Program baharu ditawarkan bagi pertingkat kemahiran pemimpin prasekolah
Para pengetua prasekolah kini boleh mendaftar untuk menjalani program bagi menajamkan dan mempertingkatkan kemahiran kepemimpinan mereka dalam bidang-bidang seperti membuat keputusan dan pembangunan kakitangan.
Program 'Leadership Booters' menyasarkan kakitangan yang berpengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai pengetua prasekolah.
Program itu akan ditawarkan mulai Julai.
"Program ini merangkumi Perjalanan Pembelajaran, sesi membina rangkaian dan bimbingan.
"Melalui program ini, pemimpin prasekolah boleh bertemu dan berbincang tentang cabaran-cabaran yang dihadapi di prasekolah, berkongsi pengalaman dan amalan-amalan kepimpinan serta membina sebuah masyarakat yang menyokong satu sama lain supaya dapat berkembang bersama," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua.
Antara pengetua yang akan menghadiri kursus kepimpinan tersebut ialah Cik Angela Khoo, pengetua prasekolah bertemakan seni yang pertama di Singapura.
Bagi beliau yang sudah berkecimpung dalam industri tersebut selama 18 tahun, beliau berazam untuk menyuntik idea segar ke dalam prasekolah melalui program berkenaan.
Antaranya ialah bagaimana menggunakan teknologi untuk menjadikan pelajaran dan pembelajaran lebih menarik.
"Saya percaya persekitaran sering berubah, keperluan masyarakat, keperluan keluarga, semua berubah.
"Saya berharap dengan menghadiri kursus kepimpinan ini, saya boleh mengenal pasti di tahap mana mereka (guru-guru) berada, dan bagaimana kami semua boleh mempertingkatkan diri.
"Saya juga berharap dapat belajar bagaimana saya boleh memperbaiki diri sendiri sebagai seorang pemimpin, dan secara menyeluruh, bagaimana industri ini sedang bergerak, dan apakah pandangan-pandangan baharu yang boleh saya raih," kata Cik Khoo yang merupakan pengetua NAFA Arts Preschool.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.