Skip to main content

Singapura

Program 5 hari Masyarakat Gemilang sumbang S$150,000 kepada Cabaran Presiden 2024

Anggaran Waktu Membaca:
 Program 5 hari Masyarakat Gemilang sumbang S$150,000 kepada Cabaran Presiden 2024

(Gambar: RLAF)

Diterbitkan : 15 Nov 2024 09:37PM Dikemas Kini : 15 Nov 2024 09:38PM
SINGAPURA: Program Masyarakat Gemilang (COSP) selama lima hari melabuhkan tirainya pada Rabu (13 Nov), dengan cek bernilai S$150,000 diserahkan kepada Cabaran Presiden 2024.

Cek itu diserahkan kepada Encik Jack Lim, pengarah kumpulan Philanthropy Group semasa jamuan malam Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan disaksikan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Demikian menurut Yayasan Rahmatan lil Alamin (RLAF) menerusi catatan Facebooknya hari ini (15 Nov).
(Gambar: RLAF)
RLAF merupakan penganjur COSP, di bawah naungan Program Kerjasama Singapura (SCP) Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan disokong oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Program selama lima hari dari 9 hingga 13 Nov itu disertai 24 delegasi antarabangsa, termasuk pegawai pemerintah, masyarakat dan pemimpin agama dari Sepanyol, Papua New Guinea, Kemboja, Thailand dan Filipina.

Menerusi COSP yang dianjurkan buat kali kedua tahun ini, delegasi antarabangsa itu dapat memahami pendekatan Singapura dalam memupuk masyarakat Muslim yang berkembang maju dalam masyarakat yang rencam.
(Gambar: RLAF)
Para peserta melawat pelbagai badan masyarakat dan keagamaan. Rakan kongsi M³, pertubuhan masyarakat dan agensi-agensi nasional juga berkongsi tentang pengalaman Singapura dalam membina sebuah Masyarakat Gemilang serta memupuk perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

"Saya berbesar hati para peserta meraih manfaat daripada siri lawatan ini dan dapat mempelajari bagaimana Singapura menangani isu-isu seperti perpaduan dan peningkatan sosial, kepimpinan serta pembinaan keupayaan untuk membina sebuah masyarakat yang berdaya tahan. Melalui COSP, kami dapat berkongsi tentang amalan dan idea terbaik dengan negara-negara lain yang mempunyai penduduk Islam minoriti dan bagaimana kita dapat meningkatkan kemaslahatan masyarakat bersama.

"Saya berharap para peserta telah meraih manfaat daripada pelbagai perkongsian, persahabatan yang terjalin dapat dikekalkan dan mencetus perubahan bermakna di negara masing-masing," menurut Encik Masagos menerusi catatan Facebook beliau.
(Gambar: MUIS)
Salah seorang peserta dari Kemboja, Sman Norany berkongsi: "Peluang ini membolehkan saya berjumpa dengan para pemimpin agama, pendidik, pasukan pemimpin dan asatizah berpengalaman untuk saling bertukar-tukar idea.

"Saya meraih pengetahuan bernilai daripada mereka yang berucap, penganjur, pembimbing, rakan peserta, kawan-kawan dan sukarelawan, sekali gus meninggalkan sesi ini dengan rasa bersemangat dan bertenaga."

Cik Sman Norany juga "sangat menggalakkan" semua orang untuk menyertai COSP kerana ia berkongsi amalan-amalan bermakna untuk menjadi Muslim yang lebih baik dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk melakukan perubahan positif untuk seluruh negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita