Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Profesor di universiti SG terima penggunaan ChatGPT; bantu pelajar tanya soalan lebih baik, tingkat pemikiran kritis

Anggaran Waktu Membaca:
Profesor di universiti SG terima penggunaan ChatGPT; bantu pelajar tanya soalan lebih baik, tingkat pemikiran kritis

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 07 Feb 2023 10:57PM Dikemas Kini : 08 Feb 2023 12:10AM

SINGAPURA: Aplikasi kecerdasan buatan (AI) ChatGPT dibenarkan digunakan di dalam bilik darjah Encik Jonathan Sim, seorang pensyarah di Jabatan Falsafah Universiti Nasional Singapura (NUS).

Bahkan, tidak lama lagi, anak muridnya akan diajar bagaimana untuk menghasilkan laporan menggunakan ChatGPT dan kemudian diminta memberi markah dan menilai kandungannya.

"Ini akan membantu mereka memahami ciri-ciri penulisan akademik yang baik dan lemah," kata Encik Sim.

"Mereka akan menggunakan daya kritis mereka untuk memperbaiki apa yang dihasilkan AI itu."

Encik Sim merupakan antara profesor di universiti Singapura yang sudah mula memikirkan cara untuk menggunakan aplikasi itu supaya dapat membantu pekerjaan mereka, dan tidak sekadar melihatnya sebagai satu ancaman.

TANYA SOALAN LEBIH BAIK GUNA CHATGPT

Sejak dilancarkan, ramai pengkritik di seluruh dunia telah menimbulkan kebimbangan tentang bahaya ChatGPT, sebuah bot sembang yang boleh menjana teks seperti manusia berdasarkan gesaan pengguna.

Di Singapura, beberapa Anggota Parlimen telah menyatakan kebimbangan mereka bahawa bot itu boleh disalahgunakan oleh pelajar yang mungkin menggunakannya untuk menipu.

Sebahagian besar profesor universiti yang dihubungi Mediacorp bersetuju bahawa walaupun mereka juga bimbang ChatGPT digunakan oleh pelajar untuk membuat kerja rumah, mereka juga melihat aplikasi itu sebagai satu alat pembelajaran.

Profesor Madya Brian Lee, ketua program komunikasi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata penggunaan ChatGPT dapat membantu pensyarah mendapatkan rujukan dan membuat bahan pengajaran dengan lebih berkesan dan menjimatkan masa.

Beliau menjangkakan pelajar juga melakukan perkara yang sama, iaitu menggunakan ChatGPT untuk melakukan penyelidikan, tetapi ia tidak semestinya merupakan perkara yang salah. Ia bermakna guru boleh memberi tumpuan kepada membantu pelajar memproses dan menganalisis maklumat.

Encik Sim dari NUS juga bersetuju. Beliau berkata tenaga pengajar yang menggalakkan pelajar mereka untuk belajar menggunakan ChatGPT mendapati pelajar mereka mengemukakan soalan apabila mereka keliru dengan jawapan yang diberikan aplikasi itu.

Ia menunjukkan bahawa pelajar mengajukan lebih banyak soalan asas yang mungkin mereka malu untuk bertanya secara bersemuka di dalam kelas. Seterusnya, mereka akan meminta guru bagi bantuan lanjut, katanya.

KETERBATASAN CHATGPT

Bagaimanapun, tidak semua tenaga pengajar yang kagum dengan kebolehan ChatGPT.

Profesor Madya Barri Sherwood dari program bahasa Inggeris Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata ChatGPT dalam kesusasteraan tidak mempunyai "fungsi praktikal langsung".

Namun, beliau berkata ChatGPT mungkin berguna bagi pelajar jika mereka menggunakannya untuk membuat perbandingan antara penulisan yang dihasilkan manusia dengan penulisan dihasilkan aplikasi, memilih elemen yang menjadikan satu teks menarik. Ia merupakan kajian yang dilakukannya buat Mediacorp.

MENGALAKKAN KETELUSAN

Kebolehan ChatGPT untuk menghasilkan kandungan bebas penipuan bermakna para profesor harus mencari cara lain untuk mengelakkan penipuan daripada berlaku.

Profesor Madya Lee berkata strategi buat masa ini adalah untuk membuat penilaian yang panjang lebar dan memerlukan analisis.

Beliau menambah bahawa kebanyakan universiti sedang meneroka penggunaan alat pengesan penipuan dan alat pengesan AI untuk mengesan laporan pelajar yang dihasilkan dengan menggunakan ChatGPT.

Sementara itu, Encik Sim dari NUS berkata beliau tidak bimbang pelajarnya akan menggunakan aplikasi itu untuk menipu.

Sebaliknya, beliau berkata soalan penting yang patut diberi tumpuan adalah sebab pelajar itu menipu.

Encik Sim berkata cara terbaik ialah untuk menggalakkan keterbukaan dan ketelusan dalam penggunaan alat tersebut.

Satu lagi kemungkinan adalah untuk membenarkan pelajar memetik bahagian yang dihasilkan ChatGPT untuk tugasan mereka dan sertakan transkrip itu dalam lampiran laporan, kata Encik Sim.

Ia akan membantu pendidik mempelajari bagaimana pelajar menggunakan ChatGPT dan meluaskan "daftar pengesan penipuan" yang dihasilkan menggunakan AI.
Sumber : Today/AE/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan