Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program bagi pertingkat kesedaran warga emas terhadap pneumonia dilancar di Marsiling

Sebuah program baru dilancarkan hari ini (3 Dis) untuk mendampingi dan mempertingkatkan kesedaran golongan warga emas di Marsiling terhadap pneumonia atau penyakit radang paru-paru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah program baru dilancarkan hari ini (3 Dis) untuk mendampingi dan mempertingkatkan kesedaran golongan warga emas di Marsiling terhadap pneumonia atau penyakit radang paru-paru.

Program yang diberi nama 'Smart Wellness Programme@Marsiling' itu dilancarkan oleh Penasihat GRC Marsiling Zaqy Mohamad siang tadi.

Demikian menurut Persatuan Rakyat (PA) dalam kenyataan medianya hari ini.

HANYA 14% WARGA EMAS DIVAKSIN TERHADAP PENYAKIT RADANG PARU-PARU

Tinjauan Kesihatan Penduduk Singapura 2020 mendedahkan bahawa hanya 14 peratus warga emas di sini sudah divaksin bagi mencegah penyakit radang paru-paru.

Sekitar 20 peratus daripada kematian yang dilaporkan di Singapura antara 2017 dengan 2019 pula disebabkan oleh penyakit radang paru-paru dengan sebahagian besar melibatkan warga emas.

(Gambar-gambar: PA)

Pandemik COVID-19 yang sedang melanda turut memburukkan keadaan, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap golongan warga emas.

Menurut Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, sebahagian besar daripada kematian COVID-19 di Singapura melibatkan warga emas yang kebanyakannya menghidap penyakit lain seperti radang paru-paru.

Malah, hal ini menimbulkan keprihatinan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penduduk warga emas seperti di Marsiling.

Sekitar 31.2 peratus penduduk Marsiling adalah warga emas, iaitu lebih tinggi daripada purata nasional, menurut PA.

"Ini sebabnya mengapa pemimpin akar umbi dan relawan kami melihat keperluan untuk mendampingi golongan warga emas bagi membantu mereka untuk menjalani gaya hidup yang sihat dan aktif dan mencegah mereka daripada menghidap penyakit radang paru-paru," kata Encik Zaqy.

RELAWAN WARGA EMAS DILATIH UNTUK DAMPINGI PENDUDUK LAIN

'Smart Wellness Programme@Marsiling' yang akan dijalankan selama setahun itu melibatkan kerjasama antara GRC Marsiling, RSVP Singapore dan Pertubuhan Relawan Warga Emas.

Di bawah program itu, 30 relawan RSVP akan melatih 100 relawan warga emas di kawasan akar umbi tersebut bagaimana untuk mendampingi 1,000 warga emas dan penduduk mudah terjejas di Marsiling pada 2022.

Usaha pendampingan itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan jagaan kesihatan dalam kalangan warga emas dan penjaga mereka, di samping memupuk semangat saling membantu dalam kalangan warga emas bagi menggalak pencegahan serta menggalak mereka supaya bersikap bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri mereka sendiri.

Selain itu, vaksinasi bagi mencegah penyakit radang paru-paru akan ditawarkan secara percuma kepada penduduk warga emas daripada Generasi Merdeka dan Generasi Perintis di Marsiling yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Khidmat itu akan ditawarkan melalui sebuah klinik bergerak yang akan berkunjung ke Marsiling untuk menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan.

"Ini merupakan sebuah program yang sangat baik terutama sekali bagi Marsiling kerana kami mempunyai purata tinggi penduduk warga emas. Kami ingin membawa khidmat jagaan kesihatan ke pintu rumah mereka, segelintir daripada mereka tidak boleh berjalan jauh. Ini diharap akan memupuk semangat saling membantu dalam kalangan warga emas kita

"Walaupun kita terus menumpukan perhatian kepada COVID-19, kita tidak boleh mengabaikan aspek-aspek kesihatan yang lain. Maka itu, penting untuk melibatkan keluarga-keluarga di sini supaya mereka juga dapat sama-sama menggalak warga emas di sekeliling mereka dilindungi daripada penyakit radang paru-paru," kata Encik Zaqy.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa