Program aLIVE, ADIL perlu diperkukuh, cerminkan mutu pendidikan Islam masa kini: Zaqy
Program pendidikan Islam aLIVE dan ADIL perlu terus diperkukuh, termasuk dari aspek penjenamaan, bagi mencerminkan mutu dan nilai pendidikan Islam yang ditawarkan masa kini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad. (Gambar: MUIS)
- Zaqy Mohamad urged MUIS and ILHAM to review the strengthening and rebranding of aLIVE and ADIL, as advances in the curriculum and teaching have made the term âpart-time madrasahâ less reflective of the programmesâ quality.
- At the Youth aLIVE convocation on Nov 21 at SUTD, 611 young people graduated. The Islamic education pathway, which serves more than 20,000 students a year, aims to build faith and character and give parents confidence.
- Zaqy advised graduates to continue learning from trusted teachers and hold on to Islamic values as they face the challenges of adulthood, while Aiman and Shakel shared the benefits of learning and their efforts to balance commitments.
- The ceremony recognised 23 outstanding students and 15 groups that served those in need; Aiman also wants to make mosque activities more appealing to young people.
- Zaqy Mohamad meminta MUIS dan ILHAM meneliti pengukuhan serta penjenamaan aLIVE dan ADIL, kerana kemajuan kurikulum dan pengajaran menjadikan istilah âmadrasah sambilanâ kurang mencerminkan mutu program.
- Di konvokesyen Youth aLIVE pada 21 November di SUTD, 611 belia menamatkan pengajian; laluan pendidikan Islam yang merangkumi lebih 20,000 pelajar setahun bertujuan membina iman, akhlak dan keyakinan ibu bapa.
- Zaqy menasihati graduan agar terus menuntut ilmu melalui guru dipercayai dan berpegang pada nilai Islam ketika menghadapi cabaran dewasa, sementara Aiman dan Shakel berkongsi manfaat pembelajaran serta usaha mengimbangi komitmen.
- Majlis mengiktiraf 23 pelajar cemerlang dan 15 kumpulan yang berkhidmat kepada golongan memerlukan; Aiman turut mahu menjadikan kegiatan masjid lebih menarik kepada belia.
SINGAPURA: Program pendidikan Islam aLIVE dan ADIL perlu terus diperkukuh, termasuk dari segi penjenamaan agar lebih mencerminkan mutu pendidikan Islam yang ditawarkan masa kini.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata beliau sudah meminta Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan ILHAM untuk meneliti langkah-langkah ke arah itu.
Menurut beliau, sudah tiba masanya masyarakat beralih daripada penggunaan istilah 'madrasah sambilan' apabila merujuk kepada program pendidikan Islam sedemikian.
Ini mengambil kira kemajuan yang dicapai dalam aspek kurikulum dan kaedah pengajaran program aLIVE sepanjang beberapa tahun lalu.
"Program aLIVE bukan sekadar untuk mempelajari agama secara sambilan. Ia bertujuan membantu golongan muda membina asas agama yang kukuh, membentuk akhlak mulia serta mengamalkan ajaran Islam dengan yakin sebagai warga Singapura dan warga dunia," kata Encik Zaqy.
Usaha memperkukuh program-program tersebut juga bertujuan meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap laluan pendidikan Islam yang tersedia, selain memupuk rasa bangga dalam kalangan golongan muda terhadap pendidikan agama yang diterima.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis konvokesyen Youth aLIVE pada Sabtu (21 Nov).
PERKUKUH LALUAN PENDIDIKAN ISLAM
Encik Zaqy turut menarik perhatian bahawa pelbagai laluan pendidikan Islam di Singapura kini menjangkau lebih 20,000 pelajar setiap tahun, namun beliau mahu usaha tersebut terus dipertingkat.
Meskipun enam madrasah sepenuh masa di Singapura memainkan peranan tersendiri dalam melahirkan golongan ilmuwan, pendidik dan pemimpin agama, Encik Zaqy menekankan pentingnya memastikan setiap kanak-kanak Islam, termasuk mereka yang mengikuti pendidikan di sekolah-sekolah nasional, mempunyai asas agama yang kukuh.
Di sinilah program seperti aLIVE dan ADIL serta pusat-pusat pendidikan Islam memainkan peranan penting.
"Kita mahu ibu bapa yakin dengan laluan pendidikan ini. Kita juga mahu golongan muda berbangga dengan pendidikan Islam yang mereka terima. Laluan pendidikan mungkin berbeza, tetapi aspirasi kita tetap sama.
"Sama ada melalui program aLIVE, program ADIL, Pusat Pendidikan Islam ataupun madrasah, kita mahu setiap anak Muslim diberi peluang untuk memperdalam keimanan, mengembangkan potensi diri dan membentuk peribadi yang berakhlak mulia," kata Encik Zaqy.
611 BELIA TAMATKAN PENGAJIAN YOUTH aLIVE
Seramai 611 belia menamatkan pengajian agama menerusi program Youth aLIVE tahun ini, dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung di Auditorium Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Majlis yang dihadiri sekitar 1,895 tetamu itu turut mengiktiraf pencapaian para pelajar dalam pembelajaran Islam, pembangunan sahsiah, kepimpinan dan khidmat masyarakat.
Dalam ucapannya, Encik Zaqy turut mengingatkan para graduan supaya terus mendalami ilmu agama dalam mengharungi pelbagai persoalan dan cabaran apabila melangkah ke alam dewasa.
Meskipun jawapan kepada sesetengah persoalan mudah diperoleh di wadah online, beliau mengingatkan bahawa tidak semua maklumat yang diperoleh itu tepat.
Justeru, golongan belia digalak mendapatkan bimbingan daripada guru dan asatizah yang dipercayai.
Mereka juga boleh meneruskan pendidikan Islam menerusi program seperti ADIL.
Encik Zaqy turut menyeru para graduan agar terus berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam dan menjadikan ilmu serta amalan baik sebagai panduan dalam kehidupan.
"Jadilah generasi yang teguh imannya, luas ilmunya, dan mulia akhlaknya. Ke mana pun anda pergi, apa pun cita-cita yang ingin dicapai, jangan lupa nilai-nilai yang telah membentuk diri anda.Jadikan ilmu sebagai penyuluh hidup. Dan jadikan kebaikan yang anda lakukan sebagai cahaya yang menerangi kehidupan orang lain," kata Encik Zaqy.
MAHU UBAH TANGGAPAN BELIA TERHADAP KEGIATAN MASJID
Seramai 23 pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik dengan dua daripada mereka dinobatkan sebagai valedictorian.
Antaranya ialah Aiman Shafiy Mohamed Amin, 18 tahun, dari Pusat aLIVE Masjid Assyafaah.
Baginya pendidikan agama bukan penghalang untuk golongan muda menikmati kehidupan dan membina persahabatan.
Sebagai Naib Presiden Kumpulan Belia Masjid Assyafaah, beliau mahu mengubah tanggapan bahawa kegiatan masjid hanya tertumpu kepada aktiviti keagamaan yang mungkin dianggap membosankan oleh sesetengah remaja.
âKami ingin membuktikan bahawa program kumpulan belia di masjid boleh menjadi menyeronokkan, sambil mengajar lebih banyak tentang Islam dan memberi manfaat bersama,â jelasnya.
Aiman percaya bahawa generasi muda perlu terus memperbaiki diri dan melengkapkan diri dengan ilmu untuk menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan.
"Bagi saya, rakan-rakan terbaik saya adalah pendorong terbesar saya bagi lebih mendalami ilmu Islam. Saya bersama rakan-rakan saya memegang kepada pendapat bahawa setiap generasi harus menjadi lebih baik daripada generasi yang sebelumnya.
"Kami melihat diri kami sebagai bakal pemimpin masyarakat pada masa hadapan. Sebagai bakal khalifah bagi masyarakat. Oleh itu, kami menitikberatkan untuk terus mencari ilmu dan memperbaiki diri kami semasa kami membesar," kata Aiman.
Namun, mengimbangi pelajaran peringkat 'A' dengan komitmen di masjid bukan sesuatu yang mudah.
Beliau perlu bijak mengutamakan tanggungjawab mengikut keadaan, terutama menjelang peperiksaan.
"Sejujurnya ia tidak mudah untuk membahagikan masa antara tuntutan pelajaran dengan penglibatan aktif di dalam masjid. Oleh itu, saya harus belajar mengutamakan apa yang lebih penting pada minggu tersebut," kata Aiman.
ILMU YANG MEMBINA KEYAKINAN DIRI
Bagi Mohd Shakel @ Aung Htet Thu Lin, 18 tahun, dari Pusat aLIVE Masjid Al-Khair yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik, perjalanan bersama aLIVE turut membentuk keyakinan dirinya.
Dilahirkan di Myanmar sebelum berpindah ke Singapura ketika berusia tiga tahun, Shakel kini menganggap Singapura sebagai rumahnya.
Antara pengalaman pembelajaran yang paling diingatinya ialah sesi perbahasan dalam kelas Teens aLIVE.
Aktiviti itu memberinya peluang untuk bertukar pandangan, berfikir secara kreatif dan memahami sesuatu isu daripada pelbagai perspektif.
Beliau juga menghargai pendekatan pembelajaran yang interaktif, termasuk permainan dan aktiviti berkumpulan.
Walaupun sibuk dengan tugasan di maktab rendah, Shakel tetap berusaha menghadiri kelas aLIVE, malah kadangkala menyiapkan kerja sekolah ketika waktu rehat.
"Bagi saya penting untuk mengimbangi pelajaran dan akademik dan pendidikan agama. Walaupun sibuk dengan tugasan sekolah, saya tetap berusaha untuk menghadiri kelas madrasah kerana ia membantu saya untuk memperkukuhkan iman saya dan mengekalkan hubungan dengan agama Islam.
"Usaha yang kita lakukan sejak muda dapat membina asas iman yang kukuh apabila kita dewasa nanti. Semakin meningkat usia, semakin banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul," kata Shakel.
IKTIRAF PELAJAR DALAM KHIDMAT MASYARAKAT
Selain meraikan pencapaian dalam pendidikan Islam, majlis itu turut mengiktiraf sumbangan para pelajar kepada masyarakat menerusi inisiatif aLIVE Service Learning bertemakan CARE-nival: Compass of Kindness.
Sebanyak 15 kumpulan pelajar menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada golongan yang memerlukan, termasuk individu dengan keperluan pembelajaran tambahan serta para penjaga mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.