Program 5 tahun tingkat khidmat bas berjumlah S$1.1 bilion selesai dijalankan
Projek besar-besaran untuk meningkatkan mutu khidmat bas awam selesai hari ini (9 Dis) selepas lima tahun dijalankan.
SINGAPURA: Projek besar-besaran untuk meningkatkan mutu khidmat bas awam selesai hari ini (9 Dis) selepas lima tahun dijalankan.
Program Peningkatan Perkhidmatan Bas (BSEP) kendalian Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bernilai S$1.1 bilion, dilancarkan pada September 2012 bagi menampung lebih ramai penumpang dan meningkatkan mutu khidmat bagi para penumpang.
Sejak itu, sekitar 70 peratus atau 218 perkhidmatan bas mampu menampung lebih banyak penumpang melalui bas dua tingkat dan menambah jumlah bas bagi penumpang.
LTA menyatakan ini membolehkan penumpang menikmati perjalanan yang lebih selesa, memandangkan keadaan bas yang sesak dapat dikurangkan dengan banyaknya, terutama sekali pada waktu sibuk.
Masa menunggu juga telah dikurangkan pada waktu sibuk, dari 30 minit kepada 20 minit, dan seterusnya dikurangkan lagi menjadi 15 minit di bawah model bas kontrak.
Sempena menandakan selesainya program ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min secara rasminya melancarkan perkhidmatan bas baru nombor 71. Mereka juga menaiki bas ke-1000 yang ditambah di bawah program tersebut.
Bas nombor 71 itu melewati kawasan bandar, Yio Chu Kang dan Bishan Street 11. Ia antara 80 perkhidmatan bas baru yang dilancarkan di bawah BSEP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.