Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program aLIVE di semua masjid akan dikendalikan secara terpusat di bawah ILHAM menjelang 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Program aLIVE di semua masjid akan dikendalikan secara terpusat di bawah ILHAM menjelang 2024

(Gambar: MUIS ILHAM)

SINGAPURA: Menjelang 2024, kesemua 37 masjid yang mengendalikan program pendidikan Islam aLIVE akan dikendalikan secara terpusat di bawah Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Pelajar (ILHAM).

Ini dilakukan bagi memastikan piawai pendidikan Islam yang tinggi bagi pelajar dan para ibu bapa tidak kira di mana saja masjid mereka menghantar anak mereka untuk belajar.

Buat masa ini, ILHAM mengendalikan pendidikan madrasah di 15 masjid.

Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen mengumumkan demikian di upacara Anugerah Asatizah ILHAM dan tamat pengajian aLIVE di RELC International Hotel pada 3 Dis.

Dalam ucapannya di upacara itu, beliau menekankan pentingnya latihan asatizah dan pemerhatian bilik darjah dalam menyampaikan pendidikan Islam.

"MUIS memandang serius latihan asatizah dan memastikan bahawa asatizah kami dilatih secara profesional dan mempunyai sijil ARS. Asatizah aLIVE dihantar secara berterusan bagi latihan kandungan dan berasaskan kemahiran. Mereka mesti melalui latihan selama 24 jam dalam setahun untuk memastikan mereka dilengkapi untuk menyampaikan pendidikan Islam sepenuhnya bagi manfaat anak-anak kita", kata Encik Kadir.

Tahun ini, Anugerah Asatizah ILHAM diberikan kepada 20 asatizah yang mengajar program aLIVE.

Anugerah itu mengiktiraf asatizah yang cemerlang dalam penyampaian di kelas dan memainkan peranan mereka dengan berkesan.

Selain menyampaikan pendidikan Islam kepada para belia mereka juga dinilai amat menyerlah dalam kebolehan seperti melibatkan pelajar dan teknik penyampaian.

Di majlis yang sama, seramai 300 pelajar yang selesai program aLIVE juga diraikan.

Kesemuanya hampir 10,000 pelajar mengikut program aLIVE tahun ini.

Encik Kadir menyeru para ibu bapa agar terus menyokong dan menyediakan anak-anak mereka dengan akses kepada pendidikan Islam sepanjang hayat.

"Saya sarankan para graduan kami untuk terus belajar menerusi program Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL). Ia dibangunkan oleh MUIS untuk memastikan orang dewasa boleh meneruskan pembelajaran Islam mereka dan menerima pendidikan Islam yang memenuhi keperluan berbeza-beza," ujarnya.

Seramai 12 pelajar juga menerima Anugerah Pelajar Terbaik.

Mereka termasuk Raudah Fatin Mohammad Faizal yang menunjukkan sikap ingin tahu yang mendalam dan berkongsi pengetahuan beliau dengan rakan-rakan sebayanya, sepanjang 14 tahun beliau mengikuti program madrasah di masjid.
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan