Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Profesor NUS dipecat selepas 'berkelakuan tidak wajar dan tidak profesional' terhadap seorang pelajar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang ahli fakulti di Universiti Nasional Singapura (NUS) dipecat selepas “berkelakuan tidak wajar dan tidak profesional” terhadap seorang pelajar, kata universiti itu pada Khamis (28 Apr).

Beberapa laporan mengenal pasti ahli fakulti berkenaan sebagai bekas profesor madya Ethan Putterman, di jabatan sains politik universiti itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang identiti Encik Putterman dan dakwaan salah laku, seorang jurucakap Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (FASS) NUS berkata ia menerima aduan berhubung dakwaan salah laku oleh seorang anggota fakulti terhadap seorang pelajar.

NUS tidak mengesahkan identiti Encik Putterman atau memberikan butiran tentang dakwaan salah laku berkenaan.

Apabila menerima aduan itu, NUS mengeluarkan arahan jangan berhubung kepada kakitangan berkenaan, melarang sebarang interaksi dengan pelajar tersebut, kata jurucakap itu.

"Kakitangan terbabit juga digantung kerja sementara siasatan dijalankan."

Sebuah jawatankuasa siasatan mendapati tindakan kakitangan itu "satu tingkah laku yang tidak sesuai dan tidak profesional terhadap pelajar", dan melanggar tata susila kakitangan NUS, kata jurucakap itu.

Berdasarkan penemuan itu, dan "memandangkan sifat salah laku yang serius" kontrak kerja kakitangan itu dengan NUS ditamatkan, tambah jurucakap tersebut.

Laporan polis juga telah dibuat dan siasatan polis sedang dijalankan, kata jurucakap NUS FASS.

“Semua kakitangan harus mematuhi kod tata laku kakitangan NUS dan mengekalkan mutu tingkah laku peribadi dan profesional yang tinggi. Kakitangan yang melanggar kod tata laku itu akan menghadapi sekatan disiplin yang mungkin termasuk dipecat jika ia melibatkan pelanggaran serius.”

Pada 2020, dua profesor NUS - Dr Jeremy Fernando dan Profesor Theodore G Hopf - dipecat selepas dijalankan siasatan dalaman berikutan dakwaan berkelakuan tidak wajar dan salah laku seksual.

Dr Fernando, seorang profesor di Kolej Tembusu, mempunyai "hubungan intim" dengan seorang mahasiswa dan diberhentikan pada Oktober 2020. Prof Hopf, yang juga sebahagian daripada jabatan sains politik, dipecat pada Disember 2020 selepas siasatan mendapati dia terlibat dalam gangguan seksual terhadap seorang pelajar dalam bentuk fizikal, lisan dan bertulis.

Kakitangan ketiga, Profesor Zheng Yongnian, dari Institut Asia Timur universiti itu, meninggalkan universiti tersebut sebelum siasatan selesai. NUS kemudian mendapati dia telah bertindak secara tidak wajar dalam keadaan profesional dengan memeluk rakan sekerja tanpa persetujuannya.

Seorang lagi pekerja penyelidik di NUS dipecat selepas dua pelajar melaporkan mereka diganggu secara seksual oleh kakitangan itu. Laporan itu dibuat pada 25 Mac 2021 dan siasatan berakhir pada 7 Apr 2021.

Kakitangan itu mengaku menyentuh lutut pelajar dan membuat kenyataan yang tidak wajar, kata universiti itu dalam laporan pada Ogos 2021 mengenai aduan salah laku seksual yang tersedia di laman web universiti berkenaan.

Sumber : CNA/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan