Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Profesor madya di NTU dipenjara dan dilarang memandu kerana bertembung dengan penunggang motosikal ketika membelok ke kanan

 Seorang profesor madya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) memandu dengan kurang berhati-hati menyebabkannya terlanggar seorang penunggang motosikal, ketika membelok ke kanan. Penunggang itu mengalami patah tulang pada beberapa bahagian tubuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Profesor madya di NTU dipenjara dan dilarang memandu kerana bertembung dengan penunggang motosikal ketika membelok ke kanan

Profesor madya Lau Kim Teen. (Gambar: NTU)

Diterbitkan : 25 Sep 2020 11:00PM Dikemas Kini : 25 Sep 2020 11:04PM

SINGAPURA: Seorang profesor madya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) memandu dengan kurang berhati-hati menyebabkannya terlanggar seorang penunggang motosikal, ketika membelok ke kanan. Penunggang itu mengalami patah tulang pada beberapa bahagian tubuhnya.

Bagi satu tuduhan melakukan tindakan cuai yang menyebabkan kecederaan teruk, Lau Kim Teen yang berusia 61 tahun dipenjara selama lima hari dan dilarang memandu selama dua tahun pada Khamis (24 Sep).

Mahkamah diberitahu bahawa Lau, seorang warga Malaysia dan penduduk tetap Singapura, telah pergi ke sebuah restoran dekat Pioneer Road untuk makan malam pada 30 Disember 2018. 

Dia turut minum bir dan meninggalkan tempat itu sekitar pukul 8.45 malam, memandu di Jurong West Street 93. Di persimpangan T antara Jurong West Street 93 dan 92, dia berniat untuk membelok ke kanan.

Mangsa, penunggang motosikal berusia 24 tahun, sedang menghampiri persimpangan T dari arah yang bertentangan, dan terus ke depan setelah melihat lampu isyarat hijau memihak kepadanya.

Lau tidak memerhatikan dengan betul dan sebaliknya membelok ke kanan lantas, gagal memberi laluan kepada motosikal mangsa, yang mempunyai hak jalan.

Mangsa cuba membelok tetapi terjatuh dalam perlanggaran itu dan pengsan sebentar. Seorang pejalan kaki menghubungi polis dan Lau menunggu polis dan ambulans tiba.

Seorang pegawai polis mendapati nafas Lau berbau alkohol dan melakukan ujian pernafasan. Hasilnya menunjukkan "amaran", dan Lau ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk ujian lain. Polis mendapati terdapat 15 mikrogram alkohol dalam 100 ml nafasnya. Ia berada di bawah had 35 mikrogram setiap 100 ml.

Mangsa dibawa ke hospital dengan tangan dan kakinya patah dan perlu menjalani pembedahan. Beliau masih mengalami masalah pergerakan di pergelangan tangan dan ibu jari akibat kejadian itu, dan masih menjalani rawatan fisioterapi sementara menunggu pembedahan membuang implan di tangan dan kaki kanannya.

Lau disenaraikan di laman web NTU sebagai profesor madya di Pusat Pendidikan Profesional dan Berterusan, mengajar kursus dalam bidang elektronik dan reka bentuk litar bersepadu di Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

NTU memberitahu Mediacorp dalam satu kenyataan bahawa Lau sedang menjalani prosiding disiplin, sambil menambah bahawa universiti itu "menetapkan semua anggota kakitangannya mematuhi piawai etika tertinggi dan mematuhi undang-undang pada setiap masa".

Bagi kesalahan menyebabkan cedera parah akibat perbuatan cuai, Lau boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda hingga S$5,000, atau kedua-duanya. Dia juga boleh dilarang memandu seumur hidup.

Sumber : CNA/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan