang dihasilkan untuk mengesan bahagian gigi yang bermasalah daripada imej yang ditangkap melalui alat teknologi dan memberitahu doktor gigi.

Yayasan Temasek bakal menyalurkan lebih $1 juta bagi program ini.

Terdapat juga rancangan untuk mengembangkannya dengan melibatkan lebih banyak rakan kongsi masyarakat seperti pusat kegiatan serta pusat jagaan siang hari warga emas.

Langkah sedemikian boleh memanfaatkan hampir 600 warga emas.
Sumber : CNA/IA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita