Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program bacaan berstruktur, MTL SOAR diperkenal di sekolah rendah mulai 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Program bacaan berstruktur, MTL SOAR diperkenal di sekolah rendah mulai 2025

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

SINGAPURA: Satu program bacaan berstruktur baharu akan mula dilaksanakan di sekolah rendah tahun depan (2025) bagi memupuk tabiat membaca yang positif dari usia muda lagi.

Di bawah Program MTL SOAR atau Terbang Tinggi Bersayapkan Buku itu, murid-murid darjah 1 dan 2 akan meluangkan 30 minit daripada waktu kurikulum bahasa Ibunda mereka untuk membaca atau melakukan kegiatan perpustakaan.

Program MTL SOAR akan diperluas secara progresif kepada semua pelajar sekolah rendah menjelang 2029.

Gambar: Facebook/Chan Chun Sing

Ia diumumkan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam Simposium Bahasa Ibunda ke-13 pada Sabtu (14 Sep).

"Kami berharap untuk menanamkan dalam pelajar cinta untuk membaca dalam Bahasa Ibunda untuk mencetus minat, membuka minda, menghargai akar budaya dan membesar sebagai pembaca dwibahasa," ucap Encik Chan.

"Program itu juga akan disesuaikan kepada pelbagai jenis pelajar yang berbeza. Mereka yang lebih cakap dalam kemahiran Bahasa Ibunda boleh membaca lebih banyak buku yang lebih kaya dengan inti dan didorong dalam pembelajaran mereka manakala mereka yang memerlukan lebih banyak sokongan akan disediakan buku yang lebih mudah diakses untuk mereka," tambah beliau.

SELARASKAN BAHAN BACAAN DENGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU



Bagi program ini, guru-guru akan menggunakan bahan bacaan yang bersesuaian mengikut usia pelajar dan kurikulum Bahasa Ibunda Sekolah Rendah 2024.

"Kami selaraskan dengan kurikulum bahasa Melayu sekolah rendah yang baharu dan dengan ini, para pelajar akan mudah membaca dan dapat mengikutinya kerana ia selaras dengan kurikulum yang standard. Kami juga menyediakan para pelajar dengan pasport membaca di mana mereka boleh menggunakan pasport ini sebagai satu permainan untuk melengkapkan buku-buku yang mereka sudah baca," kongsi Timbalan Pengarah, Jabatan Bahasa Ibunda di MOE, Salbiah Abas.



"Guru-guru juga kami sokong dengan mengadakan panduan guru di mana kami menyertakan bahan-bahan untuk mengajar dan juga contoh rancangan pengajaran yang boleh mereka gunakan atau ubah suai mengikut kesesuaian pelajar mereka. Kami juga menyediakan panduan untuk murid-murid untuk mereka ikuti sebelum membaca, serta panduan untuk ibu bapa mereka," tambah beliau.

Beberapa bahan itu juga akan disediakan dengan kerjasama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Ibu bapa juga akan disertakan dan terlibat untuk menggalak anak mereka membaca di rumah dan membawa mereka ke perpustakaan untuk sertai lebih banyak kegiatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan