Program bantu anak bekas pesalah diperluas; 1,000 kanak-kanak akan raih manfaat setiap tahun
SINGAPURA: Lebih ramai anak bekas pesalah akan meraih manfaat daripada peluasan program yang ditawarkan sebuah badan amal bagi mencegah kesilapan silang generasi.
Dana NeuGen yang diperbaharui itu menyasarkan untuk membantu 1,000 kanak-kanak dan keluarga setiap tahun dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding purata 400 setiap tahun sekarang.
Bagi mencapai sasaran itu, badan amal itu meluaskan tumpuan dalam membangunkan daya tahan para penerima bantuan dengan fokus kepada keperluan akademik, emosi dan pertalian.
Ini termasuk bantuan pendidikan seperti tuisyen serta khidmat seperti program mentor dan kaunseling.
Dengan kajian menunjukkan anak bekas pesalah lebih berisiko melakukan kesalahan, Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Khidmat Sosial Desmond Lee berkata usaha daripada seluruh masyarakat diperlukan bagi menghentikan lingkaran musibah silang generasi.
"Bekas pesalah dan keluarga mereka kerap berdepan dengan pelbagai tekanan dan cabaran yang boleh merumitkan satu sama lain dan membebani mereka. Dan tiada satu pertubuhan yang memberikan satu khidmat khusus boleh memenuhi semua cabaran itu secara menyeluruh. Daripada kesukaran mendapat kerja oleh para ibu bapa kepada masalah di sekolah bagi anak-anak serta pelbagai sumber tekanan dari dalam dan luar keluarga itu sendiri," ujar Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.