Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program baru bolehkan relawan berkhidmat rentasi 4 badan bantu diri; 80% lebih ramai peserta tuisyen MENDAKI terima anugerah tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 236 pelajar Melayu/Islam diiktiraf dengan Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) pada Sabtu (20 Ogos) atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan peringkat nasional.

Jumlah tersebut sekitar 80 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Secara keseluruhannya, 786 pelajar yang menyertai Program Tuisyen Kolaboratif (CTP) menerusi empat badan bantu diri setempat iaitu Yayasan MENDAKI, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) , Persatuan Serani (EA) dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (SINDA) menerima anugerah masing-masing di majlis tersebut.

Ini bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dan kemajuan para pelajar yang mengikuti program tuisyen oleh badan-badan bantu diri itu.

Majlis yang diadakan secara fizikal buat pertama kalinya selepas dua tahun, di Politeknik Nanyang diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman.

MOHAMMED FAHRI - PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN KATEGORI PSLE

Di samping itu, empat anugerah khas bagi setiap badan bantu diri juga diberikan iaitu pelajar terbaik bagi setiap peringkat - PSLE, GCE peringkat ' N' bagi pelajar Normal Akademik dan Normal Teknikal serta GCE peringkat 'O'.

Dalam kalangan peserta Skim Tuisyen MENDAKI, Mohammed Fahri Mohammed Firman, 13 tahun, terpilih sebagai pelajar terbaik bagi peringkat PSLE di Majlis Anugerah Tuisyen Bersama (JTA).

Bekas pelajar Sekolah Rendah Woodlands itu amat menggemari mata pelajaran Matematik dan Sains.

Baginya, setiap perkara di dunia ini mesti ada penjelasan saintifiknya dan setiap soalan Matematik, pasti ada huraiannya.

Meskipun menggemari subjek-subjek tersebut, dia tidak begitu mahir dan yakin dalam menjawab soalan-soalan semasa ujian.

Misalnya, Fahri seringkali terkial-kial untuk menghabiskan kertas ujian tepat pada waktunya kerana tidak dapat memahami konsep-konsep yang dipelajarinya secara mendalam.


Semasa peperiksaan percubaan tahun lalu, Fahri meraih gred AL3 bagi subjek Matematik.

Mujur bagi Fahri, dia mempunyai peluang untuk mengasah pemahamannya dalam subjek yang digemarinya itu menerusi Skim Tuisyen Mendaki (MTS) yang disertainya sejak Darjah 1 lagi.

Menerusi MTS, Fahri mendapat sokongan tambahan bagi pelajarannya di sekolah sekali gus dapat lebih memahami topik-topik tertentu.

Fahri berkata: "MTS membantu saya dalam apa yang saya tidak tahu dan saya lebih tahu tentang konsep-konsep dan mata pelajaran. Saya lebih fokus dalam kelas yang lebih kecil."

"Guru-guru sering tolong menjawab soalan-soalan yang saya ajukan dan saya lebih berani untuk bertanya di dalam kelas lebih kecil. Saya rasa memang sesuai untuk belajar dalam kumpulan kecil," tambah Fahri.

Dek segala usaha Fahri serta bantuan daripada para pendidik di MTS, Fahri berjaya mendapat gred AL2 bagi kedua-dua subjek Matematik dan Sains.

Fahri turut meraih gred AL1 untuk subjek bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.

Secara keseluruhannya, Fahri meraih 6 mata untuk peperiksaan PSLE.

Fahri berkata: "Saya berasa sangat berbesar hati dan juga gembira mendapat anugerah ini. Ia menunjukkan berkat usaha saya semuanya diiktiraf."

ctp fahri

Anugerah yang diraihnya itu juga menjadi pembakar semangat untuk Fahri mencapai kecemerlangan lebih besar pada masa depan, serta mengejar cita-citanya.

"Anugerah ini adalah dorongan untuk saya melakukan dan berusaha lebih baik dan tidak putus asa untuk apa-apa yang saya ingin capai pada masa hadapan," kata Fahri.

Fahri yang kini menuntut di Institusi Raffles turut berkongsi cita-citanya: "Pada masa hadapan, saya ingin menjadi seorang doktor supaya saya boleh menolong masyarakat sebagaimana para doktor menolong masyarakat semasa pandemik sekarang. Saya rasa ini mendorong saya untuk menjadi seorang doktor pada masa hadapan."

LEBIH 230 PELAJAR SKIM TUISYEN MENDAKI DIIKTIRAF DENGAN ANUGERAH

Hampir S$95,000 dalam bentuk baucar buku diagihkan kepada hampir 800 pelajar yang diiktiraf di majlis anugerah itu.

Pelajar Melayu/Islam dalam Skim Tuisyen Mendaki (MTS) membentuk sekitar 30 peratus daripada keseluruhan pelajar yang menerima anugerah tahunan CTP.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Cik Aidaroyani Adam berkata: "Alhamdulillah prestasi tahun ini sangat memberangsangkan. Syabas kepada mereka. Kami juga melihat beberapa pelajar yang menunjukkan peningkatan tiga atau empat gred dan kami ucapkan syabas kepada mereka."

Tambahnya, MENDAKI akan terus berusaha memberikan sokongan menyeluruh kepada para pelajar.

"MENDAKI akan terus menawarkan program berkualiti dan relevan selain daripada sokongan akademik. Kami juga akan berikan sokongan mentor seperti AmPowered @ MTS, program sesi-sesi dialog di mana MENDAKI memberikan bimbingan dan rangkaian profesional untuk menyiapkan para pelajar bagi pelajaran pos menengah," ujar Cik Aidaroyani.

PROGRAM-PROGRAM BARU BAGI TERUS MENYOKONG PARA PELAJAR

Dalam ucapannya di majlis penyampaian Anugerah Tuisyen Bersama (JTA), Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman mengumumkan bahawa keempat-empat badan bantu diri setempat itu akan melakarkan beberapa inisiatif baru bagi memberi sokongan lebih baik kepada para pelajar.

Dr Maliki berkata: "Badan-badan bantu diri kami akan menganjurkan sesi-sesi dialog yang berteraskan tema-tema Melakar Hala Tuju Singapura. Dialog-dialog ini bertujuan untuk membawa bersama golongan belia daripada latar belakang yang berbeza tetapi dengan semangat dan aspirasi yang sama, untuk memacu perubahan di dalam masyarakat."

Menurut beliau, golongan belia tersebut akan dapat peluang untuk mencipta huraian kepada isu-isu dalam masyarakat, sekali gus "memainkan peranan penting dalam melakar masa depan Singapura."

"Inisiatif kedua yang akan dianjurkan adalah untuk meningkatkan peluang bagi para relawan untuk berinteraksi dan berkhidmat merentasi keempat-empat badan bantu diri. Usaha-usaha ini melengkapi inisiatif keseluruhan masyarakat untuk mengurangkan ketidaksamaan dan untuk mengelakkan golongan kurang kemampuan terus dalam keadaan begitu bagi generasi-generasi akan datang," tambah Dr Maliki.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf usaha Program Tuisyen Kolaboratif (CTP), yang sudah dijalankan keempat-empat badan bantu diri sejak 20 tahun yang lalu.

"Program ini membantu para pelajar berbilang bangsa untuk mendapatkan sokongan akademik di mana-mana pusat tuisyen badan bantu diri pada yuran kadar rendah. Kini, sudah ada 175 pusat tuisyen, berbanding sekitar 11 sahaja sejak ia dimulakan pada 2002," jelas Dr Maliki.

Pusat-pusat tuisyen badan bantu diri setempat itu juga kini boleh menampung lebih 430 pelajar.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan